Pelakon Malaysia, Diana Danielle, 33 tahun, tidak menafikan dakwaan mantan suami, Farid Kamil, 44 tahun, bahawa mereka sudah setahun tidak berhubung, sejak bercerai, Mac lalu (2025).
Menurut Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, beliau mengelak untuk berkomunikasi dengan Farid kerana mereka baru melalui fasa perceraian.
Diana turut mendakwa beliau perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.
“Saya pilih untuk jaga jarak daripada segi komunikasi.
“Seperti yang kita tahu, ini suatu perkara yang sangat baru dan masih segar.
“Jadi, saya perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan keadaan ini.
“Siapa tahu, mungkin suatu hari nanti, kami akan berkomunikasi semula.
“Tetapi, buat masa sekarang biarlah semuanya tenang dahulu.
“Saya pun masih mencari rentak dengan fasa baru ini,” kata Diana, yang ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di sidang media Anugerah Meletop Era di Malaysia, pada 29 Julai.
Diana tidak melihat tiadanya komunikasi antara mereka mendatangkan masalah disebabkan Farid boleh berhubung terus dengan anak-anak.
Baginya, cara itu lebih baik bagi mengelak dirinya dituduh cuba mempengaruhi anak.
“Fokus utama sekarang adalah anak-anak.
“Bagi saya, lebih baik beliau berhubung terus dengan mereka.
“Apa-apa yang dirasakan sesuai, contohnya, kalau beliau merancang hendak berbuat sesuatu dengan anak-anak, boleh tanya terus kepada mereka.
“Saya cuma fikir mengenai jadual sekolah dan saya cuba ingatkan mereka mengenai rutin harian, contohnya, kalau ada tuisyen atau sekolah,” kata Diana lagi, dalam laman web BHM.
Pelakon itu turut mengulas mengenai kenyataan dalam temuramah program audio siar, baru-baru ini di mana netizen mendakwa beliau masih belum ‘move-on’ atau teruskan kehidupan, dan menyesal dengan keputusan untuk bercerai.
“Podcast itu adalah mengeni perjalanan hidup saya.
“Sudah tentu apabila bercerita mengenai kehidupan, muncul beberapa nama yang pernah wujud dalam fasa tertentu.
“Bukan hanya beliau (Farid), malah beberapa individu lain.
“Saya tidak jangka jadi emosional ketika rakaman.
“Tetapi keadaan itu berlaku secara spontan. Mungkin kerana saya merasa selesa dengan pengacara podcast itu iaitu, Sudirman,” kata Diana.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg