Pelakon Bollywood, Aamir Khan, mengakui masih belum bersedia untuk berkahwin semula meskipun sudah beberapa bulan menjalin hubungan cinta dengan kekasihnya, Gauri Spratt.
Aamir, 60 tahun, berkata selepas melalui proses terapi kesihatan mental, beliau kini lebih berhati-hati dalam membuat keputusan besar termasuk soal perkahwinan.
“Kalau saya kenal seseorang hari ini, bolehkah saya buat keputusan untuk berkahwin selepas empat bulan? Tidak. Saya kena fikir bahawa saya akan menghabiskan seluruh hidup saya bersama orang itu,” katanya.
Aamir berkongsi perkara itu menerusi satu episod podcast bersama pempengaruh digital dari India yang juga pakar motivasi, Raj Shamani, baru-baru ini, lapor Harian Metro.
Menerusi sesi itu juga, Aamir turut menyentuh mengenai perkahwinan pertamanya dengan bekas isteri, yang juga penerbit filem, Reena Dutta, yang disifatkannya sebagai keputusan terburu-buru.
“Kami hanya kenal empat bulan sebelum berkahwin. Ketika itu saya langsung tidak menjalani terapi. Sekarang, selepas menjalani terapi, saya lebih mengenali diri saya.
“Saya juga lebih cepat nampak ‘red flags’ atau petanda awal yang tidak sihat dalam hubungan,” katanya.
Pada Mac, sempena ulang tahun kelahirannya ke-60, Aamir memperkenalkan Gauri secara rasmi kepada media di Mumbai. Sejak itu, pasangan berkenaan kerap muncul di khalayak ramai termasuk menghadiri majlis dan acara bersama.
Sebelum ini, melalui perkahwinan dengan Reena, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Junaid dan Ira. Pasangan itu bercerai selepas lebih sedekad mendirikan rumah tangga.
Aamir kemudian berkahwin dengan pengarah filem, Kiran Rao, pada 2005 dan dikurniakan anak lelaki bernama Azad. Namun, perkahwinan itu juga berakhir pada 2021. Mereka kini masih berkongsi tanggungjawab sebagai ibu bapa Azad.
Aamir yang sinonim dengan filem pecah panggung seperti 3 Idiots, PK dan Dangal, kini dilaporkan sedang berehat seketika daripada dunia lakonan bagi memberi tumpuan kepada kehidupan peribadi serta projek di belakang tabir.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg