PETALING JAYA: Datuk M. Nasir, 68 tahun, belum sedia memberi penjelasan berhubung tindakan menyaman MyTeksi (Grab Malaysia) dengan tuntutan lebih RM5 juta ($1.57 juta) atas dakwaan menggunakan nama tanpa kebenaran bagi tujuan pemasaran produk minuman, baru-baru ini.

Nasir yang juga maestro muzik terkenal, enggan mengulas panjang mengenai perkara itu dan belum sedia berkongsi butiran lanjut mengenai tindakan saman itu.

“Saya tiada komen. Saya tidak berani hendak bercakap mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui pada sesi pratonton album terbaharu kumpulan Pitahati berjudul Algoritma 432 yang diterbitkan syarikat rakamannya, Luncai Emas di Ara Damansara di sini, pada 18 Jun.

Ditanya mengenai penggunaan nama seseorang tanpa persetujuan, Nasir menegaskan perkara itu tidak wajar dilakukan tanpa kebenaran si pemilik, lapor BH Online.

“Dari mana-mana sudut pun, kita tidak suka jika nama kita digunakan sesuka hati tanpa persetujuan.

“Apatah lagi jika perkara itu bukan datang daripada kita sendiri,” katanya.

Mengulas sama ada namanya mempunyai perlindungan hak cipta tertentu, Nasir berkata isu berkenaan lebih berkait dengan hak moral sebagai individu.

“Ini adalah hak moral saya sendiri,” katanya ringkas.

Ditanya sama ada penggunaan nama tanpa kebenaran boleh memberi kesan negatif kepada individu terbabit, Nasir sekali lagi memilih untuk tidak mengulas lanjut.

“Saya masih tiada komen mengenai perkara itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Nasir atau nama sebenar, Mohd Nasir Mohamed bersama syarikatnya, memfailkan saman terhadap MyTeksi di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan syarikat itu dinamakan sebagai satu-satunya defendan.

Menurut writ saman, plaintif mendakwa defendan menggunakan nama dan jenama ‘M. Nasir’ bagi menjual serta mempromosikan minuman yang dipasarkan sebagai ‘Kegemaran M. Nasir’ menerusi platform syarikat berkenaan tanpa mendapatkan kebenarannya terlebih dahulu.

Plaintif dilapor turut memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan, ejen serta pekerjanya daripada meneruskan sebarang tindakan yang didakwa sebagai salah nyata, penyalahgunaan atau eksploitasi nama M. Nasir untuk kepentingan komersial.

Mereka juga dilapor memohon mahkamah mengarahkan defendan mendedahkan penyata keuntungan yang diperoleh daripada penjualan minuman menggunakan nama ‘Kegemaran M. Nasir’ melalui platform berkenaan dalam tempoh tujuh hari.

Selain itu, plaintif menuntut ganti rugi yang akan ditaksir oleh mahkamah atau sebagai alternatif, penyerahan keuntungan yang diperoleh hasil jualan produk terbabit, selain ganti rugi am, faedah dan kos.

Nasir dan syarikatnya dilapor turut menuntut RM3 juta sebagai ganti rugi teladan serta RM2 juta sebagai ganti rugi teruk.