KUALA LUMPUR: Kejayaan filem Chelot telah meraih kutipan luar biasa sebanyak RM19.5 juta ($6.1 juta) selepas empat minggu ditayangkan di pawagam.

Sebagai salah seorang pelakon yang terlibat dalam filem itu, Nadhir Nasar, menganggap ia sebagai pencapaian paling membanggakan sepanjang kerjaya lakonannya.

Nadhir, 28 tahun, berkata angka berkenaan merupakan kutipan tertinggi pernah dicatatkan menerusi filem yang dibintanginya setakat ini.

“Alhamdulillah, Chelot berjaya mengumpul RM19.5 juta.

“Saya sangat gembira kerana ini kali pertama filem lakonan saya meraih kutipan sebanyak ini.

“Sebelum ini ada yang okey, tetapi tidak setinggi Chelot,” katanya dalam Harian Metro.

Menurutnya, kesan positif daripada kejayaan itu turut membawanya ke satu fasa baharu apabila menerima pelbagai tawaran naskhah yang lebih segar daripada beberapa syarikat produksi.

“Saya sangat terharu.

“Ada syarikat produksi mengucap tahniah dan dalam masa yang sama menawarkan naskhah bernafas baharu.

“Itu antara hikmah yang saya dapat selepas Chelot,” katanya yang memegang watak sebagai Chacko dalam filem tersebut.

Selain kutipan pecah panggung, Nadhir bersyukur apabila wataknya turut diterima baik oleh penonton, pengarah mahupun nama-nama besar industri filem tempatan.

“Orang suka dan industri juga beri maklum balas positif.

“Ini secara tidak langsung mempamerkan sisi baharu Nadhir Nasar menerusi genre aksi,” katanya.

Mengulas mengenai hala tuju kerjaya, pemenang Hero Remaja 2020 itu menegaskan perjalanan seninya masih jauh dan banyak perkara yang mahu diterokainya.

“Saya baru 28 tahun.

“Jadual kerja saya alhamdulillah sudah penuh sehingga pertengahan tahun depan (2027). Saya nampak diri saya akan berada dalam industri ini untuk tempoh yang lama.

“Fokus saya bukan sekadar pencapaian hari ini, tetapi apa yang bakal saya lakukan apabila berusia 45 tahun nanti.

“Walau sudah tua kelak, saya tetap akan berlakon,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nadhir kini sibuk menjalani penggambaran filem komedi aksi arahan pengarah dari Singapura, M. Raihan Halim, berjudul Goreng, yang dijangka menemui penonton pada 2027.

Filem itu turut dibintangi Sky Iskandar, Chech Harith, Tony Eusoff dan Amelia Henderson.

Filem Goreng mengisahkan tentang seorang watak bernama Johari Hamzah, yang merancang untuk merompak bank dengan cara menyewa kedai bertentangan dan mengorek terowong rahsia pada waktu malam.

Namun, pada waktu siang, beliau menyamar sebagai peniaga pisang goreng.

Namun, perancangannya mula terganggu apabila kedai ‘Goreng!’ tular hingga terowong berkenaan hampir terbongkar disebabkan tindakan seorang pempengaruh makanan.