Bagi anak muda, khususnya Generasi Z (Gen Z) dan Generasi Alpha, muzik bukan lagi hanya didengari melalui radio, sebaliknya ditemui menerusi potongan klip pendek di wadah TikTok.
Tidak asing lagi dalam kalangan mereka ialah penyanyi pop dan penulis lagu muda kelahiran Guildford, Britain, Henry Moodie, 21 tahun, yang kini muncul sebagai suara yang mewakili semangat dan cita rasa generasi kini.
Bonusnya, lagu ciptaan Moodie, Drunk Text, telah membuka jalan bagi dirinya dikenali di peringkat dunia melalui TikTok.
Malah, lagu itu kerap digunakan sebagai muzik latar dalam video kandungan peribadi pengguna.
Kini, video muzik lagu itu telah meraih 200 juta tontonan di platform YouTube, sekali gus mencapai 517 juta penstriman di wadah digital, Spotify, sehingga akhbar ini diterbitkan.
Antara lain, Moodie turut muncul dalam senarai 10 artis Britain paling banyak ditonton di TikTok pada 2022 dan 2024, di samping barisan artis terkenal seperti Central Cee, Charli XCX dan kumpulan rok Britain, Coldplay.
Bahkan, beliau turut mengikuti jejak ikon muzik muda seperti, Billie Eilish dan Griff di samping turut disenaraikan sebagai antara artis ‘wajib ditonton’ oleh Amazon Music pada 2023.
Baru-baru ini, wartawan Berita Harian (BH) berpeluang menemui Moodie di pejabat Sony Music Entertainment Singapore.
Beliau berkongsi keinginan menceburi bidang seni suara secara serius tercetus apabila mengeluarkan lagu pertamanya iaitu, You Were There For Me (2022).
“Ada sesuatu yang menjentik hati saya ketika lagu sulung, You Were There For Me, diterbitkan.
“Ketika mendengarkan orang lain menyanyikan lagu saya, rasanya sangat memuaskan hati.
“Apatah lagi, apabila pendengar dapat menghayati lagu itu dan mengaitkannya dengan pengalaman hidup mereka sendiri.
“Detik seperti inilah yang mendorong saya untuk menghasilkan karya-karya baik dengan lebih serius lagi,” kata Moodie.
Apabila ditemui BH, beliau berada di Singapura bagi acara muzik, GrooveDriver Festival, yang berlangsung pada 27 September, sekitar kawasan Suntec Plaza dan South Beach Tower, selain mempromosikan album sulung terbaru, Mood Swings.
Di samping itu, Moodie mengakui kebanyakan lagunya tercetus hasil daripada pengalaman peribadi.
Namun, beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan karya yang berpaksikan kisah orang lain.
“Hampir semua lagu saya lahir daripada pengalaman sendiri kerana saya anggap ia sebagai bentuk terapi.
“Menulis lagu merupakan salah satu cara saya memproses perasaan dan pengalaman yang saya alami dalam kehidupan ini – seakan-akan menulis diari.
“Mungkin akan menarik juga jika saya diberi peluang untuk mencipta lagu berdasarkan kisah peribadi orang lain pula.
“Ia tentu akan memberikan satu kepuasan diri jika saya dapat rasai pengalaman orang lain, dan mencurahkannya dalam bentuk lagu,” ujarnya.
Menyentuh tentang proses kreatif pula, Moodie menjelaskan beliau lazimnya memulakan penulisan dengan melodi menggunakan alat muzik seperti piano atau gitar, sebelum mula mencipta lirik lagu.
Sebagai seorang artis yang ‘naik daun’ hasil tular di Tiktok, penyanyi dengan ketinggian 180 meter itu, menegaskan bahawa media sosial berperanan penting bagi pengkarya membina nama dalam industri muzik.
Di tahap kejayaannya kini, Moodie berkata impiannya adalah untuk terus bertahan dan berkembang sebagai artis dengan nilai kesenian tinggi dalam jangka panjang.
“Saya rasa industri muzik kini telah banyak berkembang... (dan) seseorang itu tidak mampu kekal relevan sebagai artis tanpa kehadiran atau bantuan media sosial.
“Media sosial menjadi antara wadah penting bagi seorang penyanyi mahupun pencipta lagu untuk mempromosikan karya mereka kepada dunia.
“Bagi saya, yang menjadi keutamaan adalah muzik yang dicipta mencerminkan pandangan diri, walaupun ia sentiasa berubah-ubah.
“Maka, kepuasan peribadi terhadap penghasilan karya lebih penting daripada sekadar mencipta lagu untuk tular di TikTok atau menyesuaikan dengan algoritma dalam talian.
“Selain itu, usaha membuat persembahan ‘live’ (secara langsung) juga sangat penting untuk memastikan kelangsungan sebagai penyanyi,” kongsi Moodie.
Dalam pada itu, Moodie, yang gemar mengisi waktu lapang dengan bersenam mahupun meluangkan masa bersama keluarganya tetap akur populariti yang diraih dalam alam maya juga ada pasang surut serta ‘tempoh luputnya’.
Bagaimanapun, penyanyi lagu, Bad Emotions itu, berpendapat kekuatan untuk bertahan dalam industri muzik terletak pada sejauh mana artis mampu membina dan mengekalkan sokongan peminatnya.
Berbalik kepada lagu Drunk Text yang berhasil menaikkan nama Moodie ke carta populariti, beliau mengakui pencapaian itu hadir tanpa disangka-sangka.
“Apa yang berlaku pada lagu Drunk Text, adalah suatu perkara yang berlaku di luar kebiasaan.
“Apabila lagu tersebut mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat di media sosial, saya berasa amat bersyukur.
“Saya tidak pernah menjangkakan bahawa hal ini akan berlaku kepada saya.
“Namun, saya sentiasa mengingatkan diri bahawa hal seperti itu tidak akan berlaku lagi dengan mudah. Jangkaan bagi lagu-lagu saya seterusnya kini sudah tinggi.
“Apa pun, saya tidak berputus harap untuk rasai hal itu lagi,” kata Moodie.
Dalam perkembangan terkini, Moodie dijadual melancarkan album sulungnya, Mood Swings, di bawah label Robots & Humans dan Columbia Records, pada 24 Oktober.
Ia menanda pencapaian penting dalam kerjayanya yang bermula sekitar tiga tahun lalu (2022) dengan dua EP (album pendek) terdahulu iaitu, Good Old Days (2024) dan In All Of My Lonely Nights (2024).
Menerusi album tersebut, beliau menampilkan lima lagu yang pernah dilancarkan sebelum ini termasuk Sunday Morning, Comedown, Indigo, Drunk Text dan Right Person, Wrong Time.
Ditanya BH mengenai apakah yang menjadi inspirasi di sebalik album, Mood Swings, beliau berkata:
“Saya merupakan antara peminat tegar, Taylor Swift. Karya beliau sering saya jadikan sebagai panduan.
“Saya juga mengambil inspirasi daripada kehidupan seharian – baik daripada rakan-rakan, keluarga, dan pelbagai aspek lain di sekeliling saya.
“Setiap lagu membawa pengaruh yang berbeza, dan kepelbagaian itulah membentuk inti pati album ini.
“Oleh itu, ia dinamakan Mood Swings kerana merangkumi pelbagai emosi.”
Sementara menunggu album Mood Swings diterbitkan, peminat Moodie boleh mendengar lagu dengan judul yang sama dilancarkan pada 3 Oktober, di seluruh penstriman digital.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg