KUALA LUMPUR: Pelakon Janna Nick telah menamatkan pengajian ijazah Sarjana Sastera dalam jurusan Pembuatan Filem di United Kingdom (UK).

Beliau menyifatkan perjalanan pengajian yang penuh penat lelah dan kesukaran itu berbaloi setelah memperoleh keputusan cemerlang.

Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Muner, 31 tahun, berkata beliau sengaja merahsiakan perjalanan pengajiannya selama setahun kerana bimbang berdepan dengan ‘penyakit ain’.

“Penat lelah saya semua berbaloi, sangat tidak saya jangkakan.

“Rezeki Allah izinkan benda itu terjadi dan Allah permudahkan perjalanan itu.

“Sampai tahap saya takut kena ‘ain’.

“Setahun saya tak cerita apa-apa, sampai dapat keputusan barulah saya cerita.

“Walaupun saya selalu buat ‘content’ atau kandungan dalam talian, saya tak kongsikan video tunjuk pergi belajar,” katanya dalam Harian Metro.

Mengulas lanjut, Janna yang tidak mendedahkan nama universitinya, berkongsi, meskipun rakan-rakan terdekatnya mengetahui mengenai butiran pengajiannya, peminat dan pihak luar tidak mengetahui apa-apa maklumat mengenainya.

Pada September 2025, Janna telah memulakan kehidupan baharu di London bersama suaminya, Dini Schatzmann, 31 tahun, tanpa berkongsi secara terperinci mengenai penghijrahannya ke UK kepada pihak awam.

Janna, yang pernah membintangi drama Melastik Ke Hatimu itu, berkata perjalanan akademik yang ditempuhi sama seperti pelajar lain, tanpa sebarang keistimewaan atau jalan pintas.

“Memang saya ikut jalan yang betul.

“Saya ambil peperiksaan macam orang biasa dan pergi temu duga... semuanya melalui proses yang betul.

“Saya sampai menangis sebab susah nak faham bahasa Inggeris dan loghat UK di sana,

“Namun, saya tidak pernah kongsi kesusahan yang saya lalui sepanjang pengajian saya di sana,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangan masa depan, Janna mempunyai perancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

“Saya akan pulang ke Malaysia dahulu tetapi akan kembali semula ke UK untuk majlis penyampaian ijazah.

“Memang dalam perancangan untuk sambung belajar ke peringkat PhD selepas ini, insya-Allah.

“Tetapi tidak pasti lagi di mana, mungkin di Malaysia ataupun kalau ada rezeki lebih, boleh sambung di luar negara,” katanya.