Penyanyi dan komposer, Aina Abdul, 33 tahun, menyifatkan diri beliau sebagai ‘atlet’ daripada industri hiburan yang terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan Eurovision Asia 2026 – pertandingan lagu antarabangsa bagi 11 negara Asia, pada 14 November.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, bakal berentap dengan penyanyi Asia lain mewakili negara masing-masing pada acara nyanyian berprestij itu yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand buat julung-julung kalinya.

Menurut Aina, beliau memilih untuk mempertaruhkan lagu terbaharu ciptaannya sendiri dalam bahasa Inggeris yang berjudul, Bluest Sky.

Lagu tersebut diinspirasi daripada kisah sebenar mengenai luahan perasaan beliau terhadap perihal cinta dan kasih sayang.

“Selepas sahaja selesai Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), otak saya memang fikirkan Eurovision sahaja, dan sebenarnya tidak tidur malam juga sebab sibuk menghasilkan lagu yang agak banyak sudah saya cipta.

“Tetapi, lagu Bluest Sky ini yang istimewa dan jadi pilihan saya kerana melodi, susunan muzik dan liriknya dirasakan menepati elemen untuk Eurovision dengan kisah umpama surat cinta atau bahasa cinta daripada saya.

“Lagu ini juga memiliki elemen muzik ‘Nusantara’ yang saya ambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkannya, termasuk proses rakaman yang lama iaitu 10 jam berbanding lagu-lagu saya sebelum ini yang selesai dirakam dalam tempoh dua jam sahaja.

“Kali ini untuk lagu Bluest Sky, saya memang lebih teliti dalam semua aspek kerana ia dipertaruh untuk mengharumkan nama Malaysia ke peringkat Asia.

“Bagi saya, ia adalah peluang sangat bermakna, sekali dalam seumur hidup saya.

“Harapan saya agar lagu Bluest Sky ini juga dapat diterima baik oleh semua peminat dan pendengar muzik tanah air, dan kenapa saya memilih hasilkan liriknya dalam bahasa Inggeris kerana ia bahasa universal serta mudah difahami ramai,” katanya dalam laman web, Harian Metro.

Menurut Aina, keputusan dibuat itu bukan bermakna beliau tidak mencintai bahasa Melayu.

Namun, beliau mengambil kira dalam membawa lagu Bluest Sky untuk merentas pasaran luar negara dan peringkat antarabangsa.

Baru-baru ini, Aina diundang ke Singapura sebagai juri jemputan bagi rancangan pertandingan Anugerah 2026.

Menurut Aina, bagi melancarkan segala persediaannya di Eurovision Asia 2026 itu nanti, beliau menjangka membawa pasukan seramai puluhan orang bagi memudahkan segala urusan, sekali gus melibatkan belanja.

“Saya mohon doakan yang baik-baik buat saya kerana ini tanggungjawab berat yang saya harus galas untuk negara, dan dirasakan umpama saya seorang ‘atlet sukan’ tetapi dalam bidang hiburan.

“Semoga negara kita (Malaysia) berjaya.

“Teruskan sokongan positif kalian semua terhadap lagu, Bluest Sky ini dan saya sedia terima segala komen-komen oleh netizen dan berharap biarlah kritikan itu yang baik-baik serta membina,” katanya tenang.