Topik diikuti
Pergi ke BHkuLiku hidup Hafiz Suip terbentang dalam ‘Yang Engkau Mahukan’
Liku hidup Hafiz Suip terbentang dalam ‘Yang Engkau Mahukan’
Anggap isteri yang baru dinikahi sebagai tulang belakang untuk terus bangkit
Liku hidup Hafiz Suip terbentang dalam ‘Yang Engkau Mahukan’
Perjalanan untuk menempa nama sebagai anak seni bukan perkara mudah.
Selain perlu melalui pelbagai cabaran dan pengorbanan dalam industri hiburan seiring persaingan sengit, kehidupan peribadi seorang karyawan seni turut menjadi perhatian ramai.
Bagi penyanyi kelahiran Sarawak, Hafiz Suip, 36 tahun, cabaran yang dilalui sejak bergelar anak seni pada 2009, menjadi inspirasi untuk dirinya berkongsi kisah dengan pendengar dalam karya terkininya.
Setelah kali terakhir mengeluarkan lagu, Terus Bersinar, pada 2023, Hafiz muncul kembali dengan lagu balada, Yang Engkau Mahukan, yang dilancarkan pada 16 Januari.
“Lagu ini menceritakan tentang diri saya dan perkara yang telah saya lalui.
“Namun, ia tidak ditujukan kepada sesiapa. Ia bukannya ruang untuk saya mengadu atau meminta simpati daripada pendengar.
“Ia hanya sekadar cerita untuk dikongsi,” cerita Hafiz yang ditemui Berita Harian (BH) di sebuah restoran di kawasan Arab Street baru-baru ini.
Lagu yang merupakan kerjasama antara Sony Music Entertainment Malaysia dengan Sheikh Qalam Records itu, telah mendapat sambutan memberangsangkan dengan 50,800 tontonan di YouTube sejauh ini.
Awal sebelum ini, Hafiz diuji dengan kehilangan ibunya, Allahyarhamha Halizawati Salleh, yang meninggal dunia pada November 2025, disebabkan komplikasi penyakit kencing manis.
Mengulas mengenai proses pembikinan lagu tersebut, Hafiz berkata dirinya teruja diberi peluang untuk bekerjasama sekali lagi dengan pemuzik dan penggubah lagu terkenal, Ajai, atau nama sebenarnya, Mohamad Faizal Maas, yang pernah menghasilkan beberapa lagu hit beliau seperti Ku Akui dan Noktah Cinta.
“Alhamdulillah, saya sangat selesa bekerjasama dengan Abang Ajai sehingga boleh ‘lepak’ di studio rakamannya.
“Apabila kami mula perbincangan bagi lagu ini, saya berkongsi dengannya tentang apa yang terselindung di dalam hati saya serta perjalanan hidup yang telah saya lalui.
“Kami mengambil masa lebih seminggu untuk memastikan irama dan liriknya sesuai sebelum memasuki sesi rakaman,” ceritanya yang mula berkecimpung dalam bidang nyanyian selepas memenangi pertandingan realiti, Akademi Fantasia (Musim Ketujuh) pada 2009.
Hafiz turut bersyukur dipertemukan dengan pasangan hidup baharu yang kini menjadi tulang belakangnya untuk terus bangkit dan kekal aktif dalam industri muzik.
Pada 13 Februari lalu, Hafiz bernikah dengan ejen insurans, yang juga bekas peserta pertandingan nyanyian realiti, MyStarz LG (Musim Kedua), Fiona Saffiya, 39 tahun, dalam satu majlis tertutup di Kuching, Sarawak.
“Saya amat bersyukur kerana dipertemukan dengan Fiona. Saya gembira dia ingin memeluk agama Islam dan melalui kehidupan bersama.
“Alhamdulillah, kami dapat melalui Ramadan buat kali pertama bersama dan ia amat bermakna kerana ia kali pertama Fiona cuba berpuasa,” cerita Hafiz.
Walaupun enggan mengulas mengenai apakah yang membuatnya tertarik kepada Fiona, Hafiz mengakui mereka berdua saling melengkapi kehidupan masing-masing.
“Saya tidak boleh menafikan Fiona, anak-anak dan keluarga saya antara kekuatan saya untuk terus berkarya dalam industri muzik sehingga kini,” tambahnya.
Terdahulu, penyanyi lagu Awan Nano itu berpisah dengan Nureffy Jasreel Abdullah, pada 29 Mei 2025 setelah sembilan tahun bersama dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Riyadh Zafri, sembilan tahun, dan Muhammad Alkaf Zayne, enam tahun.
Dalam perkembangan lain, Hafiz berkata beliau sentiasa ingin mempertingkatkan diri dan terbuka untuk mempelajari perkara baharu agar kekal relevan sebagai seorang penyanyi.
“Sebagai anak seni, kita tidak boleh terlalu selesa dan berasa kita lebih baik daripada orang lain.
“Kita harus sentiasa bersikap rendah hati kerana kita semua manusia biasa.
“Walaupun individu itu dianggap berpengalaman, mereka masih boleh menimba ilmu baharu,” jelasnya.
Hafiz turut mengakui beliau bakal menerapkan ciri kecerdasan buatan (AI) bagi video muzik lagunya yang masih dalam proses pembikinan.
“Sebagai anak seni, saya mahu mempertahankan mutu kerja sesebuah karya supaya ia kekal asli, selain memastikan individu dalam industri kreatif dapat meraih keuntungan.
“Namun begitu, saya tidak boleh menidakkan penggunaan AI yang berkembang pesat dalam semua bidang,” tambahnya.
Hafiz yang meraih kejayaan dengan konsert solo pertamanya di Megastar Arena, Kuala Lumpur, yang diberi nama, Di Sebalik Aku: Hafiz Suip Live in Concert, pada 1 November 2025, berharap dapat membawa pengalaman itu ke Singapura bagi menghiburkan peminatnya di sini.
Pada 10 Mei 2025, beliau merupakan antara barisan artis yang mewarnai konsert ByAjai & Mega Friends di Teater The Star di Buona Vista.
Turut serta dalam konsert tersebut adalah Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hazama dan Asmidar.
