Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hiburan
39
0

Diserang strok: Zaleha Hamid mula tunjuk tanda positif

Pernah digelar Ratu Dangdut S'pura, M'sia semasa era popular 1980-an
Feb 23, 2020 | 05:30 AM



JOHOR BAHRU: Penyanyi popular era 1980-an, Zaleha Hamid, 65 tahun, yang terlantar akibat diserang angin ahmar peringkat permulaan kini sudah mampu menggerakkan kaki dan tangannya selepas menjalani terapi dan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.



Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 55 tahun, berkata beliau dan dua anaknya, Ungku Chik Zafirul Azman, 32 tahun, dan Ungku Muhammad Danial, 24 tahun, gembira dengan perkembangan positif yang ditunjukkan isterinya itu, lapor Sinar Harian.



Ungku Sulaiman yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Seelong, Senai, sudah sebulan mengambil cuti untuk menguruskan isterinya termasuk menyediakan keperluan harian dan menghantar Zaleha menjalani terapi di HSA.



"Zaleha kini bergantung dengan susu formula khas yang dimasukkan melalui tiub di hidung dan memakai lampin pakai buang.



"Dia (Zaleha) pernah cakap dia asyik susahkan saya dan anak-anak untuk jaga dia sakit. Saya beritahu kepadanya ini semua ujian Allah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Skudai Baru ketika menerima kunjungan Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Encik Mohd Khuzzan Abu, baru-baru ini.



Ungku Sulaiman berkata selepas diserang angin ahmar pada Disember tahun lalu, Zaleha hanya terbaring.



"Keadaannya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Selain terapi dan mandi, dia diurut kerana doktor nasihatkan kaki dan tangannya perlu sentiasa digerakkan," katanya.



Sementara itu, Encik Mohd Khuzzan berkata kerajaan negeri akan membantu mempercepatkan urusan di hospital selain bantuan-bantuan yang diperlukan Zaleha.



Zaleha antara perintis awal kepada irama muzik dangdut di Singapura dan Malaysia.



Beliau turut digelar Ratu Dangdut Malaysia dan Ratu Dangdut Singapura.



"Majlis Kebudayaan Negeri Johor akan melawat Zaleha bagi melihat keadaan beliau. Kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan artis lama tanah air," kata Encik Mohd Khuzzan.



Pelantun suara bagi lagu dangdut dan irama Hindustan itu diserang angin ahmar peringkat permulaan dipercayai selepas terjatuh di bilik air rumahnya pada Disember lalu.



Kejadian dikatakan berlaku selepas Zaleha pulang dari Kuala Lumpur bagi menghadiri siaran langsung program pentas akhir Gegar Vaganza (GV) musim keenam pada 22 Disember lalu.



Zaleha mula berkecimpung dalam dunia seni sejak berusia lima tahun bersama bapanya, Abdul Hamid Tambi Kecik, menjayakan persembahan Panggung Bangsawan yang terlibat dengan persembahan muzik sekitar era 1960-an.



Arwah bapanya penggesek biola yang disifatkan sebagai terbaik di seluruh Malaysia dan Singapura. Ibunya, Jaharah Ghani, pula pelakon bangsawan seangkatan dengan seniwati Kasma Booty.



Sebelum ini, Berita Harian Malaysia (BHM) menukil Ungku Sulaiman sebagai berkata beliau sudah melihat perubahan isteri pada hari kemunculannya dalam program GV6.



"Mama merungut, kakinya lenguh apabila berjalan pantas. Saya suruh berjalan perlahan-lahan.



"Ketika sedang bersolek, saya lihat kepalanya asyik senget ke sebelah kanan, tetapi alhamdulillah, tiada reaksi seperti nak terkena serang angin ahmar.



"Perubahan ketara apabila bergurau atas pentas bersama pengacara, Nabil Ahmad. Gerak tubuh dan pertuturannya seperti ada lain sikit," katanya.



"Saya mengharapkan persatuan dapat menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan kami.



"Ubatan, pampers dan susu memerlukan perbelanjaan tinggi, tetapi kami kurang berkemampuan. Sejujurnya, kami anak beranak hidup seadanya, pendapatan saya pula tidak seberapa," katanya.



Dalam wawancara terakhirnya dengan Berita Harian Singapura pada Julai tahun lalu , Zaleha atau lebih mesra dengan panggilan Kak Leha - yang dilahirkan di Sungai Pinang, Pulau Pinang, pada 31 Ogos 1957 sebelum aktif di Singapura - berkata:



"Minat menyanyi timbul sejak kecil. Maklumlah, keluarga Kak Leha semua orang bangsawan. Justeru, saya banyak terdedah pada menonton dan melibatkan diri sebagai penyanyi latar kisah bangsawan raja-raja.



"Biasanya, kita lihat sejarah sesebuah kisah bangsawan. Kita terdedah pada irama asli ataupun yang berbaur Hindustan. Menyanyi lagu ala Hindustan ini bukannya mudah. Ia campuran irama Indonesia, India dan Arab.



"Kak Leha siang ke sekolah, malam menyanyi. Saya kena belajar sebutan lirik, perlu hafal lirik dan fahamkan maknanya bagi berikan penghayatan yang mendalam.



"Guru Kak Leha ni pula bukan main garang. Dari 9 pagi, kami mula berlatih. Beliau akan ajar cara tampilkan wajah sedih atau muka gembira mengikut keperluan lagu itu.



"Berlatih dan terus berlatih tanpa henti dan tanpa makan dan minum sampailah petang. Pada 4 petang, baru dapat teguk air. Pada 5 petang pula, barulah dapat makan nasi. Beliau tekankan kesempurnaan. Lantaran itu, perjalanan seni Kak Leha memang tak senang."




Saya mengharapkan persatuan dapat menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan kami. Ubatan, 'pampers' dan susu memerlukan perbelanjaan tinggi, tetapi kami kurang berkemampuan. Sejujurnya, kami anak beranak hidup seadanya, pendapatan saya pula tidak seberapa.
- Ungku Sulaiman Ungku Aziz, suami Zaleha Hamid.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >