Tahun 2026 menandakan genap 10 tahun penyanyi Malaysia, Ara Johari, 28 tahun, menceburi kerjaya nyanyian secara serius selepas kemunculan beliau dalam program realiti, Akademi Fantasia Musim ke-13 (AF13), pada 2016.
Sebagai selebriti, penampilan turut menjadi perhatian serta buah mulut ramai justeru Ara muncul dengan imej tomboi dan berambut pendek sejak menyertai AF13.
Bahkan, beliau juga selamba dan tiada masalah langsung untuk bergaul dengan rakan bintang AF yang lain dengan imej sebegitu.
Baginya apabila berambut pendek, kepala terasa lebih ringan dan bebas.
“Sebenarnya, rambut pendek ini memang buat saya rasa bebas, ringan dan boleh jadi diri sendiri.
“Apatah lagi, saya jenis wanita yang aktif, berdandan pun ringkas dan sederhana.
“Imej rambut pendek dan tomboi itu paling menggambarkan personaliti diri saya yang asli dan tidak dibuat-buat.
“Malah, apabila saya rasa selesa, barulah boleh menyanyi dengan penuh keyakinan,” kata Ara, dalam laman web, Harian Metro.
Sepanjang tempoh beliau menceburi industri seni, Ara atau nama sebenarnya, Nurfarrah Izzatie Johari, berjaya merakamkan lagu yang dapat menambat hati peminat.
Sehingga kini, belum ada lagu hasil dendangannya membuat pendengar atau peminat hampa.
Mungkinkah ada rahsia di sebaliknya dalam mengenal pasti selera pendengar muzik masa kini yang sukar dijangka?
Mengulas lanjut, penyanyi lagu, Warkah Untukku dan Bunga berkata beliau memang seorang yang cerewet kerana mahu karya lagu yang terbaik, bermutu dan dirasakan sempurna didengar peminatnya.
“Saya memang cerewet. Bukan sebab terlalu ‘demand’ (meminta) lagu yang sedap, tetapi saya mahu pastikan lagu itu betul-betul sesuai dengan jiwa dan suara saya.
“Apabila lagu dipilih itu ‘kena’ dengan jiwa saya, barulah saya boleh sampaikan lagu itu secara jujur.
“Jadi, saya percaya pendengar juga boleh merasai ketulusan lagu itu dan kisah di sebalik lagu yang disampaikan.
“Setiap lagu ada jalan ceritanya melalui lirik yang ditulis.
“Oleh itu, sebagai penyanyi saya harus komited untuk memahami dengan teliti setiap liriknya sama ada sesuai dengan jiwa saya atau tidak,” ujarnya.
Kini, Ara muncul dengan beberapa lagu hasil kerjasama penggubah dari Indonesia.
Ara berkata beliau gemar mencuba pengalaman baru, berikutan industri muzik di negara jiran itu didapati ada gaya tersendiri.
“Sebenarnya, komposer tempatan kita pun ada ramai yang hebat.
“Dalam soal penghasilan lagu, semua (komposer termasuk penulis lirik) ada kekuatan masing-masing.
“Begitu juga komposer dari Indonesia.
“Cuma, komposer Indonesia ini ada gaya mereka sendiri.
“Saya hanya mahu meneroka gaya dan bunyi baru, sekali gus belajar daripada orang yang berbeza.
“Saya pun ingin cuba keluar dari zon yang selesa dan menjadi serba boleh.
“Untuk itu, saya perlu memberanikan diri menjalin kerjasama dengan komposer luar,” jelasnya.
Ini dibuktikan Ara dengan lagu, Menjaga Jodoh Orang Lain, yang dilancarkannya pada 2024, hasil ciptaan penggubah Indonesia, Ilham Baso, sekali gus berjaya ‘meledak’ di Malaysia hingga kini.
Malah, video muzik bagi lagu tersebut yang dimuat naik di YouTube sudah mencecah kira-kira 27 juta tontonan, sehingga akhbar ini diterbitkan, dengan pelbagai komen positif dan terbaik diterima oleh Ara.
Selain itu, Ara turut mengenali dan bekerjasama dengan komposer, Faizal Lubis, untuk menyanyikan lagu Cinta Terhebat, yang dijadikan sebagai runut bunyi (OST) bagi filem, Siapa Dia, arahan Garin Nugroho.
Baru-baru ini, Ara tampil melancarkan lagu terbaru berjudul, Terlalu Bodoh.
Ia merupakan kerjasama kali kedua dengan Ilham.
Ara berkata lagu itu sangat dekat dengannya kerana mesej yang disampaikan serupa dengan kisah lalunya.
Menyentuh pula tentang harapan dan perancangannya dalam kerjaya nyanyian, Ara berkata beliau hanya mahu terus mengembangkan bakat sebagai penyanyi dan mencuba genre baru.
“Saya nak buat lebih banyak kerjasama (dengan penggiat seni lain) kerana persaingan memang ramai, tapi saya percaya setiap artis ada ruang untuk berkarya.
“Apa yang pasti, kalau kita terus konsisten, merendah diri dan fokus pada karya bermutu, insya-Allah kita akan berjaya,” ujar Ara.
“
“Saya memang cerewet. Bukan sebab terlalu ‘demand’ (meminta) lagu yang sedap, tetapi saya mahu pastikan lagu itu betul-betul sesuai dengan jiwa dan suara saya. Apabila lagu dipilih itu ‘kena’ dengan jiwa saya, barulah saya boleh sampaikan lagu itu secara jujur. Jadi, saya percaya pendengar juga boleh merasai ketulusan lagu itu dan kisah di sebalik lagu yang disampaikan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg