Kata orang, rezeki jangan ditolak.
Bagi pelakon Malaysia, Izzue Islam, 34 tahun, beliau melihat tawaran untuk melakonkan watak yang lebih matang sebagai satu peluang menonjolkan bakat daripada pihak penerbitan.
Izzue, atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, tidak kisah jika diberikan watak sebagai bapa dalam sesebuah naskhah.
“Saya terbuka untuk membawa watak lebih matang, saya okey sahaja. Saya pernah memainkan watak ayah sebelum ini.
“Sebenarnya dalam telefilem, Dosa Semalam, terdapat babak yang menunjukkan watak saya apabila dia sudah berusia bersama isteri dan anak-anak remaja.
“Sering kali pelakon lain diambil apabila watak itu menjadi tua. Bagi drama itu, mereka menggunakan alat solek untuk ‘tuakan’ saya.
“Saya pun nak cuba bagaimana bawa watak lebih berusia,” kongsi Izzue yang ditemui Berita Harian (BH) semasa acara dagangan, Absolut Bazaar, di Dewan 4, Singapore Expo pada 16 Mac.
Dalam drama, Umar, yang memulakan tayangan di saluran Astro Oasis pada Mac, Izzue membawa watak sebagai Adam Firaz, doktor haiwan yang ingin menuntut hak penjagaan ke atas anak saudaranya, Umar (lakonan Mikael Noah), berdasarkan wasiat arwah adik kembarnya.
Drama 10 episod arahan, Hadith Omar, yang mengetengahkan isu konflik keluarga itu turut dibintangi, Uqasha Senrose, Faye Kusairi, Azhar Amir dan Haidar Hasanudin.
Selain drama, Umar, Izzue turut tampil sebagai Aliem, lelaki kurang upaya yang dianiaya oleh keluarganya dalam telefilem, Dia Punya Hati, dan ditayangkan pada 2 April di Astro Ria.
Menyentuh tentang pemilihan watak, Izzue berkata dirinya tidak menolak tawaran disebabkan watak atau genre karya tersebut.
Sebaliknya, beliau ingin memastikan supaya dapat memberi komitmen penuh sesuai dengan jadualnya.
“Sejujurnya, jadual saya agak padat memandangkan saya juga mengacara, menyanyi dan berniaga. Kadangkala, jadual hujung minggu bagi tugas pengacaraan sudah ditentukan untuk setengah tahun.
“Saya tidak mahu menyusahkan pihak penerbitan dan orang lain. Saya ingin menyenangkan semua pihak,” ujar pengacara program carta muzik mingguan, Muzik-Muzik, pada setiap Ahad di TV3 sejak 2023 itu.
Ditanya mengenai cabaran dalam bidang pengacaraan, Izzue berpendapat terdapat cabaran tersendiri bagi kededua acara langsung dan program yang dirakam dalam studio.
“Bagi acara di luar, cabaran utama adalah untuk mengawal orang ramai yang hadir sambil ‘tangkap’ perhatian mereka supaya mereka kekal di situ dan rasa ‘best’.
“Bagi program yang dirakam, saya juga harus pastikan penonton tidak berasa bosan sepanjang menonton saya di televisyen,” ceritanya.
Beliau turut mengambil rujukan dengan melihat bagaimana pengacara mapan seperti, Datuk Aznil Haji Nawawi, Datuk AC Mizal dan Nabil Ahmad berinteraksi dengan penonton semasa di pentas.
“Saya belajar daripada orang lama dalam industri, melihat bagaimana mereka berseloroh dengan penonton dan cara mereka kawal situasi.
“Saya ambil sedikit dan cuba terapkan dalam gaya pengacaraan saya sendiri,” kongsinya yang pernah menjadi pengacara bagi pertandingan nyanyian, Famili Duo dan I Can See Your Voice Malaysia.
Mengakui lebih banyak jenama kini bekerjasama dengan selebriti dan pempengaruh di media sosial, Izzue berpendapat setiap individu harus bertanggungjawab untuk menyelidik latar belakang syarikat yang menawarkan peluang menjadi duta produk.
Secara peribadi, beliau turut mencuba produk itu untuk memastikan ia sesuai bagi dirinya.
“Memang betul ada syarikat kini nampak ‘legit’ (sah) namun mempunyai niat untuk menipu pengguna. Kita harus teliti syarikat itu dan juga individu yang tampil untuk bekerjasama.
“Saya akan pastikan produk itu berkesan lebih-lebih lagi jikalau ia seperti suplemen (makanan tambahan). Jikalau pakaian, saya akan menilai adakah ia selesa dan bermutu,” ujarnya yang pernah bekerjasama dengan jenama seperti CIMB Bank dan LG.
Izzue yang berpeluang mengerjakan ibadah umrah di tanah suci, Makkah, dan menziarahi kota Madinah pada awal Ramadan 2025 bersyukur dapat menjejakkan kaki ke Arab Saudi bersama isterinya, Awin Nurin.
“Ia pengalaman yang amat menenangkan, lebih-lebih lagi dapat rasa berpuasa di Madinah. Saya dan isteri memang berhajat untuk ke sana sejak dulu namun belum ada rezeki.
“Saya sangat bersyukur kerana selepas 12 tahun berkahwin, kami diberikan peluang untuk menjadi tetamu Allah. Ia merupakan permulaan 2025 yang baik untuk saya dan isteri,” tambah Izzue.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg