Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elfaeza Ul Haq mahu sebar kebaikan dalam lakonan, pilih watak sarat pengajaran

Telefilem Aildiladha ‘Kapal Haji’ kupas cabaran ingin tunaikan rukun Islam kelima pada zaman 1950-an
Jun 7, 2025 | 5:30 AM
Elfaeza Ul Haq, Kapal Haji
Pelakon Singapura, Elfaeza Ul Haq, kembali ke dunia lakonan bagi menjayakan telefilem sempena Hari Raya Aidiladha berjudul, ‘Kapal Haji’, yang berlatarkan era 1950-an. - Foto MEDIACORP

Perasaan rindu berlakon mula menguntum di hati pelakon asal Singapura, Elfaeza Ul Haq, sejak memutuskan untuk berehat dari dunia seni lakonan pada 2016.

Apabila diberi tawaran untuk melakonkan watak guru agama, Aishah, dalam telefilem sempena Hari Raya Aidiladha, Kapal Haji, Elfaeza atau nama sebenarnya, Siti Elfaeza Mohmed Ehsan Ul Haq, 40 tahun, menganggap ia sebagai satu rezeki yang hadir di masa yang tepat.

Telefilem terbitan Echo Entertainments berlatarkan Singapura pada era 1950-an ini, mengisahkan Aishah, seorang guru agama yang ditugaskan untuk membawa jemaah haji ke Tanah Suci. 

Nama baiknya turut dipersoalkan oleh penduduk kampung dek beliau sendiri belum pernah menunaikan ibadah haji.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila wujudnya satu penipuan skim simpanan palsu yang mengancam harapan ramai penduduk untuk mengerjakan ibadah suci itu.

Telefilem ini turut menampilkan lakonan hebat daripada pelakon Singapura dan Malaysia seperti, Fir Rahman, Fadhlur Rahman, Najip Aziz, Azhar Amir, Marisa Yasmin dan Roy Azman.

Kapal Haji arahan Shaiful Reezal Tajri, akan disiarkan di saluran Mediacorp Suria dan aplikasi mewatch pada 7 Jun, bermula 9.30 malam.

Ketika dihubungi menerusi Zoom pada 29 Mei, Elfaeza yang sebelum ini menjayakan drama Malaysia, Adam dan Hawa, berkata bahasa menjadi satu aspek penting dalam drama yang mengetengahkan perjuangan jemaah haji pada 1950-an itu.

“Penggunaan bahasa Melayu dulu dan sekarang sangat berlainan. Jadi, agak sukar juga untuk saya sesuaikan.

“Sebenarnya, kalau dilihat dalam filem zaman P. Ramlee, sudah ada perkataan Inggeris yang digunakan. 

“Namun, khususnya untuk telefilem ini, kami cuba elakkan daripada dilihat terlalu moden,” kata Elfaeza, yang melalui sesi penggambaran selama hampir 10 hari di Melaka, Malaysia.

Dari segi pakaian pula, Elfaeza memilih untuk kekal menggunakan sarung tangan dan gaya tudung bawal, meskipun ini bukanlah gambaran asli pemakaian masyarakat ketika itu.

Keputusan ini dilakukan demi tetap menjaga aurat dalam lakonannya sekali gus membatasi adegan bersentuhan.

Hal ini turut menjadi antara cabaran utama Elfaeza dalam menjayakan telefilem Kapal Haji, terutama apabila perlu menyampaikan emosi berat bersama rakan pelakon, Najip Aziz, yang memegang watak sebagai suaminya dalam cerita tersebut.

“Memang benar, cara pemakaian masyarakat pada era 1950-an agak berbeza berbanding sekarang. 

“Wanita ketika itu hanya menggunakan selendang untuk menutup kepala, dan tidak sepenuhnya menutup aurat seperti yang kita fahami hari ini.

“Namun begitu, saya berharap penonton dapat memahami mesej yang ingin disampaikan dalam kisah ini, dan tidak hanya tertumpu kepada aspek pakaian semata-mata.

“Alhamdulillah, saya juga bersyukur pihak penerbitan memberi sokongan yang baik,” ujarnya.

Elfaeza turut menjelaskan masyarakat dulu lebih cenderung menunaikan ibadah umrah dan haji dalam satu perjalanan kerana kebanyakan mereka tidak berkemampuan untuk berulang-alik ke Tanah Suci.

“Bagi saya, perjuangan masyarakat pada zaman itu untuk menunaikan haji sangat besar. 

“Ramai yang menyimpan wang bertahun-tahun lamanya demi menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Perpisahan dengan keluarga pula sangat mengharukan kerana mereka sendiri tidak pasti sama ada akan selamat tiba atau pulang dek risiko kapal karam sentiasa menghantui.

“Disebabkan peluang itu dianggap sekali seumur hidup, mereka akan cuba melakukan umrah dan haji sekali gus dalam satu perjalanan.

“Kalau dibandingkan dengan sekarang, segala urusan untuk ke Tanah Suci jauh lebih mudah dan tersusun,” kata Elfaeza, yang turut berangkat haji pada 1 Jun bersama kedua ibu bapanya, satu impian yang sudah lama dinanti-nantikan.

Menyentuh tentang watak dalam lakonan, beliau akur perlu bersikap memilih kerana ingin membawa watak yang sarat dengan pesanan serta bermanfaat bagi renungan masyarakat bersama dek kekangan selepas berhijrah sepenuhnya.

“Saya boleh sahaja membawakan watak lain, misalnya, watak seorang ibu.

“Namun, bagi saya, saya ingin lebih berhati-hati dalam memilih watak, khususnya pesanan yang ingin disampaikan, supaya ia juga boleh menjadi dakwah saya kepada masyarakat,” kata Elfaeza, pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Pesta Perdana 2015 bagi drama bersiri, Danny.

Elfaeza pernah kembali beraksi dalam telefilem tempatan sempena Hari Raya Aidilfitri, Tempahan Eid, pada 2020.

Dalam perkembangan lain, Elfaeza mengeluarkan jenama pakaian muslimah, HaqSouq, pada 2022, yang memaparkan koleksi tudung khimar (tudung labuh) dan abaya (jubah).

Melalui jenama HaqSouq, beliau ingin memperkenalkan koleksi pakaian muslimah yang menepati syariah dengan potongan labuh dan menutup aurat, namun tetap menyerlahkan gaya yang anggun, setanding dengan jenama lain di Malaysia.

Seterusnya, Elfaeza dijadualkan mengadakan kembara ke Kahirah, Mesir, berjudul, Jejak Nabi Musa, antara 12 dengan 24 November, membawa seramai 30 jemaah untuk menghayati sejarah para nabi secara lebih dekat.

Kapal Haji boleh ditonton di saluran Mediacorp Suria, aplikasi mewatch dan di laman Youtube, Mediacorp Drama, pada 7 Jun, bermula 9.30 malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg