Hetty Sarlene selamat lahirkan anak kedua
Penyanyi dan pelakon Singapura ini sudah lama menyepi tetapi baru-baru ini berkongsi dengan pengikut Instagramnya berita gembira.
Hetty Sarlene Oakes, 40 tahun yang pernah popular dulu di seberang tambak dan ibu kepada seorang anak lelaki, baru sahaja melahirkan seorang lagi cahaya mata.
Wira terbarunya yang diberi nama Hayden Ashton Oakes, dikatakan dilahirkan 10 hari lebih awal daripada yang dijangkakan. Hetty melahirkan anaknya itu di Pusat Perubatan Thomson pada 25 Jun.
Anaknya yang pertama, Landon Oakes berusia empat tahun kini sudah bergelar abang.
Hetty diijabkabulkan dengan seorang jejaka Britain, Daniel Oakes juga berusia 40 tahun dan mereka menetap di Singapura.
Turut memberi ucapan tahniah kepadanya di ruang komen Instagram beliau termasuk artis-artis tanah air dan seberang tambak. Penyanyi Malaysia Anuar Zain yang pernah berduet dengannya dalam lagu ‘Demi Cinta Kita’ menulis dalam bahasa Inggeris :
“Tahniah Hetty & Suami ❤️”
Hetty Sarlene tidak dapat dihubungi oleh Berita Harian (BH) sewaktu artikel ini ditulis.
Hetty pernah popular dengan lagunya yang berjudul ‘Sangsi Asmara’ dan pernah berlakon dalam siri lima musim ‘Sembilu’ yang diadaptasi daripada filem dengan tajuk yang sama yang dibintangi Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.
BH ingin mengucapkan tahniah buat Hetty sempena kelahiran cahaya matanya yang kedua.

