Topik diikuti
Pergi ke BHkuAdira ambil kritikan terhadap Cinta Di Akhir Garisan 2.0 dengan positif
Adira ambil kritikan terhadap Cinta Di Akhir Garisan 2.0 dengan positif
Penyanyi, Adira Suhaimi, berlapang dada terhadap kritikan pendengar untuk versi baharu lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 yang dinyanyikan bersama Marsha Milan, Nadeera Zaini dan Aisha Retno yang hangat diperkatakan di media sosial.
Adira memaklumkan beliau juga tidak berkecil hati dengan komen-komen berbaur perbandingan yang mengaitkan nyanyian asal lagu itu oleh Datuk Nora Ariffin, Datuk Ziana Zain, Ning Baizura dan Dessy Fitri dari Indonesia pada era 1990-an.
“Itulah, saya sebenarnya ambil tahu juga. Macam inilah, akan ada orang tidak suka dan akan ada orang yang suka. Tapi, kita fokus kepada benda-benda yang bagus sahaja.
“Sebab, mungkin ada untuk yang meluas itu orang tidak nampak. Bagaimanapun, yang ‘group’ (penyanyi) sebelum ini (era 1990-an) mungkin mereka sudah ada ‘standard level’ tersendiri.
“Malah, itu adalah identiti mereka. Cuma macam kita pula (generasi penyanyi sekarang) kita membawakan yang dipanggil 2.0.
“Kita buat ikut cara masing-masing, macam saya dengan cara saya, Marsha, Nadeera dan Aisha ada cara mereka.
“Apapun, kita sudah buat yang terbaik. Itulah sudah tentu kita mengharapkan lagu itu (Cinta Di Akhir Garisan 2.0) dapat tempat di hati peminat pun sudah cukup okay. Bukan kita nak menandingi pun,” katanya dalam laman Harian Metro.
Adira turut menjelaskan, beliau bersama tiga rakan penyanyi terbabit tidak ada sebarang niat dan hasrat untuk cuba menandingi nyanyian kumpulan penyanyi terdahulu lagu berkenaan.
“Saya tetap ambil tahu sahaja (komen-komen di media sosial) untuk orang kata yang kita memang kena tahu mengenainya, sebab tidak boleh juga tak tahu langsung. Tetapi, kita semua tidak ambil hati pun (terhadap kritikan).
“Kami berempat pun sudah berbincang sebab benda ini normal, perkara biasa. Ada orang suka dan ada orang tidak suka. Apa yang penting, kami sudah membuat yang terbaik,” ujarnya.
Segelintir pencinta muzik tempatan menyuarakan pandangan kurang menyukai rakaman baharu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 kerana lebih menggemari versi asal lagu yang berusia tiga dekad itu.
Mengulas tentang perbandingan yang dibuat pendengar, komposer terkenal, Ajai yang terbabit dengan projek rakaman baharu itu, pernah meluahkan beliau sudah bersedia sekiranya wujud perbandingan terhadap kededua versi lagu itu.
Bagi Ajai, sebagai penggiat muzik berpengalaman, sememangnya beliau sedar akan muncul perbandingan untuk karya lagu ikonik yang diberi nafas baharu.
