Misi berbasikal Kembara ke Makkah yang dijayakan Amar Baharin dan Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, membawa mereka ke Iran.
Perkara ini dikongsi Amar, 40 tahun, menerusi Instagram Story (IGs) pada 11 Mei.
“Masih di Iran. Ada beberapa masalah kecil... Alhamdulillah berjaya dikawal. Esok akan mula kayuh dari Sirjan menuju Bandar Abbas. Dijangka lebih kurang 300 kilometer kayuhan.
“Doakan perjalanan kami Allah permudahkan, Data dan ‘roaming’ sangat menghampakan di sini,” tulisnya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada masa sama, menerusi video yang disertakan, Qobin menjelaskan mereka berada di Kerman dan sedang menanti teksi untuk ke destinasi seterusnya.
“Kami dah sampai di Kerman. Baru keluar daripada lapangan terbang. Hampir tiga jam menulis satu muka surat sahaja... Soalan hanya satu muka surat,” katanya.
Mereka juga ‘tersadai’ di lapangan terbang menunggu teksi dan tidak pasti sama ada teksi ada atau tidak untuk pergi ke Sirjah.
Terdahulu, Amar dan Qobin terpaksa menukar laluan perjalanan asal bagi misi berbasikal Kembara ke Makkah yang bermula 27 April lalu susulan konflik di sempadan India dan Pakistan.
Pertukaran laluan perjalanan itu dilakukan atas faktor keselamatan dan Amar menyifatkan semua yang berlaku adalah aturan Allah swt.
“Kami dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi bahawa keadaan di India dan Pakistan adalah tidak selamat untuk dilalui untuk misi ini.
“Jadi, kami terpaksa ‘re-route’ (menukar laluan) atas faktor keselamatan,” katanya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg