KUALA LUMPUR: Ibu pengarah sensasi, Syamsul Yusof, iaitu Datin Patimah Ismail, enggan mengambil tahu mengenai gosip yang mengatakan anak sulungnya itu sudah berpisah dengan pelakon Ira Kazar.
Ketika dihubungi, Datin Patimah, yang juga isteri penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam, berkata beliau hanya menganggap pelakon Puteri Sarah Liyana sebagai satu-satu menantunya. Puteri Sarah dan Syamsul bercerai Jun lalu, setelah Syamsul menjalin hubungan dan kemudian berkahwin dengan Ira.
“Saya tak ambil tahu. Apa yang saya tahu menantu saya adalah Puteri Sarah Liyana, tapi mereka sudah berpisah.
“Apa yang berlaku seterusnya saya tidak tahu. Bagi saya itu (Ira) ‘isteri tidak berdaftar’ jadi saya tiada komen,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu nama Syamsul dan Ira dipetik oleh netizen selepas tular gosip bahawa seorang pengarah terkenal menceraikan isterinya menerusi aplikasi WhatsApp dan dihalau keluar rumah.
Dalam pada itu, Datin Patimah enggan memanjangkan kenyataan yang dikeluarkan Datuk Yusof mengenai Syamsul, yang sudah lama tidak pulang ke rumah berjumpa orang tuanya.
“Betullah apa yang suami saya cakap, tapi saya tak nak ungkit lagi.
“Saya tak nak rosakkan nama Syamsul lagi. Jadi saya tiada komen mengenai pertanyaan ini,” katanya.
Baru-baru ini, Datuk Yusof menerusi satu temu bual bersama media mengalirkan air mata apabila mendedahkan Syamsul sudah lama tidak pulang ke rumah.
Beliau turut mengingatkan anaknya agar jangan menunggu hingga orang tuanya sudah tiada, barulah mahu mencari mereka.
Sementara itu, pelakon Kazar Saisi mendakwa tidak tahu-menahu mengenai desas-desus bahawa rumah tangga anaknya, Ira, dan Syamsul bermasalah.
Ketika dihubungi BH Online, Kazar enggan mengulas lanjut sebelum panggilan telefon terputus.
“Saya tak tahu... Saya sedang berada di luar kota (outstation),” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg