SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Daripada gitar ‘kapok’ ke album instrumental tembus pasaran antarabangsa

Daripada gitar ‘kapok’ ke album instrumental tembus pasaran antarabangsa

Dua ‘Mat Rok’ rakam suara hati, jerih payah anak seni dalam album penuh jiwa
Apr 6, 2026 | 5:30 AM

Daripada gitar ‘kapok’ ke album instrumental tembus pasaran antarabangsa

gitar, instrumental, pasaran antarabangsa, Olly Maguire
Olly Ismail, atau nama pentasnya, Olly Maguire, bersyukur dapat menghasilkan album instrumental, Resonance: Beyond The Mist, yang mengandungi 10 lagu dan turut memecah pasaran antarabangsa, sejauh Amerika Utara. - Foto ihsan OLLY MAGUIRE

Masih terpahat dalam ingatan pemuzik Singapura, Olly Ismail, akan kenangan manisnya semasa kecil mengumpul 50 sen daripada wang jajan setiap hari, untuk membeli gitar ‘kapok’ berharga di bawah $30.

Gitar ‘kapok’ ialah panggilan bagi gitar murah keluaran syarikat Guangzhou Kapok Guitar Co. dari China.

Syarikat itu wujud sejak era 1950-an dan merupakan salah satu pengeluar alat muzik terbesar di China, yang masih kekal bertahan dengan nama syarikat baharu, Guangzhou Pearl River Kayme Musical Instruments.

Olly, atau nama pentasnya, Olly Maguire, 50 tahun, juga menyimpan buku kecil persis buku hutang 555, yang sarat terisi dengan kord gitar untuknya belajar sendiri petikan ‘garing’, bagi lagu rok terkenal era 1980-an.

Band kegemarannya merupakan kumpulan rok asal London, Deep Purple, yang terkenal dengan lagu malar segar seperti Smoke on the Water, Soldier of Fortune dan Perfect Strangers.

Siapa sangka hari ini, Olly yang pernah mempunyai band sendiri, Atmosphere dan Sukafellas, boleh berbangga dengan penerbitan album gitar instrumental, Resonance: Beyond The Mist, yang mengandungi 10 lagu dan turut memecah pasaran antarabangsa, sejauh Amerika Utara.

Ia diterbitkan Shredguy Records yang menyokong karya dari Asia dan boleh diperoleh menerusi gedung dalam talian label tersebut.

Label itu menerbitkan dan menyokong kerja seni dengan gaya permainan gitar elektrik pantas dan penuh irama yang kerap ditemui dalam genre ‘heavy metal’ dan rok.

Album Olly mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pencinta muzik instrumental Barat.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Olly menjelaskan beliau sebenarnya tidak terfikir untuk menghasilkan album instrumental sendiri, dan sekadar membantu beberapa teman seni merakam album.

Bagaimanapun, beliau dipujuk sahabat karibnya, Amyr Abadawn, atau nama sebenarnya, Amirrudin Muhammad Ayub, yang telah menghasilkan trilogi album instrumental, The New Chapter, The Next Chapter, dan The Last Chapter, serta satu lagi album berasingan, Apocalyptic Triumph.

“Fikir punya fikir, akhirnya saya bersetuju. Ada beberapa lagu-lagu lama ciptaan sendiri yang saya simpan dan saya terbitkan semula untuk album ini seperti 93 -23, Through the Fog of Fate, Unbroken Spirit dan Stormbound.

“Saya mula merancang album ini pada 2022 dan masuk studio rakaman pada 2023.

“Kita bergerak perlahan sebab ingin memberi laluan kepada projek, Singapore Biggest Guitar Collaboration, yang menampilkan 70 gitaris Singapura, dengan pelbagai genre dalam satu lagu sepanjang 25 minit.

“Pada 2025, saya sambung balik rakaman album instrumental ini yang tamat sekitar Ogos 2025, dan akhirnya diterbitkan pada Oktober 2025,” ceritanya.

Setiap lagu dalam album ini memiliki jalan cerita sendiri, baik daripada pengalaman hidup Olly yang susah dan penuh jerih payah, mahupun pada detik dirinya kembali positif.

“Lagu FanaQ asalnya dari kumpulan Kraton yang tampil dengan versi berat tetapi saya berikan sentuhan sentimental pada lagu ini.

“Saya dapatkan bantuan pemuzik muda, Ilham Jufri, anak anggota band Kraton, Jufri Salim dan isterinya, Surayah Akhbar, untuk menyusun semula lagu itu.

“Bagi lagu Solace yang dicipta Amyr, saya dapatkan ilham daripada mengamati personaliti penciptanya sendiri. Amyr orangnya pendiam tetapi berapi!” jelas Olly, bapa empat anak berusia antara 15 dengan 23 tahun.

Beliau juga bertuah dapat berganding bahu dengan gitaris ikonik Singapura, Addy Cradle, untuk lagu Stormbound.

“Saya juga agak sebak ketika menghasilkan lagu, Sweet Serendipity, yang mengisahkan tentang jerih payah saya, anak-anak dan isteri, menjalani roda-roda kehidupan,” kongsinya.

Bagi Olly, erti kesenian asli mungkin semakin menipis dengan kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan bermacam aplikasi canggih.

“Tapi sukar untuk kita terus dengan cara lama kita. Kita perlu bergerak mengikut perkembangan semasa dan tak mampu ketinggalan.

“Ada orang mungkin cakap lagu sampah pun boleh terkenal tetapi sekarang ini era ‘views’ dan ‘likes’ (tatapan dan tanda suka).

“Bagaimanapun, kita mesti teruskan usaha kita ke arah sesuatu yang positif dan membangkitkan semangat,” tambahnya.

Amyr, 43 tahun, yang menjadi pembakar semangat Olly, pula menyatakan dirinya terpanggil merakam album instrumental petikan gitar sewaktu pandemik Covid-19.

“Tempoh itu memberi saya ruang berfikir lebih mendalam tentang hala tuju dan impian saya dalam muzik.

“Saya memang bercita-cita menghasilkan projek berskala besar dan tempoh di mana segalanya terhenti itu membuka ruang keemasan bagi saya merealisasikan impian saya,” jelasnya.

Beliau berdepan dengan cabaran masa, tenaga dan ketekalan dalam menghasilkan album trilogi yang setiap satu perlu ada identiti sendiri meskipun berkait.

Banyak lagunya dihasilkan sebagai satu wadah motivasi.

As The South Sea Churned, misalnya, merupakan kisah kebangkitan selepas jatuh, manakala The Eastern Night Of Mystical Glaze, melambangkan kesunyian dan konflik dalaman yang tidak diluahkan.

“Saya cuba gambarkan perang emosi dan minda dalam lagu Storm Within.

“Tapi yang paling memuaskan apabila hasilkan lagu, Apocalyptic Triumph: Klimaks, yang menggambarkan kemenangan selepas segala penderitaan diharungi,” jelasnya.

Apabila ditanya tentang projek akan datang, Amyr melahirkan hasrat membawa muziknya ke pentas lebih besar.

“Saya rasa platform dan pendedahan bagi artis Singapura masih menjadi kekurangan utama.

“Kita ada ramai bakat besar tetapi kurang peluang untuk diketengahkan.

“Selain itu, kerjasama antara genre dengan masyarakat masih boleh diperkukuh.

“Kita perlukan lebih banyak sistem sokongan dari segi media, pembiayaan projek dan juga rangkaian untuk bertukar-tukar fikiran tentang seni.” tambahnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg