Filem Bollywood dan muzik tidak dapat dipisahkan.
Setiap lagu yang dimuatkan dalam filem Bollywood pasti mendapat perhatian ramai, khususnya jika filem tersebut berhasil mencapai kedudukan pecah panggung.
Begitulah kesan filem buatan India terhadap pencinta filem Bollywood, dari dulu hingga sekarang.
Namun baru-baru ini, peminat Bollywood hangat membincangkan di ruang media sosial mengenai penyanyi pop korea (K-pop) terkenal, Jennie Blackpink, 29 tahun, yang dikatakan telah meniru lagu dalam filem popular, Rocky Aur Rani Kii Prem Kahani.
Filem lakonan Alia Bhatt dan Ranveer Singh itu, ditayangkan pada 2023.
Lagu terbarunya berjudul, Like Jennie, yang dimuatkan dalam album solo, Ruby, dikatakan mempunyai persamaan dengan lagu tema watak, ‘Rani’, lakonan Alia dan dicipta oleh komposer terkenal India, Pritam.
Perkara tersebut telah mencetuskan perdebatan hebat dalam kalangan peminat Alia dan juga Jennie di media sosial.
Masing-masing dilihat cuba mempertahankan artis kesayangan mereka itu.
Disebabkan perkara tersebut menjadi semakin serius, komposer lagu terbabit, Pritam, tampil bersuara dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam media sosial miliknya, lapor laman web Kosmo!
Beliau berkata: “Jennie dan Rani adalah dua nama yang mempunyai rima yang hampir sama.
“Jadi aliran yang sama dalam satu frasa tidak menjadikannya sebagai karya tiruan.
“Dalam muzik, persamaan kecil pasti berlaku sama ada melalui ritma, frasa atau bahkan dalam genre yang sama.
“Muzik adalah berdasarkan kreativiti, pandangan artistik yang unik, pengaruh dan kadang-kadang terjadi secara kebetulan.
“Daripada menjatuhkan sesama artis, lebih baik kita meraikan karya mereka. Itu lebih wajar.”
Dalam dunia digital, setiap artis berkongsi wadah yang sama, tambah Pritam.
Justeru itu, menjiplak karya orang lain secara terang-terangan tidak mungkin berlaku.
“Daripada fokus kepada perincian yang kecil, lebih baik kita lihat dari sudut pandang yang lebih besar.
“Mencipta lagu memerlukan usaha yang tinggi.
“Artis boleh sahaja berkolaborasi jika benar mereka suka dengan karya orang lain,” katanya lagi.
Kenyataan Pritam telah mendapat pujian ramai terutamanya dalam kalangan peminat Jennie, sekali gus melenyapkan tuduhan artis kesayangan mereka menjiplak karya orang lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg