Anak Pak Zubir kenang didikan ‘bapak’ dalam kehidupan
Pak Zubir ajar erti disiplin, tekun buru ilmu tanpa lelah
Darah seni dan cinta pada muzik mengalir deras dalam diri Encik Sujono Zubir memandangkan bapanya, Allahyarham Zubir Said, merupakan tokoh ikonik Singapura yang mencipta lagu kebangsaan negara ini, Majulah Singapura.
Anehnya, sewaktu berhimpun beramai-ramai dengan rakan sekolahnya untuk menyanyikan lagu berkenaan yang kadangkala disebut orang sebagai lagu Mari Kita (persis dua frasa pertama lagu berkenaan) sambil berdiri tegak setiap pagi, Encik Sujono, kini 69 tahun, tidak menyedari lagu perlambangan semangat perjuangan anak watan itu dicipta bapanya.
Jika bapanya itu merupakan penggubah lebih 1,500 lagu terbilang, termasuk Semoga Bahagia, Sang Rembulan, Sayang Disayang, Cinta, Selamat Berjumpa Lagi, Nasib Malang, Setangkai, dan Kembang Melati, Encik Sujono pula pernah berkecimpung dalam dunia muzik band sampai berkarya di Switzerland.
Malahan, beliau merupakan anak bongsu dan satu-satunya anak Pak Zubir yang mempunyai nyala rasa dan dilatih untuk mahir dalam muzik.
Tiga lagi anak Pak Zubir, Puan Sri Datin Dr Rohana Zubir, Allahyarhamha Zubaidah Zubir, dan Allahyarhamha Zuraidah Zubir, pula tidak berminat menjadikan muzik kerjaya mereka.
Dalam satu pertemuan Berita Minggu (BM) bersama Encik Sujono di pusat makanan Makansutra Gluttons Bay bersebelahan pusat seni Esplanade, beliau yang kini menikmati usia persaraan di Switzerland, berkata kembaranya ke Switzerland bermula pada 1987 ketika menyertai Band Gold yang berpangkalan di negara dengan gunung-ganang itu.
Namun, beliau mengambil keputusan berhijrah dan menetap terus di Switzerland selepas berumah tangga dengan isterinya, wanita kacukan Switzerland-Italy pada 1991.
Mereka mempunyai tiga anak perempuan berusia 24, 30 dan 34 tahun.
“Setelah berkahwin, saya tidak bergerak dengan band lagi. Demi menyara hidup keluarga, saya bekerja di sebuah restoran Asia, sebelum akhirnya memilikinya pada 1991,” katanya.
Restoran yang diberi nama Restaurant Singapore dan bertempat di Badenerstrasse, Zurich itu, menyediakan hidangan mewah dari benua Asia dan pernah menjadi tempat persinggahan para menteri mahupun perantau Singapura di Switzerland.
Namun, restoran tersebut dijual pada 2021.
“Sekurang-kurangnya, saya dapat mengibarkan bendera Singapura melalui restoran saya. Ia menjadi tempat berkumpul untuk pelajar dan perantau seperti saya,” katanya lagi yang kembali ke Singapura kerana diundang bagi penyampaian Anugerah Zubir Said di Festival Runut Bunyi Antarabangsa Singapura (SISF).
Buat julung-julung kalinya, anugerah ini diberikan kepada dua komposer terkemuka Hollywood iaitu, Conrad Pope dan Hans Zimmer, dalam satu majlis penyampaian anugerah di BeyondX sekitar Keppel Road pada 12 Disember 2025.
Langkah seni di Switzerland terhenti seketika kerana pemergian Pak Zubir
Menurut Encik Sujono, menceburi bidang muzik memberinya peluang dan ruang mengembangkan bakat ke luar negara.
Beliau pernah berkhidmat sebagai pemain papan nada bersama Band Bandidos yang membuat persembahan di seluruh Eropah, sebelum menyertai Band Gold, yang berpangkalan di Switzerland.
Namun, tatkala baru bertapak di Switzerland dan selesai menandatangani kontrak, Encik Sujono menerima berita duka tentang pemergian bapanya pada 16 November 1987.
“Enam bulan selepas berkarya di Switzerland, saya mendapat berita sedih tentang pemergian bapak (panggilan buat Pak Zubir).
“Saya memujuk hati dan teringat perbualan terakhir kami sebelum saya berangkat.
“Saya minta izin untuk mengikut jejak langkahnya, dan beliau relakan saya pergi, walaupun jelas di wajahnya, terselit kesedihan kerana ini kali kedua saya meninggalkannya,” kata Encik Sujono.
Sayu benar detik bersejarah ketika Encik Sujono mengambil keputusan mengikuti Band Gold.
Tidak semudah mana bergelar anak seni
Sejak usia lima tahun, Encik Sujono telah dilatih bermain piano oleh bapanya yang terkenal dengan disiplin tinggi.
“Bapak saya sangat berdisiplin. Selepas sarapan pagi, saya perlu berlatih. Pulang dari sekolah, berlatih lagi. Pada umur 12 tahun, saya sudah boleh mengajar anak-anak lain bermain piano,” ceritanya.
Encik Sujono dilahirkan di Indonesia sebelum dibawa ke Singapura pada usia dua tahun.
Ibunya, Cik Tarminah Kario Wikromo, ialah seorang pelakon Cathay-Keris dari Indonesia yang berkahwin dengan Pak Zubir pada 1938.
“Kami tinggal di sebuah rumah kedai di Joo Chiat Road, dan di situlah saya melihat sendiri ramai artis, komposer dan penulis keluar masuk untuk berjumpa dengan bapak,” tambah beliau yang kini sudah berstatus warganegara Switzerland.
Anak perempuan kurang minat belajar piano
Menurut Encik Sujono, kakaknya, Puan Sri Datin Dr Rohana Zubir, 86 tahun, tidak meneruskan pembelajaran piano kerana kurang minat.
“Bila bapak mula mengajar, beliau sangkakan saya faham apa itu ‘oktaf’. Sudah tentu saya tidak mengetahuinya. Saya ditegurnya dengan nada keras. Pengalaman itu menjadi pelajaran pertama dan terakhir,” kata Dr Rohana yang hadir sewaktu wawancara bersama BM ini.
Beliau kini menetap di Kuala Lumpur bersama keluarganya.
‘Oktaf’ adalah istilah dalam muzik yang merujuk kepada sela (jarak) antara satu nada dengan nada lain yang mempunyai frekuensi tepat dua kali ganda daripadanya.
Walaupun nadanya kedengaran lebih tinggi atau lebih rendah, secara akustik ia dirasakan sebagai nada yang sama oleh telinga manusia.
Pak Zubir tegas tapi ‘dalam hati ada taman’
Setegas dan sedisiplin mana pun Pak Zubir dengan anak-anak, Encik Sujono dan Dr Rohana sependapat beliau sebenarnya seorang ayah yang berhati lembut dan penyayang.
“Bapak tidak pernah menghukum kami. Saya hanya ingat dimarahi sekali kerana hilang duit yang diberikannya untuk membeli sesuatu.
“Saya menangis sewaktu tidur, tetapi beliau datang memujuk. Saya amat tersentuh,” ujar Dr Rohana, lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS), yang kemudian melanjutkan pengajian ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Surrey, United Kingdom dan menceburi kerjaya dalam bidang pendidikan.
Apabila mengenang peristiwa bersama bapanya, beliau juga masih ingat detik prestasi pelajarannya merosot akibat terlalu fokus pada kelas tarian.
“Daripada berada di tangga teratas, saya jatuh ke nombor 12 di dalam darjah. Bapak amat marah dan mengugut untuk membakar buku sekolah saya. Beliau sentiasa meletakkan harapan yang tinggi terhadap saya dan juga para pelajarnya,” kongsinya.
Bunyi bising sekeliling mungkin buat ilham datang mencurah
Sejarah hidup Pak Zubir turut dirakamkan Dr Rohana dalam bukunya, Zubir Said: The Composer of Majulah Singapura, yang diterbitkan pada tahun 2012 oleh Institut Pengajian Asia Tenggara.
Dr Rohana juga menjadi saksi dedikasi bapanya terhadap muzik.
“Bapak boleh duduk berjam-jam lamanya di hadapan piano, dengan pensel di telinga dan kertas lakaran di tangan.
“Walaupun kami tinggal di Joo Chiat Place di tengah bunyi kereta dan bas yang lalu-lalang, tumpuannya tidak pernah terganggu. Mungkin banyak muzik yang lahir daripada bunyi bising itu,” jelasnya lagi, terjebak dek nostalgia yang berasak di fikiran.
Tinggalkan legasi untuk dunia seni sejagat
Encik Sujono pula melihat Pak Zubir sebagai tonggak identiti nasional Singapura.
“Beliau bukan sahaja disanjung sebagai penggubah lagu kebangsaan Singapura, malah dihormati sebagai mentor yang berdedikasi serta insan yang berpegang teguh pada prinsip moral tinggi.
“Namanya terus dikenang melalui liputan media dan persembahan berbentuk sanjungan pada muzik yang dihasilkan,” katanya.
Dengan Anugerah Zubir Said disampaikan kepada tokoh muzik terbilang dunia, Zimmer, yang mencipta OST bagi filem Dune, Gladiator dan The Lion King, serta Pope, komposer di sebalik kejayaan OST francais filem Star Wars, Harry Potter dan Pirates of the Carribean, ia petanda betapa nama Pak Zubir turut ‘mengembara’, malah diabadikan di peringkat antarabangsa meski hampir 40 tahun beliau meninggalkan kita.

