Datuk Vida ingin bina ‘rumah kedua’, tebar sayap niaga di S’pura
Datuk Vida ingin bina ‘rumah kedua’, tebar sayap niaga di S’pura
Usahawan selebriti M’sia jadi nadi setiap kempen pemasaran tanpa guna model hingga sanggup jual barang ‘live’ di hutan
Akhir-akhir ini, kelibat usahawan sensasi Malaysia, Datuk Seri Hasmiza Othman, lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV), sering mengisi ruang di Singapura.
Baik muncul dalam siaran langsung TikTok, bekerjasama dengan personaliti tempatan, mahupun menghadiri acara hiburan, kehadiran tokoh perniagaan dari seberang yang menghiburkan itu semakin ketara.
Ramai yang tertanya-tanya apakah strategi ikon kecantikan dan pemasaran tersebut untuk bertapak lebih kukuh di Singapura?
Rupanya, ia bukan sekadar kunjungan biasa. DSV kini sudah menubuhkan syarikat di Singapura, menyewa pejabat serta gudang, dan sejak Jun 2025, beliau meluangkan masanya di sini selama dua minggu setiap bulan.
Malah, beliau sedang meninjau peluang membeli hartanah sebagai kediaman tetap apabila berada di bandar raya ini.
“Menurut DSV, keputusan meluaskan empayarnya ke Singapura dibuat selepas beliau menilai sendiri potensi pasaran di beberapa negara Asia.
“Sebagai peniaga, saya banyak merantau untuk mengintai peluang. Bila bandingkan kemudahan dan sistem di setiap negara, Singapura paling maju dan paling mudah untuk berdagang. Saya mahu merebut peluang itu,” jelasnya, tanpa memberikan butiran terperinci mengenai rancangannya.
Buat masa ini, beliau masih memberi tumpuan kepada perniagaan dalam talian tetapi menggunakan prasarana Singapura untuk kelancaran penghantaran yang kian meningkat.
Pada awalnya, beliau hanya menyertai acara dagangan atau ekspo, namun harga sewa gerai yang mencecah $9,000 untuk tiga hari membuatkan beliau menukar haluan strategi.
Sejak 2024, DSV mula membina prasarana perniagaan secara atas talian untuk pasaran Singapura.
Beliau melakukan siaran langsung atau ‘live’ hampir setiap hari, dengan menumpukan pada produk seperti keropok kulit ikan, Salmon Skin Cik B, sabun tomato dan juga produk kesihatan, Pamoga.
Seperti perniagaannya di Malaysia, beliau tetap melibatkan dua anaknya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, atau lebih dikenali dengan panggilan Cik B, 20 tahun, dan Muhammad Eric Zaquan atau Kacak, 18 tahun, untuk pemasaran di Singapura.
“Saya ambil masa menyusun rapi perniagaan di Singapura. Saya sendiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Singapura dan dibantu Cik B serta Kacak.
“Pembeli Singapura sangat menyokong. Mereka doakan saya berjaya, itu sesuatu yang tak boleh dibeli dengan wang.”
Selesa dengan rakan kerjasama Singapura
Selain pasaran yang kuat, faktor hubungan baik dengan personaliti tempatan turut mengukuhkan kehadiran DSV di Singapura.
Antaranya ialah pengacara dan penyanyi popular, Roslan Shah (Cik Lan), serta usahawan F&B, Mohamad Hussin Said, atau lebih dikenali sebagai Mangobossku.
“Saya kenal Cik Lan sejak 2012 lagi. Bukan mudah saya nak percaya pada kerjasama bisnes, tapi di Singapura saya selesa dengan mereka.
“Mereka depan mata, senang berurusan, dan sentiasa sokong saya walaupun masing-masing ada komitmen lain,” katanya.
DSV kini kerap tampil dalam program NightWalk oleh MBK Film Studio (milik Manggobossku) bersama Roslan Shah, kerjasama yang tular di YouTube.
Baginya, keselesaan bekerja dengan rakan-rakan tempatan ini menjadi faktor utama beliau mahu benar-benar berakar di Singapura.
DSV sebagai wajah jenama
Walaupun kebanyakan jenama bergantung pada model profesional, gaya pemasaran DSV tetap unik dan konsisten: beliau sendiri ialah nadi setiap kempen.
Daripada video muzik tular I Am Me yang menampilkan pakaian berkilauan dan tiara besar, hinggalah slogan ikonik “Qu puteh, Qu puteh, barulah puteh”, DSV menjadikan personalitinya sebagai aset pemasaran yang tiada bandingan.
“Saya guna diri sendiri untuk pemasaran. Tidak pakai model. Pelanggan cari keikhlasan. Saya buka, saya cerita, saya turun padang, sampai masuk hutan pun saya buat ‘live’ untuk jual barang,” katanya sambil tertawa.
Dari keropok ke empayar Qu Puteh
Dilahirkan pada 24 Oktober 1971 di Machang, Kelantan, DSV memiliki ijazah dalam bidang pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM), dengan pengkhususan dalam Sastera Melayu dan Sejarah.
Sejak zaman universiti, beliau sudah berniaga kecil-kecilan: menjual keropok, mengambil kerja sambilan dan mencari akal menambah pendapatan.
Beliau pernah melalui kejatuhan kewangan, termasuk mengambil pinjaman enam angka untuk membuka salun pertamanya.
Meskipun menerima geran RM1 juta ($314.142) daripada kerajaan Malaysia untuk membangun jenamanya, separuh daripada peruntukan itu habis pada kos pengiklanan, namun perniagaan gagal membuahkan hasil.
Vida Beauty hampir ditutup, sehinggalah DSV mengambil peluang bercakap dalam segmen radio 15 minit setiap hari. Dari situlah, nama dan produknya mula menarik perhatian.
Beliau kemudian melonjak sebagai penaja utama rancangan televisyen Malaysia seperti Gegar Vaganza, Mentor Milenia dan Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29).
Seiring populariti, DSV tidak pernah sunyi daripada kontroversi, daripada kritikan mengenai penajaan stadium yang dicat merah jambu hinggalah gaya hidup mewah dan penampilan yang tampak berlebih-lebihan.
Paling terkini, pada Oktober 2025, aset beliau dilaporkan disita akibat hutang lama yang tertunggak, membuka perbincangan hangat mengenai tadbir urus kewangannya.
Namun, sebagaimana yang diketahui ramai, DSV jarang merudum lama, beliau selalu muncul kembali dengan strategi baru.
Selain produk kecantikan, DSV kini merancang memperkenalkan produk makanan baru termasuk kentang lenyek, serta memperkukuh kerjasama kandungan bersama rakan-rakan Singapura.
“Semuanya terhampar di Singapura. Saya rasa selesa, rasa dihargai. Pasaran kuat, pelanggan setia, rakan berniaga komited. Sebab itu saya mahu bina ‘rumah kedua’ di sini,” katanya.

