Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Hazrul syukur timba ilmu, keluar dari kepompong

Nov 29, 2022 | 05:30 AM



DIPILIH untuk memasuki peringkat akhir Gegar Vaganza 9 (GV9) sahaja sudah diibaratkan seperti mimpi manis buat peserta Singapura, Hazrul Nizam.



Lantaran itu, apabila ditempatkan pada tangga keenam atau kedudukan terakhir konsert akhir GV9 kelmarin, Hazrul akur pada rezekinya kerana beliau juga tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi.



Tambahan pula, yang berkongsi pentas dengannya di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) adalah penghibur bukan calang-calang seperti Jaclyn Victor, Bob Yusof, Shila Amzah, Tomok dan VE.



Ketika dihubungi Berita Harian semalam, Hazrul, 42 tahun, yang membawa lagu Crazy (dendangan asal Gnarls Barkley) dan Terlanjur Cinta (Hael Husaini dan Cakra Khan), berkata:



"Saya bersyukur dapat sampai ke peringkat akhir. Memanglah semua masuk dengan misi nak menang. Tambahan pula, cabaran bagi saya lebih pada membuktikan bahawa saya juga boleh menyanyi di luar zon lagu balada dan perlahan.



"Orang dah biasa dengar saya nyanyi lagu balada sehingga mereka lupa saya pun pernah nyanyi lagu rancak.



"Mendendangkan lagu Crazy ini memerlukan 'attitude' atau sikap tertentu yang perlu ditonjolkan di pentas.



"Satu lagi ujian buat saya adalah bertarung dengan Bob dalam lagu rap. Kita ni tak pernah nyanyi rap. Mana nak hafal lirik dan nak pastikan tempo lontar suara ni ikut irama dan cepat macam peluru berpandu... sebutir-sebutir perkataan kena keluar. Itulah payah."



Hazrul bertarung di gelanggang rap dengan Bob melalui lagu Vanilla Ice, Ice Ice Baby, serta lagu 'berhantu' Alyph, Swipe.



Banyak yang dipelajarinya sepanjang pertandingan 11 minggu itu, termasuk keluar daripada kepompong rasa segan untuk bergurau spontan.



"Saya dikelilingi kaki usik seperti pengacara Nabil Ahmad dan Kak Lina Pom Pom (Elly Mazlein).



"Memang mulanya canggung tetapi sebab mereka buat saya selesa, saya dah boleh bergurau juga. Kami memang macam sebuah keluarga besar," jelasnya.



Peserta lain, tambah Hazrul, juga tidak tampil seperti pesaing. Kesemuanya profesional dan sahabat yang selalu pastikan saban minggu ibarat konsert bersama dan bukannya satu persaingan sengit.



"Saya beri contoh juara GV9, Jaclyn Victor, yang memang merendah hati dan seorang sahabat yang peka tentang keperluan teman lain.



"Sebelum ini, Jaclyn pernah jadi juri The Final One di Singapura. Saya pula mentor peserta. Kami pernah bekerjasama... cuma persahabatan lebih akrab ketika di GV9.



"Setiap kali muka saya serius dan ingin fokus, Jaclyn datang dan tanya, 'Babe, you okay tak?'," tambah Hazrul.



Mengenai Shila pula, Hazrul tertawa dan berkata penyanyi itu hiperaktif dan ramah tetapi mudah terkesan dan kadangkala menangis di penghujung rancangan.



"Jadi sayalah yang selalu jadi pembekal tisu untuknya yang cengeng! Sebab kebanyakan masa saya berada di sebelahnya dalam segmen Ada Lagu, Ada Lagi," selorohnya.



Hazrul juga berterima kasih kepada pengurusnya, Tisha Shahar, yang juga isteri pelakon Beto Kusyairy, kerana menyelaras jadualnya.



"Tisha berpengalaman mengurus pelakon. Saya adalah penyanyi pertama yang diuruskannya, tetapi beliau memang cekap dan selalu mendorong saya agar beri yang terbaik.



"Semasa saya ada konsert di Singapura dan bertanding pula untuk GV9, Tisha mewakili saya untuk berbincang dengan pihak penerbitan mengenai keperluan persembahan pada minggu itu," tambahnya.



Ditanya tentang komen warganet di Twitter yang tidak puas hati apabila beliau berada di tempat keenam, Hazrul berkata:



"Saya sebenarnya tak perasan sebab Tisha pegang telefon saya dan tidak mahu saya terjejas dengan sebarang pesanan.



"Saya berterima kasih dengan kepercayaan ramai pada saya serta doa anda semua.



"Saya akan usahakan lagu baru selepas ini. Akan ada kerjasama dengan rakan GV9 di Malaysia... dengan siapa, tunggu sahajalah ya, sebab semuanya masih dalam perancangan."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >