Sejak bergelar ayah dua cahaya mata, pelakon Malaysia, Aiman Hakim Ridza, atau nama sebenarnya, Aiman Hakim Ridza Abdoh, 36 tahun, telah menemui kebahagiaan sejati yang melengkapkan tujuan hidupnya.
Hasil perkahwinannya dengan pelakon jelita, Zahirah Macwilson, 30 tahun, pada 2020, pasangan merpati dua sejoli itu dikurniakan anak lelaki, Isaac Raees, empat tahun dan anak perempuan, Inara Raisa, yang baru-baru ini menyambut ulang tahun pertamanya pada 31 Mei.
Sikap ringan tulang Isaac yang suka membantu dengan kerja rumah serta keperluan Inara yang sentiasa mahukan kehadiran Aiman telah memperkukuh pemahaman beliau tentang kasih sayang dan hubungan kekeluargaan – yang turut membentuk perspektifnya di rumah dan di set penggambaran.
Dalam drama bersiri Singapura, Korban (Musim Kedua) terbitan Monochromatic Pictures, Aiman membawa watak Danial, usahawan asal Kota Singa yang meneroka peluang mengembangkan perniagaan aplikasi temusuai di New Zealand.
Drama enam episod itu menyelami tema identiti, budaya serta warisan kulinari, dipersembahkan menerusi penceritaan yang penuh emosi dan penghayatan.
Walaupun berdepan dengan cuaca sejuk semasa enam minggu penggambaran di Christchurch dan Pulau Selatan, New Zealand, Aiman menghadapinya dengan tabah sambil menikmati pengalaman bertukar budaya bersama rakan pelakon khususnya, Evander Brown, pelakon berketurunan Maori.
Brown, yang memegang watak Ari dalam drama ini, mengambil langkah berani untuk keluar dari zon selesanya mempelajari bahasa Melayu.
Ditanya Berita Minggu (BM) mengenai keserasian Aiman digandingkan dengan barisan pelakon dari Singapura, Malaysia, Australia dan New Zealand seperti Rae Saleha, Nurul Aini, Datuk Hans Isaac dan Aaron Khaled, beliau memuji kelebihan pasukan pelakon yang bijak memainkan perasaan dalam babak.
Apabila dihubungi BM melalui Zoom pada 28 Mei, Aiman berkata:
“Ketika penggambaran berlaku, kami banyak meluangkan masa bersama untuk mengetahui lebih dekat budaya dan bahasa masing-masing, baik Maori ataupun Melayu.
“Semua pelakon terlibat sangat mudah diajak bekerjasama dan saya rasa kami banyak menghabiskan waktu bermain dan menyambut tindak balas antara satu sama lain dalam babak tersebut.
“Tenaga yang dicurahkan pelakon terlibat di samping ruang dan arahan yang diberikan pengarah, Jeevan Nathan, juga sangat membantu kerana beliau bersikap terbuka dan jelas dalam memberi arahan.”
Berkongsi tentang budaya dan bahasa, babak perkahwinan menjadi antara babak yang digemari Aiman disebabkan persamaan budaya Maori dan Melayu yang diamatinya.
“Babak perkahwinan menjadi kegemaran saya kerana penonton dapat lihat perpaduan antara dua budaya berbeza iaitu Melayu dan Maori.
“Apa yang menarik perhatian saya juga adalah cara orang Maori menyantuni orang lain dan menerima tetamu.
“Mereka sangat menghormati golongan yang lebih tua, sama seperti kita dalam budaya Melayu,” ujarnya.
Selain itu, Aiman turut merasakan keindahan alam sekitar yang luar biasa di New Zealand, lantas, menjadi dorongan baginya untuk memberikan lakonan yang lebih kuat agar tidak tenggelam dengan pemandangan yang memukau.
“Ini bukan kali pertama saya berlakon di luar negara, tetapi New Zealand memang lain dari segi keindahannya sampai saya risau penonton akan lebih fokus pada pemandangan berbanding lakonan yang dipaparkan.
“Setiap sudut di New Zealand memang indah. Ini mendorong saya untuk melakukan lebih dari segi lakonan.
“Antara cabaran lain juga termasuk cuaca yang sejuk di beberapa tempat, membuatkan saya sukar untuk melontarkan dialog tanpa menggigil-gigil,” kata Aiman lagi.
Berkongsi tentang tema pengorbanan, pelakon berasal dari Johor itu menyatakan bahawa ada perkara dalam hidup yang lebih bermakna jika disimpan sebagai rahsia.
Namun, Aiman turut menceritakan satu pengalaman peribadi yang memberi kesan mendalam, meskipun perlu menolak tawaran besar yang tampak menguntungkan suatu ketika dulu.
“Saya pernah menerima satu tawaran dalam drama bersiri. Ia merupakan peluang yang baik, tapi saya sedar ia tidak selari dengan nilai yang saya pegang ketika itu. Sebab wataknya seakan-akan serupa dengan yang pernah saya bawa sebelum ini.
“Walaupun menarik, saya memilih untuk tidak menerimanya kerana ingin cuba sesuatu yang berlainan dan lebih matang,” katanya.
Lebih mencabar lagi, pada waktu yang sama, ibunya mengalami kecederaan patah kaki.
Aiman akhirnya menolak tawaran tersebut demi menjaga ibunya, satu keputusan yang beliau anggap sebahagian daripada pelajaran hidup.
Selama setahun, iaitu antara 2016 dengan 2017, Aiman tidak mengambil sebarang projek lakonan atau kerja lain yang mungkin memberi manfaat kepada dirinya secara langsung.
Sebaliknya, beliau meluangkan masa untuk membina sebuah ruang pembelajaran bagi kanak-kanak autisme, satu usaha yang memberi makna baru dalam hidupnya dan membuka peluang untuk mengejar sesuatu yang lebih bermakna daripada kejayaan biasa.
Menyentuh projek seterusnya, Aiman bakal terlibat dalam sebuah drama bersiri aksi komedi untuk tayangan Astro Original, yang mengangkat kisah menarik tentang seorang anggota polis dan kembarnya yang memilih jalan hidup sebagai perompak. – AININ ALFIYANI JAILANI


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg