SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

1 Syawal 2003 pemergian Ibrahim Pendek

1 Syawal 2003 pemergian Ibrahim Pendek

Pernah berlakon di Hollywood | Digelar Sarjan dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapok'
May 14, 2020 | 11:50 PM

1 Syawal 2003 pemergian Ibrahim Pendek

Allahyarham Ibrahim Pendek - Foto NST.
Allahyarham Ibrahim Pendek - Foto NST. -

Teringat saya pada Hari Raya pertama sekitar 25 November 2003. Tatkala umat Islam serata dunia menyambut Lebaran yang ceria, di kala itulah kedengaran berita pemergian bintang filem legenda, Ibrahim Pendek.

Beliau yang dikenali sebagai pelakon Melayu pertama yang menjejakkan kaki ke Hollywood dan berlakon di samping bintang kacak Rock Hudson berusia 71 tahun dan meninggalkan tujuh anak hasil dua perkahwinan.

Ibrahim yang nama sebenarnya Ibrahim Hassan meninggal dunia kerana penyakit ginjal dan beberapa komplikasi lain. Beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Midah di Cheras, Kuala Lumpur.

Projek terakhirnya adalah telefilem Selamat Hari Jadi Abah yang menjalani penggambaran pada 2003, tahun beliau pergi buat selama-lamanya.

Kalau ditanya rakan-rakan Facebook yang juga pencinta filem klasik P. Ramlee mengenai Ibrahim yang berketinggian 130 sentimeter, ramai yang akan mengingati beberapa wataknya yang terpahat di ingatan.

Kali pertama saya menonton Ibrahim di kaca televisyen adalah sewaktu berusia tujuh tahun dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Saya kira itulah julung-julung kalinya saya menyedari tentang wujudnya teknik permainan kamera atau 'camera trick' dalam filem Melayu.

Kebanyakan masa, peranan Ibrahim kecil sahaja tetapi impaknya besar. Dalam filem Pendekar Bujang Lapok, beliau setakat foto statik yang tergantung dalam bingkai gambar di sebuah bilik rumah kampung.

Terkejut dan geli hati juga apabila watak Bang Berahim (cinta hati watak pembantu rumah Aini Jasmin) yang dilakonkannya mampu 'hidup' dan loncat keluar daripada bingkai gambar yang tergantung di dinding bagi mengubati rindu Aini.

Ramai rakan Facebook pula paling sukakan watak Ibrahim sebagai orang kanan ketua penyamun (lakonan P. Ramlee) yang dipanggil Bin Sarjan dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.

Dalam satu babak perjudian atau main tikam-tikam di pasar, Sarjan menggunakan dadu (semua muka dadu itu hanya memaparkan nombor dua) bagi menipu orang.

Sarjan hanya membuka perjudiannya sebanyak tiga kali sahaja bagi mengelakkan aksi liciknya itu daripada diketahui orang.

Antara dialog Sarjan yang diingati guru dan peminat filem P. Ramlee, Cik Suhaila Mansor:

"Satu...ehehehem...tiga, empat, lima, enam...Hah! Pilih...pilihlah! Mari kita tengok siapa yang kena!"

Ada juga teman yang sempat berseloroh bahawa kalau masih ada dalam konteks sekarang, watak Sarjan yang gigih memangkah rumah orang untuk disamun itu boleh jadi Duta Jarak Selamat dalam wabak Covid-19 ini.

"Apa tidaknya? Tugasnya main pangkah-pangkah...sama macam bentuk pangkah yang kita lihat pada bangku di stesen bas atau dalam gerabak MRT!" tambah pemandu teksi, Encik Mohd Muhid Amin.

Dalam saya menggali bahan arkib mengenai Ibrahim khususnya daripada Berita Filem dan Majalah Filem, ternyata banyak perkara tentangnya khususnya tatkala belum bergelar pelakon yang menarik perhatian saya.

Anak kelahiran Kampong Simpang Empat berdekatan Taiping, Perak yang dilahirkan pada 1932 ini memulakan kerjaya seninya pada 1950-an.

Selepas tamat persekolahan pada usia 17 tahun sekitar 1949, beliau tidak mengikut jejak rakan-rakannya yang ke bandar bagi mencari rezeki dalam tugas pentadbiran pejabat.

Kecekalan dan keberaniannya membawanya ke Cameron Highlands bagi mengambil kursus dalam bidang pertanian.

Beliau seronok menjadi petani dan menanam sayur-sayuran. Ada juga temannya yang kata dirinya ingin berada di kawasan dingin pergunungan kerana ingin merasakan sekali-sekala bagaimana berada di puncak tinggi dan memandang ke bawah.

Awalnya, Ibrahim ingin kembali ke Taiping dan buka kedai runcit buat orang kampung berjual beli.

Namun, segala impian bergelar pengusaha pertanian terbengkalai apabila tawaran bergelar bintang filem datang tanpa diduga. Beliau memang kaki melawak sejak di zaman sekolah sehinggakan rakan-rakannya termasuk di Cameron Highlands tidak kering gusi dibuatnya.

Perjalanan seninya bermula apabila beliau bercuti dan bersama teman-temannya berkelah di Singapura. Usahawan filem Run Run Shaw yang juga pemilik Studio Jalan Ampas melihat sesuatu yang istimewa pada diri Ibrahim.

Beliau yang bermula sebagai operator projektor dan budak pejabat di Studio Jalan Ampas diminta melalui satu sesi uji bakat. Bakat semula jadinya memikat hati karyawan filem di studio itu.

Sepanjang berada di Singapura, Ibrahim menetap bersama pengarah, penulis skrip dan penulis lirik, S. Sudarmaji.

Beliau membawakan beberapa watak tambahan sehinggalah peranan dalam filem Panggilan Pulau diterimanya pada 1954. Wataknya membawa kesan kerana terkorban akhirnya dalam satu pertelingkahan mencari harta dalam gua.

Satu-persatu filem yang dijayakannya dengan kekerapan membawa watak komedi. Antara filem terkenal termasuk Anakku Sazali, Kipas Hikmat, Pusaka Pontianak, Siti Muslihat dan Nasib Labu-Labi.

Bagaimanapun, siapa menduga watak Sarjan dalam Ali Baba Bujang Lapok membawa rezeki lumayan buat Ibrahim.

Eksekutif daripada studio Universal International di Hollywood yang kebetulan mengunjungi Studio Jalan Ampas tertarik dengan gelagat Ibrahim. Beliau dilamar membawa watak pembantu seorang pakar perubatan Belanda dalam filem The Spiral Road.

Selama sebulan, beliau berada di Hollywood dan menetap di banglo milik hero terkenal, Rock Hudson, yang dikatakan rapat dengannya.

Namun, rezekinya di rantauan setakat di situ sahaja. Kalau tidak kerana visa kerjanya gagal diperbaharui, Ibrahim pastinya sudah terkenal di Hollywood apabila dihujani banyak tawaran lain.

Satu lagi perkara yang menyedihkan, bayaran yang diterima di Hollywood dikatakan disejajarkan dengan kontrak di Jalan Ampas. Beliau dibayar sama sahaja dengan apa yang diterimanya di Singapura.

Namun, Ibrahim tidak pernah menyesali segalanya malah pernah memberitahu wartawan Majalah Filem yang ditemui pada 1962:

"Dalam hidup ini, pastinya ada peristiwa yang mengecewakan dan menyedihkan kita. Namun, kita bagaikan membunuh diri kita sendiri kalau kita benarkan peristiwa ini menjejas kita.

"Kehidupan saya akan huru-hara kalau saya terus-terusan tak gembira kerana saya pendek. Daripada cemburukan kejayaan orang lain, baik saya tengok sahaja keindahan yang Allah berikan dalam hidup saya. Saya gunakan kekuatan saya untuk bawa kegembiraan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi orang lain di luar sana."

Kisah cinta Ibrahim dengan wanita Kelantan yang lebih rendah daripadanya bernama Che Hasnah Mohd Amin disingkap dalam rencana akhbar lama, Bakal Isteri Ibrahim tinggi 3 Kaki 8 Inchi Sahaja.

Mengimbas kenangan lama yang melucukan, pelakon veteran Sri Rahayu S. Sudarmaji yang lebih dikenali dengan panggilan 'Ayu 20 Sen', memberitahu saya:

"Pak Ibrahim suka berbual dengan bapa saya. Orangnya ramah dan pandai menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja. Sewaktu Pak Ibrahim berkahwin dengan Che Hasnah, dia minta kita semua bantu isterinya itu sesuaikan diri dengan pergaulan dalam kalangan anak wayang.

"Kami buntu dibuatnya sebab Che Hasnah bercakap dalam loghat Kelantan yang pekat. Kami langsung tak faham apa yang beliau perbualkan!"

Perkahwinan Ibrahim bersama Hasnah tidak kekal. Beliau kemudian berumah tangga dengan Asiah Osman. Mahligai kedua juga berakhir dengan perpisahan.

Dalam zaman kejatuhan industri filem Melayu pada tahun 1960-an di Singapura, Ibrahim pernah cuba meniaga pakaian di Geylang Serai sesudah Studio Jalan Ampas tutup.

Perniagaan itu bertahan hanya selama tiga tahun sahaja sebelum Ibrahim kembali ke Kuala Lumpur bagi meneruskan kerjaya sebagai pelakon.

Keluarga Si Comat (1975), Penyamun Tarbus (1980), Setinggan (1981) dan Serampang Tiga (1981) adalah antara filemnya selepas era Jalan Ampas. Pada 1992, beliau melakonkan filem terakhirnya, XX Ray.

Dengan semangat waja lagi positif Ibrahim, tidak hairanlah jika beliau dipanggil wartawan Malaysia, Alan Teh, Little Giant.

Kecil-kecil cili padi, bakat besarnya benar-benar menjadi.

"Dalam hidup ini, pastinya ada peristiwa yang mengecewakan dan menyedihkan kita. Namun, kita bagaikan membunuh diri kita sendiri kalau kita benarkan peristiwa ini menjejas kita. "Kehidupan saya akan huru-hara kalau saya terus-terusan tak gembira kerana saya pendek. Daripada cemburukan kejayaan orang lain, baik saya tengok sahaja keindahan yang Allah berikan dalam hidup saya. Saya gunakan kekuatan saya untuk bawa kegembiraan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi orang lain di luar sana." - Allahyarham Ibrahim Pendek - Foto NST.

"Pak Ibrahim suka berbual dengan bapa saya. Orangnya ramah dan pandai menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja. Sewaktu Pak Ibrahim berkahwin dengan Che Hasnah, dia minta kita semua bantu isterinya itu sesuaikan diri dengan pergaulan dalam kalangan anak wayang. "Kami buntu dibuatnya sebab Che Hasnah bercakap dalam loghat Kelantan yang pekat. Kami langsung tak faham apa yang beliau perbualkan!" - Pelakon veteran Sri Rahayu S. Sudarmaji yang lebih dikenali dengan panggilan 'Ayu 20 Sen'

WATAK POPULAR DI FACEBOOK

Ramai rakan Facebook pula paling sukakan watak Ibrahim sebagai orang kanan ketua penyamun (lakonan P. Ramlee) yang dipanggil Bin Sarjan dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.

Dalam satu babak perjudian atau main tikam-tikam di pasar, Sarjan menggunakan dadu (semua muka dadu itu hanya memaparkan nombor dua) bagi menipu orang. Sarjan hanya membuka perjudiannya sebanyak tiga kali sahaja bagi mengelakkan aksi liciknya itu daripada diketahui orang.

Antara dialog Sarjan yang diingati guru dan peminat filem P. Ramlee, Cik Suhaila Mansor: "Satu...ehehehem...tiga, empat, lima, enam...Hah! Pilih... pilihlah! Mari kita tengok siapa yang kena!"

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg