Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bukan 'Madu Tiga' saja, bahkan berbakat menyanyi

Zaharah Agus turut dikenang sebagai penyanyi nasyid terawal Malaya, dengan lagu ‘Tiang Agama’ di Radio Malaya sekitar 1950-an
May 28, 2020 | 5:30 AM
Zaharah Agus, Madu Tiga
TERKENAL KERANA MADU TIGA: Zaharah Agus (kanan) diingati ramai sebagai Latifah, isteri pertama Jamil (lakonan P. Ramlee) yang dikelentong hingga tidak sedar dia ada dua madu, Hasnah (kiri, Jah Mahadi) dan Rohani (Datuk Sarimah Ahmad). - Foto-foto Shaw Brothers -

Dalam filem klasik Tan Sri P. Ramlee Madu Tiga, ramai penonton mengenali pelakon Zaharah Agus sebagai 'Tipah Main Mahjong' atau 'Tipah Butang Baju'.

Ini kerana watak isteri pertama orang kaya Jamil (lakonan P. Ramlee) itu sering dipapar sibuk main mahjong pada waktu lapangnya.

Terngiang-ngiang di fikiran dialog bersahaja Jamil cuba menyembunyikan perkahwinan keduanya daripada pengetahuan Tipah, atau Latifah:

"Pah, semalam kau main mahjong menang ke kalah?"

Jawab Tipah, yang sedang menyikat rambut, dengan nada marah dan tidak kuasa: "Menang $10!"

Kemudian dalam babak ikonik Jamil sudah siap dengan baju Melayunya untuk bernikah dan tercari-cari butang bajunya, dia bertanya: "Butang baju aku mana Pah?"

Hingga sekarang soalan itu dijadikan gurauan.

ZAHARAH PELAKON SELAMBA...

Watak Tipah yang digalas Zaharah, bintang tinggi lampai, sering berbaju kebaya dan bersuara serak-serak basah, itu melekat pada fikiran ramai orang, termasuk generasi muda yang tidak kering gusi menonton Madu Tiga terbitan Malay Film Productions kendalian Shaw Brothers.

Penulis blog Wadah Seniku, Cik Siti Aminah Ismail, mengulas: "Saya paling suka paparan watak selamba Tipah yang marah dengan suaminya yang main kayu tiga tapi sempat pula komen tentang menang $10 dalam permainan mahjong!

"Satu lagi babak yang payah dilupakan adalah perbualan Tipah dengan seorang wanita di pasar raya Fitzpatrick's di Orchard Road. Selain digamit memori keadaan pasar raya pertama berhawa dingin di Singapura itu, tercuit hati saya apabila Tipah yang mengawal kemarahan mendapat tahu suaminya kahwin lagi lantas mengalihkan pandangan sambil berkata, 'Celaka punya Jamil!'."

Tidak banyak bahan arkib dapat digali di alam maya mengenai Allahyarhamha Zaharah. Beliau sekali lagi berlakon bersama Datuk Sarimah Ahmad (gandingan dalam Madu Tiga) dalam filem Miang Miang Keladi arahan Omar Rojik pada 1968.

Miang Miang Keladi turut dibintangi suami Zaharah, M. Suki, antara pelakon filem Melayu pertama di Malaya sekitar 1933 yang menghidupkan filem Laila Majnun.

Sebuah lagi filem, Bukan Salah Ibu Mengandung pada 1969, menyaksikan Zaharah menjadi pelakon undangan dan ibu Agus, watak utama yang dibawa Datuk Jins Shamsuddin.

LEBIH MENYERLAH SEBAGAI PENYANYI SERBA BOLEH MALAH PENYANYI NASYID MALAYA PERTAMA...

Meskipun lakonannya bersahaja dan disifatkan sebagai pelakon karakter paling hidup apabila membawa watak antangonis, tidak ramai dalam kalangan generasi muda tahu bahawa Zaharah lebih berkebolehan sebagai penyanyi piring hitam.

Nama Zera Agus kadangkala digunakannya sebagai nama pentas ketika menyanyi.

"Zaharah Agus adalah penyanyi bersuara emas, malah beliau menyanyikan pelbagai genre lagu pada zaman kegemilangannya," ujar penggiat teater Aidli 'Alin' Mosbit, yang banyak terdedah pada kajian lagu-lagu lama.

Laman Kita Reporters memuatkan tulisan wartawan veteran Isa Ramli, yang pernah menjadi penolong kanan ketua penyunting Utusan Melayu Mingguan.

Rencananya yang menyingkap sejarah dan perkembangan lagu nasyid di Malaya menamakan Zaharah sebagai penyanyi nasyid terawal Malaya yang menyumbangkan suaranya pada lagu Tiang Agama di Radio Malaya sekitar 1950-an.

Encik Isa menukil kata-kata pendakwah bebas Ustaz Badli Shah Alauddin dalam satu ceramahnya bertajuk Kewajipan Sembahyang yang ditularkan di media sosial oleh kumpulan peminatnya, Fans Badli Shah, lewat tahun lalu. Lebih 70,000 orang mengikuti video ceramah itu.

Ustaz Badli Shah, seorang petugas di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), pada ceramahnya itu berkata nasyid terawal yang dinyanyikan Zaharah Agus bertajuk Tiang Agama.

"Menurut Ustaz lagi, beliau sukakan nyanyian Zaharah yang menceritakan secara lengkap tentang sembahyang yang merupakan Rukun Islam kedua dan wajib ditunai oleh setiap Muslim jika tidak mahu menerima seksaan pada Hari Kiamat nanti.

"Antara isi lagu itu juga menekankan sesiapa yang bersembahyang akan menerima rahmat yang setimpal jika suruhan Allah itu dituruti," tulis Encik Isa dalam rencananya.

Sejak dimuat naik ke YouTube pada 2008 oleh pengguna bernama MrCupan, yang gemarkan lagu klasik, Tiang Agama yang menceritakan tentang keperluan bersolat dengan amalan itu dihisab hingga ke hari kebangkitan di Padang Mahsyar, menarik tontonan lebih 82,000 pengguna.

Zaharah turut menyanyikan satu lagi lagu berunsur nasihat dan keagamaan bertajuk Dunia Pinjaman dengan irama persis lagu Hindustan.

LAGU USIK MENGUSIK, ILMU PENGETAHUAN, SINDIRAN TAJAM...

Apabila saya meninjau YouTube, banyak lagi lagu mencuit hati dan penawar duka dendangan Zaharah saya temui. Malah, saya tabik hormat dengan kesungguhan penulis lirik menghasilkan lagu yang bukan menghiburkan saja, bahkan banyak memberi pengetahuan tentang perkara yang tak pernah difikirkan, seperti jenis ikan atau unsur alam.

Mat Lodeh (yang kemudian diberi nafas baru oleh Anita Sarawak dengan lirik berbeza) menyisipkan lirik lawak jenaka seperti 'saya ibarat seekor tupai, di mana ada ranting di situlah saya sampai' dan 'lagu merapik dah nak habis'.

Ikan Kekek, yang dinyanyikannya, bak lagu pengenalan pelbagai jenis ikan, daripada gelama, buntal, kukup hingga pari, talang dan sembilang.

Kalau Mau Kenal pula membezakan antara daun duku dengan daun inai; semut putih dengan anai-anai dan roti perata dengan roti canai.

Lagu Saya Cemburu, tentang isteri yang sangsikan kejujuran suaminya, menggunakan campuran lirik Melayu dan Inggeris berbunyi: "Selalu saya bilang Darling I love you...tapi dia marah saya, Oh shut up you... Somebody told me dia ada lain perempuan... habis menggeletar saya punya badan..."

IRAMA PATRIOTIK, RAYA DAN TRADISIONAL

Baki lagunya yang jarang kedengaran di radio pula berunsurkan irama tradisional (Pulau Aman); patriotik (Malaya Merdeka) dan Lebaran (Duka Di Hari Mulia).

PEMBUKA JALAN BUAT DATUK AHMAD NAWAB...

Kalau ditanya penggubah lagu legenda Malaysia, Datuk Ahmad Nawab, Zaharah dianggapnya sebagai pembuka rezeki buat beliau merakam muzik gubahannya ke piring hitam.

Ini sebagaimana yang dikongsi Datuk Ahmad Nawab dalam satu wawancara radio:

"Penyanyi Zaharah Agus datang dan bertanyakan kepada saya ada lagu untuk dirakam ke piring hitam?

"Saya beri beliau lagu Keindahan Bintang Malam (yang awalnya dinyanyikan oleh pancaragam saya di pentas oleh Datuk Ahmad Daud) dan Nasib Dirundung Malang. Itulah kali pertama lagu saya masuk piring hitam."

Begitulah warna-warninya sumbangan Allahyarhamha Zaharah kepada dunia hiburan Melayu.

Beliau, yang dilahirkan pada 1922, menghembuskan nafas terakhirnya di Pulau Pinang pada 26 Mac 1978 pada usia 56 tahun kerana penyakit jantung. Jenazahnya disemadikan di perkuburan Islam di Jalan Perak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg