SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Hannah Delisha pintar bawa diri, rahsia kerjaya lakonan cemerlang

Hannah Delisha pintar bawa diri, rahsia kerjaya lakonan cemerlang

Pelakon ‘Andai Itu Takdirnya 2’ berdepan pergolakan emosi, cabaran biasa dalam seni lakon
Apr 5, 2026 | 5:30 AM

Hannah Delisha pintar bawa diri, rahsia kerjaya lakonan cemerlang

Sepanjang hampir 10 tahun meniti kerjaya dalam dunia seni di seberang Tambak, pelakon, penyanyi, dan usahawan kacukan Inggeris-Melayu asal Singapura, Hannah Delisha, berjaya melepaskan diri daripada kepompong rasa malu.

Hannah, atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch, 29 tahun, kini lebih bijak mengemudi kerjayanya sebagai artis di Malaysia, sambil tetap berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kontroversi.

“Pada awal kerjaya saya dalam industri hiburan Malaysia melalui drama, Mencintaimu Mr Photographer (2017), saya seorang yang sangat pemalu.

“Walaupun sifat pemalu itu masih ada, pengalaman berinteraksi dengan ramai orang membuatkan saya lebih terbuka.

“Kini, saya juga lebih berani menyuarakan pendapat sendiri.

“Namun, dalam era media sosial masa kini, saya belajar untuk lebih berhati-hati dalam tingkah laku dan percakapan, kerana sebagai seorang artis, setiap langkah dan kata-kata kita mudah menjadi perhatian dan bahan bualan orang ramai,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Beliau ditemui BM pada 8 Mac di Wisma Geylang Serai sempena acara bersama Singtel TV dan Astro, Bintang Bersama: Singtel x Astro @ WGS, yang turut menjadi sebahagian daripada program Santai Sejenak, anjuran WGS.

Pada 2026, Hannah kembali sibuk dengan penggambaran drama, Andai Itu Takdirnya 2, yang memuatkan sebanyak 40 episod.

Ia merupakan kesinambungan daripada musim pertama, Andai Itu Takdirnya, yang disiarkan di saluran Astro Ria, pada 2023.

Drama itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Shukri Yahaya, Nadia Brian, Puteri Sarah Liyana, Idzham Ismail dan Fahrin Ahmad.

Bagi musim pertama, menurut Hannah, watak Aleya seharusnya dilakonkan oleh pelakon, Nad Zainal.

Watak Aleya merupakan seorang wanita daripada latar keluarga sederhana yang berdepan konflik keganasan rumah tangga bersama suaminya, Syed Aizril (lakonan Shukri Yahaya).

Amanah bagi menggantikan pelakon tersebut serta menghidupkan watak Aleya menjadi satu cabaran besar buat Hannah, apatah lagi apabila beliau perlu menghafal skrip dalam tempoh hanya lima hari sebelum melangkah ke set penggambaran.

“Asalnya, watak itu sepatutnya dibawakan oleh Nad Zainal. Tetapi, pada masa itu, beliau kurang sihat dan berdepan cabaran kesihatan.

“Jadi, saya ditawarkan watak ini di saat-saat terakhir. Ini bermakna, saya perlu menghafal skrip yang memuatkan sebanyak 64 episod itu, dalam waktu singkat.

“Memang sukar…dan sejujurnya, tidak dapat saya lakukan dalam masa lima hari. Saya hanya dapat ‘tangkap’ skrip bagi sekitar 20 episod sahaja.

“Ketika menjalani sesi penggambaran, saya terpaksa baca dan hafal skrip pada waktu itu juga,” kongsinya, yang bersuamikan pelakon kelahiran Singapura, Imam Shah, 37 tahun.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2021, dalam satu majlis tertutup di Hotel Fullerton, Singapura.

Pasangan itu belum dikurniakan zuriat.

Hannah turut mengakui berlakon dalam adaptasi novel membawa cabaran tersendiri, terutamanya apabila beliau perlu mematuhi dialog yang telah ditetapkan tanpa banyak ruang untuk diubah, serta menjiwainya dengan penuh ketelitian.

“Disebabkan ini merupakan adaptasi novel, keadaannya berbeza dengan karya asli.

“Kebiasaannya, apabila kami terlibat dalam naskhah lain, masih ada ruang untuk mengolah atau menyesuaikan dialog mengikut kesesuaian dan juga pemahaman pelakon terhadap watak itu.

“Namun, kerana ini karya Siti Rosmizah, saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah dialog dan perlu mengikut sepenuhnya seperti yang ditulis.

“Malah, jika terdapat dialog yang panjang sehingga tiga atau empat muka surat, saya tetap perlu menyampaikannya tanpa sebarang perubahan,” tambah Hannah.

Ditanya lanjut sama ada beliau pernah berasa tertekan membawakan watak berat yang sentiasa menuntut emosi dan mengalirkan air mata, Hannah mengakui pergolakan perasaan itu merupakan sesuatu yang lazim dialaminya.

“Setiap kali membawakan watak berat, ia akan memerah tenaga. Perasaan itu memang tidak dapat dielakkan.

“Sebagai pelakon, kami perlu berada di set penggambaran dari pagi hingga ke malam.

“Kebiasaannya, saya tiba sekitar jam 8.30 pagi untuk bersiap sebelum penggambaran bermula pada 9.30 pagi, dan berlanjutan sehingga malam.

“Paling banyak, saya pernah menjalani penggambaran sehingga sekitar 30 babak dalam sehari.

“Dalam tempoh itu, pelbagai babak perlu dilakonkan daripada adegan pergaduhan…dipukul, dan tiba-tiba beralih kepada babak gembira pula.

“Saya pernah terdengar satu komen bahawa pelakon ini memang cenderung bersifat emosional. Tanpa keupayaan itu, agak sukar untuk kami menyampaikan watak dengan berkesan.

“Bagi saya, berlakon dalam drama lebih mencabar berbanding filem. Sekurang-kurangnya untuk filem, pelakon mempunyai masa untuk membuat persiapan awal.

“Namun, dalam drama, segalanya sering berlaku secara spontan menyebabkan pelakon kadangkala hanya mempunyai masa yang terhad untuk membuat persediaan,” singkap pemilik jenama tudung dan pakaian muslimah, Delicia, itu.

Sebagai pelakon yang lebih berpengalaman dalam industri lakonan di Malaysia berbanding suaminya, Imam, Hannah berkata setiap tawaran yang diterima oleh pelakon itu, dinilai dan dipertimbangkan dengan teliti.

Imam merupakan cucu kepada biduanita tersohor Singapura sekitar 1950-an, Allahyarhamha Nona Asiah, dan anak kepada pelakon wanita Singapura, Mariana Yati.

“Secara 100 peratus, saya tidaklah memaksanya untuk mengambil mana-mana tawaran lakonan di Malaysia.

“Memang setiap tawaran lakonan yang diberikan pada Imam, diambil dengan sendirinya.

“Sebelum ini, beliau membintangi drama Astro, Dia Imamku, yang juga karya Siti Rosmizah.

“Ketika itu, Imam menilai dengan teliti tawaran untuk berlakon dalam drama bersiri panjang, memandangkan beliau jarang berlakon dalam projek sebegitu.

“Kami berdua memang mempertimbangkan setiap tawaran lakonan. Yang penting, ia harus menyampaikan pesanan yang jelas dan bermanfaat pada masyarakat,” jelas Hannah.

Di tengah-tengah kesibukan dalam bidang lakonan, Hannah turut berhasrat untuk mengeluarkan lagu baharu.

Bagaimanapun, rancangan itu tergendala buat seketika kerana sibuk dengan musim perayaan Aidilfitri.

“Pada 2025, saya ada mengeluarkan satu lagu duet, Nanti Kita Seperti Ini, dengan kumpulan asal Indonesia, Batas Senja.

“Lagu itu sebenarnya diterbitkan mereka sekitar dua tahun lalu (2024), tetapi direkodkan semula dalam versi baharu bersama saya.

“Saya memang ada merancang untuk mengeluarkan lagu baharu, cuma saya belum lagi sempat rakam video muzik.

“Lagu terbaharu saya, yang bertema ‘healing’ (pulih daripada tekanan hidup), digubah oleh Ezra Kong, dan akan diterbitkan oleh Faithful Music,” ujar Hannah.

Drama, Andai Itu Takdirnya 2, boleh ditonton di saluran Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis, mulai 10 malam.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg