Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua dekad selepas Cenderawasih, 2D masih perjuang budaya
Rifaah dan Rayhul kini disertai adik mereka, Rico; buat persembahan sulung di WGS
Dua dekad selepas Cenderawasih, 2D masih perjuang budaya
Buat julung-julung kalinya, tiga beradik berdarah seni, Rayhul Firdaus, Rifaah Ridzuwanulhakim dan Rico Setiabudi berkongsi pentas untuk menyanyi bersama serta berkongsi kisah mereka dalam perjalanan seni.
Dengan judul ‘222: Fasa Tiga’, tiket bagi ‘showcase’ atau persembahan kecil di Wisma Geylang Serai (WGS) yang memuatkan seramai 60 orang itu telah habis dijual.
Selain daripada persembahan nyanyian bagi beberapa lagu yang dicipta oleh mereka sendiri, persembahan itu menyingkap semula kembara seni mereka yang mempunyai liku-likunya sejak lebih 20 tahun lalu.
Mengulas makna sebalik judul persembahan yang bakal diadakan pada 11 Oktober itu, Rifaah, 44 tahun berkata angka 222 itu merujuk kepada nombor blok rumah di Tampines ketika mereka dibesarkan di situ.
Menurut mereka, blok itu menjadi saksi titik awal serta perkembangan mereka bertiga dalam bidang seni dan nyanyian.
“Blok 222 itu bukan sahaja tempat kita membesar bersama suatu ketika dahulu.
“Malah, ia merupakan tempat berjalanannya kegiatan kesenian kita seperti rakaman lagu dikir barat secara beramai-ramai, tempat kita mencipta lagu dan juga tempat berkumpulnya kumpulan 2D yang menjadi hit pada era lewat 90-an,” kata mereka.
Ketiga-tiga beradik itu yang bermula sebagai penggiat dikir barat mula menempa nama sebagai penyanyi arus perdana melalui penubuhan kumpulan 2D – sebuah kumpulan yang mendendangkan lagu dikir barat dalam bentuk ‘pop’.
Antara lagu popular yang sering dikaitkan dengan kumpulan 2D termasuk ‘Cenderawasih’, ‘Seindah Syurgawi’ dan ‘Bonda Kusanjung, Ayah Kuagung’.
Mereka juga berkongsi, melalui dikir barat dan kumpulan 2D, kembara mereka dalam dunia seni dan muzik menjadi semakin luas.
“Selepas kami terdedah kepada dunia muzik yang lebih luas melalui penglibatan dalam 2D, kami rasa terpanggil untuk teroka bidang tersebut dengan lebih mendalam lagi.
“Jadi, kami cuba menjinak-jinakkan diri dengan rakaman, pembikinan lagu serta produksi,” kata mereka.
Namun, dalam perjalanan mereka sebagai anak seni yang telah kian berkembang, terdapat beberapa perkara yang telah menggusarkan mereka dan dikongsikan melalui persembahan ‘222: Fasa Tiga’ itu.
Justeru, pengertian sebalik judul ‘Fasa Tiga’ itu merujuk kepada peringkat dan bidang berbeza yang mereka telah ceburi termasuk muzik, video dan produksi yang ingin dikongsi bersama penonton.
Walaupun penglibatan ketiga-tiga beradik itu selalu dikongsi bersama dan berputar pada elemen yang serupa, setiap daripada mereka mempunyai cabaran yang tersendiri.
Bagi Rifaah sendiri, beliau telah melebarkan sayapnya dalam bidang teater seperti bangsawan dan juga produksi.
Malah, beliau telah menjayakan beberapa produksi atau acara seni seperti ‘Dikir Battle’ dan ‘Malam Ilham Dikir’ yang telah mengumpulkan lebih 2,000 penonton.
Meskipun penglibatannya telah merentas pelbagai bidang, beliau tetap dapati orang ramai sering mengaitkannya dengan 2D semata-mata.
“Apabila orang bertemu dengan saya, mereka asyik bertanya ‘eh tak menyanyi dengan 2D lagi?’ atau akan meminta saya menyanyikan lagu ‘Cenderawasih’ yang dipopularkan 2D dahulu.
“Pada awalnya, saya rasa agak terkilan mereka hanya mengaitkan saya kepada itu sahaja sedangkan saya sudah hasilkan beberapa lagu lain.
“Saya hingga terfikir adakah saya hanya akan dipandang sebagai penyanyi 2D atau penyanyi ‘Cenderawasih’ sahaja,” kata beliau.
Namun, setelah membuat renungan, beliau menjadi lebih berlapang dada akan perkara itu.
Rifaah percaya beliau diletakkan di posisi itu atas sebab yang tertentu.
“Lama-kelamaan, saya mula faham ada sebabnya Tuhan letak saya di situ.
“Apabila orang sering kaitkan saya dengan 2D atau Cenderawasih, secara tidak langsung ia menjadi faktor yang menyatukan peminat dan juga penggiat dikir.
“Jadi, apabila saya anjurkan acara seperti ‘Dikir Battle’ dan ‘Malam Ilham Dikir’, ramai sangat orang yang datang meraikan dan itu membuat saya menangis terharu.
“Di saat itulah, saya jadi lebih terbuka dengan cara penerimaan orang terhadap karya saya,” tambah beliau.
Bagi Rico Setiabudi, 33 tahun, beliau juga berkongsi pernah terpaksa hidup dalam ‘bayang-bayang’ abang-abangnya yang menganggotai 2D.
“Apabila orang berjumpa dengan saya je, mereka akan bertanya ‘Mana Rifaah?’ atau ‘Mana Rayhul?’.
“Kadang-kadang saya pun keliru apabila kerap ditanya tentang abang-abang saya.
“Perkara itu tidaklah menjejaskan saya sangat cuma ia buat saya terfikir bagaimana saya boleh cipta nama saya sendiri,” kata Rico.
Namun begitu, Rico tidak menafikan beliau banyak mengambil inspirasi daripada abang-abangnya itu dalam bidang seni.
Tanpa rasa beban, Rico juga telah teroka dunia seni dengan lebih luas bagi mencipta nama dan kebolehannya yang tersendiri.
Beliau telah menyelami bidang perkusi dan mengambil pendekatan nyanyian yang berbeza daripada abang-abangnya.
Malah, beliau juga pernah menyertai rancangan pertandingan seperti ‘Kaki Nyanyi’ dengan kumpulannya GTS (GilerTakSayang) dan ‘Berani Lakon’.
“Saya ada personaliti yang lebih candi dan bertenaga.
“Jadi secara semulajadinya pun, nyanyian saya lebih cenderung kepada genre ‘Indie Pop’ dan tidak serupa dengan nyanyian abang saya,” kata beliau yang merupakan adik bongsu.
Ketika ditanya Berita Harian (BH) tentang apakah perancangan mereka untuk terus bertapak dalam industri seni dan hiburan, Rayhul Firdaus, 45 tahun, berkata ia tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka untuk mengejar kerelevanan dalam industri.
Menurut Rayhul, adik-adiknya dan diri beliau khususnya sentiasa mempunyai sifat ingin tahu dan ingin teroka.
Justeru, beliau tidak akan segan untuk mencuba perkara baharu dengan bersungguh.
“Apabila saya dalami tentang rakaman muzik, saya akan luangkan masa tiga hingga empat hari untuk benar-benar menguasai bidang itu.
“Selepas beberapa tempoh masa, saya berpindah mendalami bidang video pula dan pernah ke Kuala Lumpur bagi menceburi bidang perfileman.
“Jadi, saya akan sentiasa cari peluang untuk belajar benda baharu,” kata beliau
Dalam bab muzik, Rayhul tidak segan dan terbuka untuk menyerap banyak pengaruh termasuklah muzik Inggeris.
Walaupun terbuka untuk mengambil sedikit selera daripada tradisi luar, beliau berprinsip untuk tidak langsung melepaskan unsur-unsur kemelayuan dalam karyanya.
“Sebahagian daripada apa yang saya pelajari, penting untuk kita ambil inspirasi dan pengaruh lain dalam menghasilkan karya.
“Tapi, saya percaya jati diri Melayu itu perlu tetap ada dan tidak boleh kita ketepikan dalam berkarya,” kata beliau.