DI tengah-tengah kebimbangan dan kepekaan ramai artis antarabangsa untuk membuat persembahan konsert di negara-negara yang terjejas dengan wabak Covid-19 termasuk Singapura, dua band legenda ini menggagahi segalanya.
Ternyata, apabila satu persatu Whitesnake dan Scorpions muncul di pentas gah Teater The Star di Buona Vista pada Khamis (5 Mac), peminat yang menanti persembahan mereka begitu teruja memberi tepukan dan sorakan gemuruh.
Dapat dirasakan denyutan nadi positif apabila pesta muzik rok Singapore Rockfest II anjuran LAMC Productions membuka tirainya dalam situasi banyak konsert artis antarabangsa lain di Singapura dibatalkan atau ditunda ke penghujung tahun dek wabak Covid-19.
Pada usia 68 tahun, pengasas dan vokalis utama Whitesnake, David Coverdale, amat bertenaga ketika menyanyikan beberapa lagu ‘hit’ kumpulannya seperti Trouble Is Your Middle Name, Is This Love, Fool For Your Loving, Give Me All Your Love dan Here I Go Again.
Meskipun konsert yang asalnya berlangsung di Taman Fort Canning yang lapang dan sesuai menjadi lokasi konsert rok dipindahkan dalam ruang lingkup Teater The Star, hal itu bukan halangan bagi peminat muzik rok berpesta.
Ramai yang berdiri, menari dan menyanyi sama sepanjang persembahan pesta yang bermula sejak 6.45 petang.
Cuma mungkin beberapa penonton yang membeli tiket VIP terasa kawalan keselamatan kurang ketat sehinggakan pemilik tiket dari kategori lain mampu bergegas ke depan pentas dan menghadang pandangan mereka.
Apabila Scorpions, band rok Jerman yang ditubuhkan pada 1965 pula muncul di pentas, bahang teater yang sarat dengan lautan penonton terasa kembali.
Vokalis Scorpions, Klaus Meine, 71 tahun, tidak kelihatan seperti warga emas yang sudah ketandusan tenaga. Sebaliknya, beliau masih menguasai pentas dengan baik.
Kelihatan pasangan suami isteri atau kekasih dalam kalangan penonton sama-sama menyanyi lagu seperti Send Me An Angel, Wind of Change dan Still Loving You.
Kedua-dua band Whitesnake dan Scorpions membuktikan profesionalisme mereka apabila konsert semalam bukan hanya memaparkan kebolehan sang penyanyi tetapi bakat individu gitaris atau pemain dram yang serba boleh.
Mereka adalah lambang ikon yang menitikberatkan kesihatan dan kreativiti sehinggakan tidak terasa rata-rata anggotanya sudah melebihi usia 60 tahun.
Sementara itu, konsert itu turut menerima kunjungan tetamu istimewa, Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin, yang memberi kata-kata perangsang kepada penonton konsert.
“Saya teruja hadir di sini bukan sahaja kerana band legenda Scorpions tetapi kerana dua perkara. Pertama, saya ingin sampaikan pesanan bahawa adanya virus Covid-19 ataupun tidak, kehidupan di Singapura diteruskan. Tiada yang berubah. Kita hanya perlu mengambil langkah berjaga-jaga.
“Kedua, irama ‘rock and roll’ tidak akan mati malah virus pun tak dapat menghalang kita daripada menikmati muzik nostalgia dalam konsert ini,” jelasnya yang dewasa dengan mendengar lagu Scorpions, Still Loving You dan Wind of Change.