SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Cukuplah setakat satu lagu Raya pengubat rindu

Cukuplah setakat satu lagu Raya pengubat rindu

Pencipta, penyanyi ‘Sepasang Kurung Biru’, Khairil Johari Johar, bimbang lagu baru atasi populariti lagu ikoniknya
Mar 25, 2025 | 6:55 PM

Cukuplah setakat satu lagu Raya pengubat rindu

Pencipta dan penyanyi lagu Raya terkenal, ‘Sepasang Kurung Biru’, Khairil Johari Johar, memberi gambaran enggan mencipta atau menyanyikan lagu Raya lain kerana cukuplah satu lagu Raya yang benar-benar memukau perhatian ramai. 
Pencipta dan penyanyi lagu Raya terkenal, ‘Sepasang Kurung Biru’, Khairil Johari Johar, memberi gambaran enggan mencipta atau menyanyikan lagu Raya lain kerana cukuplah satu lagu Raya yang benar-benar memukau perhatian ramai.  - Foto fail

Sudah hampir 40 tahun lagu hit beliau, Sepasang Kurung Biru, menjadi pujaan pendengar.

Namun, timbul tanda tanya mengapa selepas lagu sayu-mendayu itu ‘meletup’ di carta lagu-lagu Hari Raya, komposer dan penyanyi lagu tersebut, Khairil Johari Johar, tidak muncul lagi dengan sebarang lagu Raya lain.

Apabila ditanya mengenai perkara itu, beliau memberikan gambaran, cukuplah satu lagu Raya yang benar-benar memukau perhatian ramai sehingga tidak jelak didengar setiap musim Raya.

Kalau dicipta satu lagi lagu Raya, beliau bimbang pula lagu itu akan mengatasi kehebatan Sepasang Kurung Biru lantas ‘memendakkan’ dan ‘melenyapkannya’ pula.

Dalam satu wawancara Berita Harian (BH) bersama Khairil, yang kini sudah berusia 63 tahun, lebih sejam sebelum menjalani rakaman program Sinar Lebaran 2014 di studio teater MediaCorp:

“Terharu apabila sebut saja lagu ’tu, orang tahu (nama) saya. Sebab saya nyanyikan sendiri lagu itu. Kalau saya hanya cipta lagu tu, orang mungkin tidak akan begitu kenal saya. Entah macam mana nasib saya baik, syarikat rakaman EMI meminta saya nyanyikan sendiri lagu itu.”

Khairil, 53 tahun, akui bukan mudah mencipta lagu Raya.

“Kita buat sesuatu yang boleh bertahan lama. Saya tak nak buat, kemudian sudah begitu sahaja dan orang tak nak dengar lagi,” kata lulusan Maktab Muzik Berklee di New York.

Menurut Khairil, beliau mencipta melodi lagu itu setelah menerima dan menghayati lirik yang dihasilkan penulis lirik tersohor, Habsah Hassan.

“Saya nak buat sesuatu yang moden, moden bagi zaman itu (1980-an) dan sesuatu yang lain daripada apa yang orang sudah pernah dengar.

“Malah, semasa saya cipta melodi lagu ini, saya harap ia akan membuat pendengarnya menangis, sedih dan teringat (orang tersayang),” kata bapa dua anak perempuan dan seorang anak lelaki, yang berusia antara 29 hingga 35 tahun, itu.

Katanya, ketika lagu Sepasang Kurung Biru mula meletup, beliau agak terkejut dengan sambutan terhadap lagu itu setiap kali menjelang Raya.

“Malah, saudara-mara di Singapura juga memberitahu saya bahawa lagu saya memang top di Singapura. Mereka kata dalam carta lagu Raya, lagu itu sering mendapat tempat pertama atau kedua,” katanya lagi.

Beliau juga akui terharu bahawa walaupun ramai pendengar hari ini mungkin belum dilahirkan ketika lagu itu mula-mula berkumandang di radio, pendengar muda masih ingin mendengar lagu itu.

Khairil merupakan anak kedua pencipta lagu terkemuka, Allahyarham Johar Bahar. Allahyarham, yang mencipta lagu-lagu seperti Selamat Tinggal Bungaku dan Pahlawanku, meninggal dunia pada 2005.

Ibunya, Allahyarhamha Hasnah Mohd Yunus, yang meninggal dunia tidak lama sebelum wawancara bersama BH ini dijalankan, pula pernah berkecimpung dalam bidang muzik sebagai penyanyi keroncong ketika ibunya itu baru berusia 12 tahun.

Ketika melibatkan diri sebagai penyanyi keroncong, beliau bertemu dengan bapa Khairil. Khairil juga mempunyai seorang kakak yang kini bermastautin di Brazil dan seorang adik perempuan yang tinggal di Terengganu.

Anehnya, walaupun Sepasang Kurung Biru begitu popular, Khairil jarang muncul di televisyen dan penampilan terakhirnya di televisyen adalah pada 2009.

Khairil sempat bergurau bahawa hanya setelah usianya mencecah 53 tahun, barulah beliau diundang menjayakan rancangan televisyen di Singapura.

“Agaknya, kalau mereka undang saya semasa usia saya 20-an atau 30-an tahun, mungkin saya boleh jadi lebih popular,” selorohnya

Khairil, yang bergelar Profesor Madya dan Timbalan Dekan, Fakulti Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang muzik profesional dari Maktab Muzik Berklee dan ijazah sarjana dalam bidang pengajian jaz dari Konservatori Muzik New England.

Selain lagu Sepasang Kurung Biru, beliau juga popular dengan lagu Terbang Helang, yang juga pernah dirakamkan Datuk Sharifah Aini.

Khairil juga diiktiraf sebagai salah seorang penerbit album Siti Nurhaliza, Lentera Timur, yang memenangi anugerah Album Pop Etnik Terbaik dan Album Terbaik acara Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 pada 2009.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg