PUTRAJAYA: Pelakon dan pelawak lagenda, Mazlan Ahmad, lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet, 54 tahun, bersedia kembali bersatu dengan kumpulan legenda pelawak popular Senario.
Menurut laporan Harian Metro, Lan akui bahawa beliau sudah lama kurang berminat untuk aktif dalam kerjaya seni kerana sibuk menguruskan perniagaannya dan bekerja dengan sebuah syarikat guaman di Kedah.
Namun, demi menghormati permintaan terakhir rakan seangkatan kumpulan Senario, Allahyarham Hamdan Ramli yang mahu melihat mereka kembali bersatu, beliau membuat keputusan untuk kembali semula.
“Tapi, ketika menziarah keluarga Hamdan pada hari beliau dikebumikan, isteri arwah iaitu Lin (Norhamalini Ahmed) bertemu dengan saya dan isteri, Ruby (Rubytah Abu Bakar) memaklumkan Allahyarham selalu tanya dan ingat pada saya,” kata Lan.
“Lin kata, arwah juga mahu saya bersama semula dengan Senario atas persahabatan kami semua sebagai satu keluarga. Saya pun bincang dengan Ruby dan kami sepakat, maka kini saya kembali bersama Senario semula,” tambah beliau.
Terdahulu, Lan memaklumkan beliau membuat keputusan meninggalkan Senario sejak lama dulu atas kerelaan diri sendiri yang mahu mengejar impian hidup lain, namun antara mereka tidak pernah bergaduh sama sekali.
Malah beliau juga berkongsi bahawa semua anggota Senario umpama bersaudara dan rapat sesama sendiri, termasuk keluarga serta anak-anak juga saling mengenali dengan baik antara satu sama lain.
“Hubungan kami semua (Senario) tetap baik-baik selama ini, namun hanya saya seorang sebenarnya yang dah tak mahu aktif dalam kerjaya seni.
“Apapun, saya teruja untuk terbabit dalam ‘showcase’ Senariounion yang akan berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka pada 31 Ogos ini,” kongsi Lan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg