KUALA LUMPUR: Datuk Aaron Aziz tampil menafikan dakwaan dirinya tidak menyokong misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, selepas tular video temu bual yang didakwa disunting sehingga menimbulkan salah faham.
Aaron, 48 tahun, berkata beliau kesal apabila dikecam hebat netizen yang menuduhnya ‘anti-Gaza’ tanpa menonton rakaman penuh temu bual berkenaan.
Menerusi hantaran di Instagram, bintang filem KL Gangster itu memuat naik video asal temu bual pada 18 September lalu, sambil menegaskan dirinya tidak pernah menyebut mengenai GSF, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Assalamualaikum, saya minta anda tengok video penuh temu bual.
“Saya tidak sebut pun tentang Sumud Flotilla. Soalan yang ditanya ialah, ‘Apa pendapat Datuk tentang artis yang tidak ‘post’ atau tidak bersuara mengenai genosid di Gaza?’
“Jadi yang fitnah saya, jawab di akhirat nanti. Saya orang Islam, takkanlah saya tak sokong Gaza. Ini isu kemanusiaan,” katanya.
Aaron turut berkongsi di ruang komen ada segelintir netizen menuduhnya seolah-olah menyokong Israel.
“Saya sekarang diserang sebab orang sunting video. Fitnah saya macam saya anti-Gaza.
“Saya orang Islam, janganlah jadi bengong dengan mengatakan saya sokong Israel,” tegasnya.
Dalam temu bual bersama media kira-kira dua minggu lalu, Aaron menjelaskan beliau tidak bersetuju dengan sikap segelintir pihak yang mudah menghukum artis lain hanya kerana tidak memuat naik hantaran mengenai isu Gaza di media sosial.
Katanya, kerja amal tidak wajar diukur semata-mata melalui hantaran di platform digital.
Pelakon asal Singapura itu juga kurang senang dengan tindakan pihak yang menunggang isu Gaza semata-mata untuk menaikkan nama dan meraih pujian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg