KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid yang terkenal di Malaysia sejak akhir 1990-an, Hijjaz, mendedahkan ketiadaan mutu dan kegagalan menghasilkan album fizikal menjadi punca kumpulan nasyid generasi baharu sukar bertahan lama dalam industri hiburan.

Mengulas mengenai keadaan industri nasyid semasa, anggota Hijjaz yang juga vokalis kumpulan itu, Munif Ahmad, 52 tahun, akur perbezaan ketara antara zaman kegemilangan nasyid kumpulan mereka lalui dengan kini adalah pada format pasaran lagu serta pembentukan peminat setia.

“Bezanya, generasi kami dahulu menghasilkan album. Itulah perkara yang paling penting.

“Apabila ada album fizikal, peminat akan membeli, menyimpan dan menjadikannya sebagai koleksi.

“Disebabkan itu, peminat dahulu boleh dikategorikan sebagai peminat tegar.

“Berbeza dengan artis dan peminat sekarang, kebanyakan artis baharu tidak mempunyai album dan hanya melancarkan lagu single.

“Misalnya, peminat mungkin meminati satu lagu minggu ini. Kemudian, tahun hadapan barulah ada lagu baharu lagi.

“Inilah sebabnya ia agak sukar untuk membina kelompok peminat tegar,” katanya Munif, dalam laman Harian Metro.

Wawancara ini diadakan sempena Konsert Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah yang bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, sekitar Kuala Lumpur, pada 16 dan 17 Oktober.

Dalam pada itu, kehadiran kumpulan nasyid lain seperti Inteam, dan UNIC, akan menyerikan lagi konsert tersebut.

Selain Munif, kumpulan Hijjaz yang terkenal dengan album, Pelita Hidup, dan Cahaya Ilahi, dianggotai Isman Nadim Isam, 57 tahun; Mohd Faizal Osman; 52 tahun; dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim, 47 tahun.

Sementara itu, Isman menjelaskan faktor berada di bawah naungan daripada syarikat rakaman besar dan antarabangsa suatu masa dahulu banyak membentuk disiplin dan mutu karya mereka menerusi tapisan yang ketat.

“Di syarikat rakaman dahulu, mereka mempunyai unit Pembangunan Artis (A&R) yang bertugas menilai mutu lagu.

“Jika lagu itu dinilai tidak bersesuaian, ia akan ditolak serta-merta.

“Hanya lagu yang betul-betul bermutu sahaja akan dimuatkan ke dalam album.

“Disebabkan kawalan mutu itulah lagu-lagu dahulu mampu bertahan lama, berbeza dengan keadaan sekarang.

“Penyanyi baharu (masa kini) merakamkan lagu dan menganggap nyanyian mereka sudah cukup bagus berdasarkan penilaian sendiri.

“Namun begitu, apabila lagu itu dipasarkan, hasilnya menghampakan.

“Penilaian sedemikian sepatutnya diserahkan kepada orang yang lebih pakar,” tambahnya.

Bagi Isman, cabaran artis nasyid baharu bertambah rumit apabila segelintir daripada mereka didapati culas untuk turun padang bagi menjalinkan hubungan baik dengan media dan stesen penyiaran.

“Artis sekarang tidak melalui proses ini. Mereka tidak mengenali wartawan mahupun penyiar radio.

“Malah, mahu ke stesen televisyen pun culas.

“Perkara sebegini yang menyebabkan ‘adik-adik’ (penyanyi era kini) seolah-olah kehilangan arah.

“Ia satu kerugian yang besar kerana pemasaran di televisyen dan radio adalah wadah wajib untuk memperkenalkan diri dalam industri hiburan.

“Dahulu, kami hanya mengikut jadual yang diaturkan.

“Sebut sahaja apa program atau persembahan, walaupun tiada bayaran, kami tetap pergi asalkan nama kami dikenal ramai,” ujar Isman.

Menyokong kenyataan itu, Faizal memaklumkan ketiadaan bimbingan daripada pihak pengurusan berpengalaman menjadi jurang besar yang membezakan mutu artis dahulu dan sekarang.

“Artis-artis baharu yang tidak mendapat bimbingan daripada unit A&R yang berpengalaman ini akan berdepan kesukaran untuk dikenali.

“Ini kerana proses itu sebenarnya panduan utama untuk menjadi artis yang sebenar,” kata Faizal.

“Penyanyi baharu (masa kini) merakamkan lagu dan menganggap nyanyian mereka sudah cukup bagus berdasarkan penilaian sendiri. Namun begitu, apabila lagu itu dipasarkan, hasilnya menghampakan. Penilaian sedemikian sepatutnya diserahkan kepada orang yang lebih pakar.”
Isman, salah seorang anggota kumpulan nasyid Hijjaz.