Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Heliza lasak pamer sukan tunggang kuda dan memanah

Jan 17, 2024 | 5:37 PM
REBUT PELUANG KONGSI KEMAHIRAN: Datin Seri Nur Heliza Helmi menerima tawaran berlakon dalam filem ‘Pendekar Awang Darah Indera Gajah’ kerana berpeluang kongsi sukan sunah yang mula diamalkan iaitu memanah dan menunggang kuda.
REBUT PELUANG KONGSI KEMAHIRAN: Datin Seri Nur Heliza Helmi menerima tawaran berlakon dalam filem ‘Pendekar Awang Darah Indera Gajah’ kerana berpeluang kongsi sukan sunah yang mula diamalkan iaitu memanah dan menunggang kuda. - Foto INSTAGRAM HELIZA HELMI

Penyanyi dan juga aktivis kemanusiaan, Datin Seri Nur Heliza Helmi, mengakui melakukan solat sunat istikharah terlebih dahulu, selain berbincang dengan suaminya, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, sebelum membuat keputusan menerima mana-mana tawaran berlakon.

Heliza, 37 tahun, berkata beliau seorang yang teliti dalam memilih sebarang tawaran berlakon kerana mahu memastikan setiap karya yang diterima dapat memberi manfaat kepada penonton dan bukan sekadar hiburan kosong.

“Jika ditawarkan dengan mana-mana naskhah, saya akan buat solat sunat istikharah dahulu untuk mendapatkan petunjuk, selain turut berbincang dengan suami dan keluarga.

“Saya juga akan mendapatkan nasihat daripada guru (agama). Sekiranya karya tersebut memberikan manfaat, barulah saya akan teruskan,” katanya kepada laman Kosmo! Online.

Pada masa sama, bekas peserta program Akademi Fantasia Musim Kelima (AF5) itu turut meluahkan rasa gembira dan teruja apabila dapat berlakon dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang menuntutnya mempamerkan aksi sunah memanah dan berkuda.

Kata Heliza, tawaran yang diberikan kepadanya untuk terbabit dalam filem tersebut, bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang selepas beliau mula berjinak-jinak dalam sukan sunah tersebut.

“Tawaran berlakon dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah diibaratkan seperti pucuk dicita, ulam mendatang. Saya baru sahaja berjinak-jinak dalam sukan memanah dan berkuda dan berangan-angan jika dapat kongsikan sukan ini kepada orang ramai.

“Tidak sangka pula doa saya dimakbulkan apabila disunting untuk berlakon dalam filem ini, bersama-sama dengan adik saya sendiri iaitu Hazwani Helmi.”

Heliza yang ditemui ketika majlis pelancaran treler dan lagu tema filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di Malakat Mall, di Putrajaya memberitahu, beliau memegang watak sebagai Siti, iaitu seorang srikandi hebat dalam seni mempertahankan diri, selain turut tangkas dalam memanah dan berkuda.

Heliza mengakui, untuk menjayakan watak sebagai Siti bukan suatu hal mudah, kerana hampir kebanyakan babak memanah dan berkuda dilakukannya sendiri tanpa bantuan pelakon aksi nekad (stuntman).

“Hampir kebanyakan babak memanah dan berkuda, termasuk aksi pertarungan saya lakonkan sendiri. Hanya beberapa babak sahaja yang bukan saya lakonkan kerana sedang mengerjakan ibadah umrah.

“Memang saya ada mengalami kecederaan, tapi tidaklah serius,” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Cinta Di Lautan Lalang itu turut bersyukur apabila sentiasa diberikan sokongan dan galakan oleh suaminya, Mahadi, untuk aktif dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, suami tiada halangan untuk saya aktif dalam bidang ini (lakonan). Malah, beliau sentiasa memberikan sokongan.

“Ikutkan saya yang sangat cerewet. Suami pun sudah faham dengan perangai saya. Sesekali kalau ada masa, memang beliau akan turun ke set penggambaran untuk melihat saya bekerja. Tapi tidaklah selalu,” ujarnya.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah merupakan filem kedua yang diterbitkan syarikat penerbitan Studio Kembara selepas berjaya mencipta fenomena menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pada 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg