SELEPAS dikejutkan dengan situasi di tangga corot dan adalah peserta terakhir di pentas Gegar Vaganza 9 (GV9) dalam segmen 'Ada Lagu, Ada Lagi' minggu lalu, Hazrul Nizam akur beliau perlu lakukan sesuatu untuk membuktikan vokalnya tidak hambar.

Justeru itu, apabila menyanyikan lagu sanjungan buat kaum ibu, Untukmu Ibu, yang menaikkan nama band remaja 1990-an Exists. Hazrul, 42 tahun, menghayatinya dengan penuh kesyahduan.

Secara kebetulan, lagu tersebut juga merupakan yang pertama dilantunkan di khalayak ramai dalam satu majlis kahwin pada usia 11 tahun.

Ternyata, semangat yang membara dalam diri Hazrul untuk terus berjuang hingga ke akhirnya membuahkan hasil yang manis di auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kelmarin.

Daripada meraih markah 56.2 peratus pada konsert minggu pertama melalui lagu hit beliau sendiri, Kaulah Segalanya, markah Hazrul langsung melonjak ke 79.8 peratus, tidak jauh di belakang juara minggu kedua, Tomok yang mendapat 80 peratus.

Mengulas pencapaiannya yang membanggakan di tempat kedua, Hazrul yang merupakan naib juara peraduan Talentime 2001, berkata:

"Selepas berada di tangga terbawah dan mengalami masalah teknikal tak dengar kerana isu monitor telinga, saya terfikir perlu bagi saya buat yang jauh lebih baik lagi untuk minggu kedua.

"Sebabnya, saya yakin saya boleh menyanyi dan saya mahu terus berada di pentas GV9."

Untukmu Ibu juga bak lagu 'keramat' yang memberi tuah buatnya kerana pada usia 11 tahun, beliau adalah seorang budak pemalu yang terkesan apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada hadirin di majlis kahwin yang terkesan dengan lontaran suaranya.

Justeru, ia membuka pintu untuknya memikirkan kerjaya sebagai penyanyi yang dapat menyentuh hati ramai dengan vokal emasnya.

Rakan-rakan seni di Singapura turut memberi pujian pada Hazrul yang dilihat sebagai 'underdog' atau peserta yang tidak dijangka bakal menayangkan 'taring' vokalnya berbanding seorang lagi peserta Singapura, Fuad Rahman, 43 tahun.

"Boleh berdirilah bulu roma apabila dengar Hazrul nyanyi sekali gus menimbulkan demam nostalgia untuk saya kembali mendengar lagu Exists," jelas gitaris Olly Ismail.

Anggota kumpulan nasyid legenda Al-Jawaher, Norhaiyati Yusop pula menambah:

"Saya rasa Hazrul memberikan persembahan yang terbaik. Moga beliau kekalkan penyampaian yang konsisten dalam minggu-minggu mendatang."

Warganet bernama Nura pula menulis di Twitter:

"Hazrul ni comel macam 'teddy bear'! Minggu lalu nampak gementar tetapi minggu ini, prestasi penyampaiannya memang tidak dijangka."

Ahad ini, kelunakan vokal Hazrul yang kena dengan lagu balada akan diuji melalui lagu pilihan warganet untuknya, Fatwa Pujangga, nyanyian asal penyanyi veteran Said Effendi (S. Effendi).

Sebelum ini, warganet perlu memilih antara lagu Fatwa Pujangga atau lagu klasik Gurindam Jiwa yang ikonik dek paduan suara R. Ismail dan Rafeah Buang.

Dalam sidang media GV9, Tomok yang menewaskan dua nama besar, Jaclyn Victor (di tangga kelima kelmarin) dan Shila Amzah (tangga ketiga) pula berkata:

"Alhamdulillah, saya tidak sangka dapat tempat pertama dan tentunya ia memberi saya semangat untuk buat lebih bagus lagi.

"Lagu Hukum Karma nyanyian asal Wings iaitu tugasan saya minggu ketiga memang tidak pernah saya nyanyikan secara solo, beramai-ramai adalah. Ia pilihan warganet. Saya agak risau dan tak tidurlah selepas ini... tengok apa nak buat. Sebab teman lain dah masuk 'gear' 2 dan 'gear' 3.

"Bagi saya, ilmu dalam GV9 ini yang lebih nilainya daripada hadiah kemenangan. Apabila bersaing dengan orang yang hebat-hebat, saya pun enggan ketinggalan."

Sementara itu, Fuad yang berada di tangga ke-11 kelmarin dengan markah 57.9 peratus memenangi undian peminat bagi Anugerah Juara Next Level Digi (Minggu Pertama) dengan ganjaran RM1,000 ($311.70).