Peristiwa dilempar kaca dan telur sewaktu ‘berjiwang’ di bawah kolong blok, bertemankan petikan gitar akustik, menjadi antara kenangan yang sukar dilupakan penggubah lagu dan penyanyi tempatan, Jumali Sanotri, semasa pembabitan awal dalam bidang seni.

Pada mulanya, Jumali, atau nama sebenarnya, Jumali Johari, 35 tahun, yang juga vokalis kumpulan Sanotri, mengimpikan menjadi penggubah lagu.

Bagaimanapun, selepas lagu ciptaannya dicuri dan dimuat naik ke Internet tanpa kebenaran, beliau mula menggunakan YouTube sebagai wadah untuk memperkenalkan karya ciptaannya kepada orang ramai.

“Saya memang tidak pernah bercita-cita menjadi penyanyi. Dari awal lagi, hasrat saya hanya mahu menjadi penggubah lagu.

“Sampailah suatu hari, lagu ciptaan saya dicuri. Ketika itu, YouTube pun belum begitu terkenal.

“Saya selalu rakam lagu menggunakan telefon bimbit, sehingga telefon itu dicuri. Lagu tersebut kemudian dimuat naik ke laman Imeem tanpa kebenaran.

“Selepas itu, ada pula yang merakam video menyanyikan lagu itu seolah-olah karya mereka sendiri.

“Sejak itu, ramai kawan menyarankan saya muncul di YouTube supaya orang ramai kenal semua lagu ciptaan Mali,” katanya kepada Berita Harian (BH), sambil mengemukakan judul lagu itu iaitu, Lamunan Cinta.

Wawancara ini diadakan di ambang persembahan dan acara kenal suai Jumali, bersama penyanyi tempatan, Chomel, 34 tahun.

Acara An Enchanted Night with Jumali Sanotri & Chomel, bakal berlangsung pada 8 Ogos di The Istana Ballroom, pusat beli-belah Kinex, bermula 8 malam.

Ia dianjurkan oleh pemuzik Singapura yang tidak asing lagi iaitu, Olly Maguire, 50 tahun, bersama rakan karibnya, Amyr Abadawn, 43 tahun, bagi mengubati rindu peminat terhadap dua penyanyi kesayangan ramai itu.

Jumali dan Chomel dikatakan bakal menyanyikan sekitar 15 buah lagu.

Sebelum ini, Jumali memilih memberi keutamaan kepada keluarga sambil bekerja keras mencari rezeki bagi menyara kehidupan.

Justeru, tawaran Olly dan Amyr untuk menjayakan persembahan berskala kecil bersama Chomel, disifatkannya bagai bulan jatuh ke riba.

“Selepas sekatan pergerakan (semasa pandemik Covid-19), Mali tidak buat apa-apa (berkaitan seni).

“Hanya fokus bekerja untuk mendapatkan pendapatan. Memang agak ‘sendu’.

“Ada jugalah tawaran persembahan bersama kumpulan Sanotri, tetapi tidak banyak… kira-kira dalam dua persembahan sepanjang tempoh itu.

“Selepas itu, memang tiada lagi tawaran. Ramai rakan pula bertanya, bila mahu mengadakan persembahan semula?

“Namun, untuk mengadakan persembahan bukan mudah.

“Kami memerlukan modal, penaja dan rangkaian hubungan yang kukuh untuk merealisasikannya,” kata bapa dua anak lelaki berusia 18 dan enam tahun itu.

Sejak pandemik Covid-19, penyanyi tempatan, Jumali Sanotri, memperlahankan kerjaya seninya bagi memberi tumpuan kepada keluarga dan mencari rezeki.
Sejak pandemik Covid-19, penyanyi tempatan, Jumali Sanotri, memperlahankan kerjaya seninya bagi memberi tumpuan kepada keluarga dan mencari rezeki. - Foto JUMALI SANOTRI

Ikatan yang terjalin sejak lebih 12 tahun lalu, bermula ketika mereka sama-sama mencipta nama menerusi YouTube, menjadikan Chomel bukan lagi sekadar rakan buat Jumali, tetapi sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

Nama Jumali dan Chomel mula menjadi perhatian ramai menerusi duet lagu jiwang, Lamunan Cinta, ciptaan Jumali, yang dirakam secara santai di kolong blok.

Pada asalnya, Lamunan Cinta bukan lagu duet.

Namun, menurut Jumali, lagu itu semakin mendapat perhatian selepas dinyanyikan bersama Chomel sehingga peminat menyangka ia dihasilkan sebagai lagu duet.

Keserasian vokal mereka yang menyentuh jiwa menjadi antara faktor utama lagu itu terus mendapat tempat di hati pendengar sehingga kini.

“Pada mulanya, Chomel peminat saya. Kalau bertemu di luar, dia selalu tegur, ‘Abang Mali!’.

“Kebetulan, kami sama-sama mula dikenali menerusi rakaman yang dimuat naik di YouTube.

“Kami kemudian mencuba menyanyi bersama buat kali pertama dan mendapati suara kami sangat serasi.

“Dari situ, kami mula menerima undangan persembahan dan semakin kerap berhubung sehingga hubungan kami menjadi rapat seperti adik-beradik.

“Disebabkan kami begitu selesa bersama, ada yang menyangka kami mempunyai hubungan istimewa.

“Itu antara perkara yang agak sukar untuk dijelaskan kerana kami sebenarnya hanya sahabat baik.

“Semasa berlatih untuk persembahan akan datang ini, saya sedar keserasian itu masih ada.

“Kami tidak mengambil masa yang lama untuk kembali memahami rentak masing-masing,” cerita Jumali.

Mengulas perubahan landskap industri muzik tempatan, Jumali berpendapat kemunculan media sosial mengubah cara peminat mengikuti perkembangan artis.

Jika dahulu peminat sanggup menghadiri persembahan berskala kecil atau konsert, dan menunggu peluang bertemu idola, kini segala-galanya boleh diakses menerusi media sosial.

Walaupun media sosial memudahkan artis berhubung dengan peminat, Jumali mengakui unsur eksklusif yang pernah dinikmati pada era terdahulu semakin berkurangan.

“Dulu, kalau seseorang minat artis, mereka sanggup datang persembahan semata-mata untuk bertemu.

“Sekarang, semuanya di hujung jari dengan adanya media sosial, memudahkan peminat mengikuti perkembangan artis yang diminati,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Olly turut menambah perubahan dalam pelantar digital dan perkembangan media sosial bukan bermakna penyanyi tempatan lebih sukar untuk menyerlah.

Sebaliknya, artis perlu bijak memanfaatkan pelbagai wadah untuk mendekati lebih ramai peminat dan pendengar, di dalam mahupun di luar negara.

“Ketika era Jumali dan Chomel, ramai penyanyi membuat persembahan di bawah kolong blok, atau sekitar Joo Chiat Complex dan Katong, sebelum dikenali hingga ke Malaysia.

“Mereka juga membawa lagu yang dekat dengan pendengar, seperti lagu ‘jiwang’.

“Dahulu, apabila kami melihat potensi seseorang artis, kami akan merancang perjalanan kerjayanya secara menyeluruh, bermula dengan rakaman lagu, diikuti persembahan, pemasaran, temu bual dan seterusnya, penampilan di kaca televisyen.

“Kini, ramai yang hanya mengejar kandungan tular menerusi media sosial.

“Walaupun lebih mudah berinteraksi dengan peminat, artis masih memerlukan pengurus atau pasukan yang boleh merancang hala tuju kerjaya mereka dengan teliti.

“Malangnya, sokongan seperti itu sukar diperoleh dalam kalangan penyanyi tempatan,” ujar Olly.

Tiket bagi persembahan eksklusif Jumali dan Chomel buat peminat, yang berharga $50, boleh ditempah melalui wadah Jotform di https://bh.sg/EnchantedNight