Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Badak’ papar nilai kasih sayang tanpa syarat bapa kurang upaya

Pelakon Shaheizy Sam sanggup naikkan berat badan, jayakan watak bapa yang hadapi cabaran pendengaran
Oct 17, 2025 | 5:30 AM
shaheizy sam, badak, kurang upaya, aida amron, pengarah Singapura, M Raihan Halim
Pelakon berpengalaman, Shaheizy Sam, menghidupkan watak Badak, bapa yang membesarkan anaknya, Mira, seorang diri sambil berdepan cabaran sebagai individu kurang upaya. - Foto PAPAHAN FILMS

Selepas kemunculan dan kejayaan Babah, sebuah filem yang menyorot pengorbanan tanpa syarat seorang bapa yang mengalami masalah pendengaran, saya menyangka Badak juga akan menyajikan kisah dan pesanan yang hampir serupa.

Bagaimanapun, jangkaan itu ternyata meleset. 

Filem arahan Papahan Films ini bukan sekadar tentang kasih sayang dan pengorbanan keluarga, malah ia lebih dalam daripada itu.

Badak menelusuri sisi kemanusiaan, ‘generational trauma’ atau luka yang diwarisi antara generasi, serta keikhlasan cinta (seorang bapa dan anak) yang diuji oleh masa.

Meneruskan rentetan kejayaan filem arahan pengarah tempatan, M Raihan Halim, yang pernah mewakili Singapura dalam pencalonan awal kategori Filem Asing Terbaik di Anugerah Akademi Ke-97 (Oscar 2024), La Luna, pengarah prolifik itu kini kembali dengan karya terkini yang sarat emosi.

Penonton usah meragukan lagi kerjasama hebat antara tiga negara Nusantara iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia, dalam filem Badak kerana usaha kali ini benar-benar dilakukan dengan sepenuh hati. 

Setiap lokasi penggambaran dipilih dengan teliti, di samping skripnya yang jujur, menyentuh jiwa dan tidak klise. 

Dengan sokongan padu syarikat penerbitan dan agensi terkemuka seperti Clover Films, Golden Screen Cinemas (GSC), Sinemart Indonesia, Juita Viden, One Tree Holdings, ACT 2 Pictures, Dropkick, serta dukungan daripada Suruhanjaya Filem Singapura (SFC) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Badak jelas sebuah karya yang dihasilkan dengan komitmen tinggi sekali gus sentuhan penuh jiwa.

Jika karya seperti ini gagal mendapat sambutan, tentu sekali ia satu kerugian besar buat industri perfileman tempatan mahupun serantau.

Menariknya, filem ini turut menyatukan semula Raihan dengan pelakon, Shaheizy Sam (sebagai Badak), dan Wan Hanafi Su (Abah), gandingan mantap yang pernah mencipta sejarah dalam, La Luna, pada 2023.

Kali ini, Sam memegang watak seorang bapa yang menghadapi cabaran pendengaran bernama, Salihin Aziz, atau lebih mesra dikenal, Badak.

Manakala, bakat muda baru, Aida Amron, yang juga adik kepada pelakon terkenal, Nadiya Nisaa, berlakon sebagai anak Badak, Mira, yang bercita-cita menjadi penyanyi rap, namun terpaksa berdepan pelbagai dugaan yang datang bertali arus.

Melalui penceritaan yang rumit dan mendalam, filem Badak menampilkan pertentangan antara harapan keluarga dengan keinginan peribadi, menggambarkan bagaimana kasih sayang, pertelingkahan dan ketabahan membentuk jiwa pasangan anak dan bapa itu.

Di samping itu, dalam satu wawancara baru-baru ini, Sam mengakui berasa puas dapat menampilkan sisi berbeza dirinya melalui watak Badak.

“Saya rasa watak seperti Badak ini mustahil saya dapat daripada orang lain. 

“Saya berterima kasih dapat bekerjasama lagi dengan Raihan, kerana saya tahu beliau gemar mencuba perkara baru,” ujarnya.

Menurutnya lagi, cabaran terbesar adalah untuk meyakinkan penonton dengan lakonannya sebagai bapa yang menghadapi cabaran mendengar dan tidak mampu berkata-kata.

Sam berkata beliau diberikan tempoh tujuh bulan untuk menaikkan berat badan bagi menjayakan watak tersebut.

Saya rasa pemilihan Sam sebagai teraju utama benar-benar tepat, memandangkan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkannya sebagai seorang pelakon, bukan main-main.

Tambahan pula, dari aspek penghayatan emosi yang mendalam dan penuh lapisan, mutu lakonannya sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Apa yang paling menarik perhatian saya dalam filem ini ialah ketiadaan watak wanita sebagai figura ibu, sesuatu yang mungkin disengajakan untuk menonjolkan kontras dan perkembangan emosi antara Badak dengan Mira. 

Dalam Badak, Mira digambarkan sebagai anak yang taat membantu bapanya menguruskan gerai burger, sambil menjadi jambatan komunikasi antara Badak dengan pelanggan melalui bahasa isyarat.

Bagaimanapun, konflik mula tercetus apabila Mira memutuskan untuk mengejar impiannya dalam dunia muzik (rap dan hip-hop) serta meninggalkan bapanya menguruskan gerai sendirian. 

Di sinilah penonton dapat menyaksikan realiti getir yang dihadapi Badak, bukan sahaja dari segi kekangan fizikal, malah juga kurangnya empati masyarakat terhadap golongan kurang upaya.

Dalam pada itu, isu sebenar bukanlah tentang penolakan Badak terhadap impian anaknya, tetapi ketakutan akan kehilangan hubungan akrab mereka yang berpunca daripada luka lama antara dirinya dengan bapanya (lakonan Wan Hanafi Su). 

Hanya apabila Badak berdamai dengan masa lalu dan memaafkan bapanya, barulah beliau benar-benar mampu menerima dan menyokong impian Mira.

Kekuatan Badak turut terletak pada skrip dan dialognya. 

Meskipun komunikasi antara Badak dengan Mira banyak disampaikan melalui bahasa isyarat, tetapi setiap gerak tubuh dan mimik wajah menunjukkan emosi secara terang-terangan dan membawa makna yang dalam. 

Adakalanya, monolog dalaman Badak juga lebih tajam daripada kata-kata.

Meskipun ini merupakan penampilan sulung Aida di layar perak, beliau berhasil membawa watak anak muda berusia 25 tahun yang terperangkap antara tanggungjawab dengan impian untuk menjadi penyanyi rap, melalui lakonan jujur yang mampu meresap ke sanubari penonton.

Dari segi sinematografi pula, Badak berjaya menonjolkan kontras antara kekalutan dunia luar dengan kesunyian dunia dalaman Badak. 

Penonton seolah-olah dibawa menyelami kehidupan insan yang menghadapi cabaran pendengaran, memahami kesunyian dan kecekalan mereka. 

Sentuhan ini menjadikan filem Badak bukan sekadar tontonan cuma-cuma, tetapi satu pengalaman yang membuka mata dan jiwa.

Filem Badak boleh ditonton secara eksklusif di beberapa pawagam Golden Village di Singapura, mulai 16 Oktober.

... ‘Badak’ berjaya menonjolkan kontras antara kekalutan dunia luar dengan kesunyian dunia dalaman Badak. Penonton seolah-olah dibawa menyelami kehidupan insan yang menghadapi cabaran pendengaran, memahami kesunyian dan kecekalan mereka. Sentuhan ini menjadikan filem ‘Badak’ bukan sekadar tontonan cuma-cuma, tetapi satu pengalaman yang membuka mata dan jiwa.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg