SPH Logo mobile
Langgan|

Karyawan IT S'pura terbit filem di seberang

Karyawan IT S'pura terbit filem di seberang

Karya Diyana Ismail menang beberapa anugerah antarabangsa dan dimainkan di Netflix luar negara
Feb 14, 2023 | 5:30 AM

Karyawan IT S'pura terbit filem di seberang

BAWA FILEM MELAYU JELAJAH DUNIA: Cik Diyana Ismail, seorang karyawan teknologi maklumat di sektor perbankan mengambil langkah secara tidak sengaja menerbitkan filem untuk menyampaikan ilmu yang dikaji dan dibaca tentang isu penting yang membabitkan kesihatan mental. - Foto ihsan DIYANA ISMAIL
BAWA FILEM MELAYU JELAJAH DUNIA: Cik Diyana Ismail, seorang karyawan teknologi maklumat di sektor perbankan mengambil langkah secara tidak sengaja menerbitkan filem untuk menyampaikan ilmu yang dikaji dan dibaca tentang isu penting yang membabitkan kesihatan mental. - Foto ihsan DIYANA ISMAIL -

KERJAYA Cik Diyana Ismail sebagai karyawan teknologi maklumat di Bank of America di Singapura memang tiada kena-mengena dengan dunia perfileman.

Bagaimanapun, apabila pandemik Covid-19 melanda pada 2019, secara tidak diduga dan dirancang, terdapat peluang untuknya meneroka bidang penerbitan filem dan muzik di Malaysia yang condong pada menyisipkan pesanan bermanfaat sebagai iktibar ramai.

Sewaktu perintah berkurung ketika itu, beliau melibatkan diri dalam perbincangan kumpulan WhatsApp sebuah pertubuhan tidak mengaup untung mengenai kesihatan mental.

Menerusi kumpulan tersebut, mereka yang rasa tertekan dan teruk terjejas oleh kesan pandemik berpeluang menceriakan satu sama lain dan bersembang untuk membangkitkan semangat masing-masing.

Cik Diyana, 38 tahun, bahkan mengambil pensijilan untuk pengajian mekanisme menangani isu psikiatrik agar beliau dapat membantu lebih ramai yang terjejas.

Sewaktu berada di Malaysia, maka timbul idea memulakan syarikat penerbitan filem dan muzik D Alpha Legacy Sdn Bhd.

"Saya tak tahu apa-apa pun tentang filem ketika terjun langsung dalam kerja penerbitan. Selama 15 tahun, bidang kerja saya hanya berlegar di sekitar dunia teknologi maklumat dalam sektor perbankan.

"Saya lebih banyak membaca untuk dapatkan maklumat sebenar tentang sesuatu perkara dan membuat perbandingan daripada menonton filem.

"Bagaimanapun, saya bersyukur dengan peluang dan kesempatan yang diberi dalam tempoh pandemik itu. Sebab menerusi filem mahupun lagu, kita dapat sebarkan pesanan yang mungkin lebih dekat di hati ramai sebab daya tarikan satu bentuk kesenian.

"Saya dan pasukan bermula dengan projek filem Astro First, Kelaster.

"Ia kisah komedi tentang Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) 2020...bagaimana tiga pemuda yang tersendat di dormitori dan berjumpa seorang wanita bernama Ain," jelasnya ketika dihubungi Berita Harian.

Menurutnya, projek percubaan itu setakat untuk menghiburkan namun, ia menerima kecaman warganet yang rencam.

Beliau terima itu sebagai adat sebab minda mereka belum bersedia lagi tetapi itulah permulaan Cik Diyana dan pasukannya mempelajari sesuatu yang baru.

Bagaimanapun, usaha selanjutnya dalam menghasilkan filem tentang usaha dan cabaran pekerja barisan depan dalam pandemik, Frontliner, ibarat membuka semangat baru buatnya dan pasukannya.

Satu lagi projek yang membuatnya rasa bangga dan bersyukur adalah filem tentang wanita yang diculik dan mengalami kekurangan Vitamin B1, Korsakoff.

Filem itu memenangi Anugerah Filem Psikologi Terbaik pada Pesta Filem Cannes.

Ada juga filem lain yang menyentuh tentang kesihatan mental seperti Bisikan dan Eva.

Eva memenangi Filem Thriller/Saspens Terbaik di Pesta Filem Cannes dan Anugerah Pelakon Wanita Terbaik (Nadia Aqilah) serta Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Nadia Brian) pada Festival Filem Dunia Hong Kong.

Eva juga membawa pulang Anugerah Sinematografi Terbaik di Festival Filem Amerika Syarikat.

"Kepuasannya adalah apabila beberapa filem kami diterima Netflix untuk ditonton pasaran antarabangsa. Filem-filem ini dibawa ke festival merata dunia dan menang anugerah.

"Antara kesukaran awal adalah penerimaan dan jangkaan ramai serta perihal biaya filem dari segi bajet yang kami perlukan.

"Memandangkan kami baru, ada pihak yang mengambil kesempatan manakala orang pula hanya menerima syarikat penerbitan besar. D Alpha Legacy jadi macam tenggelam pula," jelas Cik Diyana.

Menerusi filem seperti Eva juga, beliau dapat mendidik penonton tentang fakta yang dikaji seperti kalau urat paling besar pada manusia dicucuk untuk keluarkan darah dalam tiga minit, nyawanya boleh diragut.

"Saya lihat filem seperti Eva iaitu tentang wanita dengan berbilang personaliti dan mengalami trauma sewaktu kanak-kanak, lebih diterima oleh penonton Singapura berbanding di Malaysia yang perlahan-lahan menerimanya.

"Alhamdulillah, gembira saya dapat pulang ke Singapura untuk melihat reaksi penonton di pawagam yang menyaksikan Eva. Saya senang dengan pesanan yang tersirat bahawa kebahagiaan zaman kanak-kanak itu penting untuk mencorak kehidupan yang bahagia.

"Harapan saya supaya lebih banyak filem tentang kesihatan mental dengan fakta yang tepat dapat pasukan saya hasilkan untuk mendidik orang awam. Kita tidak tahu berapa ramai yang mengalami masalah kesejahteraan mental di luar sana.

"Bidang teknologi maklumat tidak saya tinggalkan. Saya pun masih berulang-alik dari Malaysia ke Singapura sebab ibu masih di Singapura. Penerbitan filem dan muzik adalah projek yang saya lakukan untuk wujudkan kelainan buat pasaran hiburan Melayu," jelas Cik Diyana.

"Bidang teknologi maklumat tidak saya tinggalkan. Saya pun masih berulang-alik dari Malaysia ke Singapura sebab ibu masih di Singapura. Penerbitan filem dan muzik adalah projek yang saya lakukan untuk wujudkan kelainan buat pasaran hiburan Melayu.

- Cik Diyana Ismail.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg