Topik diikuti
Pergi ke BHkuAndrew Garfield cuba fahami insan di sebalik revolusi AI dalam filem terbaru ‘Artificial’
Andrew Garfield cuba fahami insan di sebalik revolusi AI dalam filem terbaru ‘Artificial’
Andrew Garfield cuba fahami insan di sebalik revolusi AI dalam filem terbaru ‘Artificial’
Didorong rasa ingin tahu yang mendalam serta kebimbangan terhadap perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), pelakon Hollywood, Andrew Garfield, menyahut cabaran membintangi filem Artificial.
Filem tersebut diarahkan Luca Guadagnino, dan ditayangkan buat julung-julung kalinya di Festival Filem London pada 11 Oktober.
Garfield, 43 tahun, menghidupkan watak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Sam Altman, menerusi filem yang menyingkap sejarah penubuhan dan perkembangan syarikat kecerdasan buatan (AI) di sebalik ChatGPT itu, sepanjang tempoh dua dekad.
Ini termasuk episod penuh kontroversi apabila Altman dipecat sebelum dilantik semula pada 2023.
“Sebab utama saya tertarik dengan filem ini adalah kerana perasaan ingin tahu dan takut.
“Saya benar-benar mahu memahami sedalam mungkin individu yang sedang membawa kita memasuki fasa baharu dunia ini.
“Individu yang menerajui syarikat ini sememangnya perlu memiliki keberanian, daya imaginasi dan ketabahan yang luar biasa untuk berdepan dengan pelbagai kritikan, selain mengharungi kehidupan yang sentiasa menjadi perhatian umum.
“Namun, penelitian sedemikian penting kerana kita perlu mengetahui siapa sebenarnya yang memegang kuasa dan siapa yang sedang membentuk dunia baharu kita,” kata Garfield kepada Reuters.
Garfield, yang sebelum ini turut membintangi filem The Social Network (2010) – mengisahkan penubuhan Facebook – tidak pernah menghubungi atau bertemu dengan Altman, 41 tahun, sebagai persiapan untuk menjayakan watak tersebut.
“Saya tidak mengenali Sam secara peribadi, tetapi saya amat bersimpati dengannya.
“Bayangkan seseorang yang hampir sebaya dengan saya kini menjadi subjek sebuah filem yang mengisahkan kehidupannya.
“Filem ini bukanlah gambaran sebenar dirinya, sebaliknya merupakan interpretasi terhadap kisah tersebut dan peranan beliau di dalamnya,” ujarnya lagi.
OpenAI tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasan.
Namun, dalam wawancara bersama majalah Vanity Fair, Altman berkata beliau tidak menjangkakan filem tersebut akan memberikan gambaran yang tepat mengenai dirinya.
Filem Artificial, yang ditulis pemenang Anugerah Emmy (2025) bagi kategori Penulisan Terbaik bagi Rancangan Khas Aneka Ragam, Simon Rich, turut dibintangi Yura Borisov sebagai pengasas bersama dan mantan Ketua Saintis OpenAI, Ilya Sutskever.
Sutskever meninggalkan syarikat itu selepas terbabit dalam pemecatan sementara Altman.
Filem tersebut turut menyorot pertikaian antara Altman dengan Sutskever berhubung isu etika dan keselamatan AI.
Selain itu, filem terbabit menampilkan Mark Rylance sebagai Geoffrey Hinton, yang digelar ‘Bapa AI’; Ike Barinholtz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk; dan Monica Barbaro sebagai mantan Ketua Pegawai Teknologi OpenAI, Mira Murati.
Penggambaran filem itu dijalankan pada 2025, ketika kebimbangan terhadap risiko AI berkembang di luar kawalan manusia semakin meningkat.
Barbaro menyifatkan pengalaman menjayakan filem tersebut sebagai sesuatu yang mengujakan, namun mencabar kerana isu yang diketengahkan masih berkembang.
“Kami mahu menyampaikan kisah yang berlandaskan kebenaran, tetapi hakikatnya, perkara yang dianggap benar seolah-olah berubah setiap bulan,” katanya.