Ada pepatah Melayu berkata, ‘biar lambat asal selamat’.
Mungkin itulah juga gambaran pelakon Malaysia, Chacha Maembong, atau nama sebenarnya, Siti Aishah Ismail, ketika memilih untuk membina kerjaya seninya dengan perlahan tetapi penuh teliti.
Selama berkecimpung dalam bidang seni sejak remaja, Chacha tidak ghairah mengejar populariti atau menjadi bahan cerita sensasi.
Apabila ditemui Berita Harian (BH), Chacha, 29 tahun, berkata:
“Bagi Chacha, menjadi artis itu mudah, tetapi untuk menjadi pelakon yang dapat meninggalkan kesan, itu cabarannya.
“Ramai orang boleh berlakon, tetapi untuk benar-benar menyampaikan emosi kepada penonton adalah perkara yang jauh lebih susah.”
Bagaimanapun, akhir-akhir ini, Chacha diberi kepercayaan oleh syarikat penerbitan untuk memikul watak berat, khususnya dalam drama, Langit Ke Tujuh, yang meraih perhatian netizen pada Januari 2025.
Sehubungan itu, watak terbabit turut mendorongnya untuk melakukan kajian mendalam, yang dapat menambah lagi kesan lakonannya.
Drama, Langit Ke Tujuh, yang menampilkan lakonan hebat Zamarul Hisham, Nora Danish, Farahdhiya dan Faezah Elai, mengisahkan tentang manusia yang menggunakan agama untuk menyesatkan orang lain.
Dalam drama yang ditayangkan di laman web penstriman hiburan Malaysia, Tonton, Chacha memainkan watak sebagai Zahara, yang terpengaruh untuk menjadi isteri keempat Ayah Abdul (lakonan Zamarul).
Walaupun pada mulanya ragu-ragu untuk menerima tawaran tersebut kerana memikirkan tanggapan negatif netizen, beliau akhirnya yakin dengan matlamat drama itu untuk mendidik masyarakat.
“Drama Langit Ke Tujuh, membawa pesanan yang luas dan mendalam.
“Takkanlah kita nak sampaikan mesej itu melalui mulut ke mulut? Ia tak akan ‘sampai’.
“Jadi, kami melakukannya melalui seni lakonan. Lebih dari itu, watak ini membawa saya keluar dari zon selesa, dan itulah yang saya mahu dalam kerjaya saya,” kata anak bongsu dalam keluarga 11 beradik itu, yang mula berkecimpung dalam bidang lakonan melalui watak tambahan.
Ketika di set penggambaran, Chacha memastikan dirinya menjiwai watak yang dibawakan dengan sepenuhnya.
“Bila dah dapat rasa watak itu, saya tak lagi ‘control’ cun.
“Kalau watak menangis, biarlah saya menangis sepenuhnya.
“Saya tak akan fikirkan peristiwa sedih, tapi saya akan fokus pada motivasi watak itu dan sebab dia bertindak begitu,” tambahnya.
Selain itu, Chacha turut menekankan pentingnya tenaga lakonan yang disampaikan oleh ‘sparring partner’ atau rakan berlakon, di set penggambaran.
“Kalau watak rakan berlakon kita ‘memberi’ (tenaga), secara semula jadi kita akan rasakan emosi itu dan memberi tindak balas sewajarnya,” tambah Chacha, yang turut terlibat dalam drama, Lara Kasih, yang dijayakan bersama pelawak dan pelakon, Fikry Ibrahim.
Menyentuh soal perbandingan antara dirinya dengan kakaknya, Emma Maembong atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 33 tahun, Chacha menolak anggapan wujudnya persaingan antara mereka.
Sebaliknya, beliau melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif.
“Walaupun kami adik-beradik, kami adalah individu yang berbeza.
“Ia sama seperti membandingkan saya dengan orang lain,” ujar Chacha, yang terbiasa menjawab soalan media yang menanyakan tentang isu perbandingan antara kededua adik-beradik itu.
Sebaliknya, Chacha menjelaskan beliau dan Emma kerap bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman dalam dunia lakonan, serta saling mendukung untuk memastikan setiap watak yang mereka bawakan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Kalau saya perlukan nasihat, beliaulah yang saya cari untuk kongsikan segala kerisauan saya dan begitu pun juga bagi Emma.
“Apa saja yang Emma lakukan, saya sentiasa menyokongnya, begitu juga sebaliknya.
“Ramai juga yang tidak tahu bahawa salah satu kelebihan mempunyai kakak dalam industri yang sama ialah kami boleh berkongsi busana.
“Mungkin ada penonton yang perasan busana yang sama digunakan dalam projek atau drama berbeza,” kata Chacha sambil berseloroh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg