Pada usia hampir mencecah 80 tahun, pelakon veteran, Ruminah Sidek, atau lebih mesra disapa Mak Mah, 78 tahun, membuktikan usia bukan penghalang untuk terus bersinar.
Lebih-lebih lagi apabila namanya disenaraikan dalam 10 Terbaik bagi kategori Pelakon Pembantu Filem Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37.
Sepanjang lebih enam dekad mewarnai dunia lakonan, Mak Mah tidak pernah mengimpikan populariti.
Sebaliknya, beliau menganggap setiap pencalonan atau pengiktirafan yang diterima sebagai rezeki yang disyukuri.
“Saya mengharapkan, jika benar rezeki saya sampai ke situ, alhamdulillah.
“Jika ada yang rasa saya layak diundi, undilah.
“Apalah daya saya, namun andai terpilih membawa pulang piala itu, tentu saya gembira. Mungkin, itulah rezeki saya,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui BHM selepas Sesi Apresiasi Tokoh Perfileman sempena program, Tribute: Penghargaan Kepada Tokoh-tokoh Perfileman Veteran Negara, sempena Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM34), di Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang, Malaysia, baru-baru ini.
Dalam sesi itu, Mak Mah yang turut bergandingan dengan sutradara legenda, Othman Hafsham, berkongsi kisah dan kenangan sepanjang berjuang dalam dunia seni.
Memulakan kerjaya pada era 1960-an menerusi filem klasik hitam putih, Anak Bapak, arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Mak Mah kini menjadi antara nama paling lama bertahan di layar perak.
“Saya tak pernah cerewet atau memilih watak. Suruh saya jadi hantu pun saya buat.
“Mungkin, sebab itu rezeki saya tak pernah putus. Sedar tak sedar, sudah lebih 60 tahun saya berlakon. Hasil dari lakonanlah saya besarkan enam orang anak,” kata Mak Mah.
Sebagai insan seni berpengalaman, Mak Mah sempat menitip pesanan kepada pelakon muda agar tidak mensia-siakan bakat dan peluang yang diberikan.
“Mereka memang berbakat, cantik dan popular.
“Apabila penerbit memberi kepercayaan, itu bermakna mereka sudah menjadi satu jenama, dan pastinya penerbit mengharapkan hasil terbaik daripada mereka.
“Jadi, apabila diberi kepercayaan, tunjukkan usaha yang baik.
“Jangan terlalu memilih atau enggan lakukan sesuatu tugasan.
“Kalau kita tidak beri kerja yang bagus, keseluruhan penerbitan akan terjejas dan menyusahkan orang lain,” ujarnya.
Bagi Mak Mah, kunci kejayaan seseorang dalam industri bukan terletak pada populariti semata-mata, tetapi pada disiplin, keikhlasan dan kesungguhan terhadap amanah kerja.
“Saya tak pandai buat kerja lain, selain berlakon. Jadi, saya hargai setiap peluang yang datang.
“Sampai sekarang saya tak pernah rasa nak berhenti. Selagi ada tenaga dan kudrat, saya akan terus berlakon,” singkap Mak Mah dengan senyuman tenang.
Mengenang kembali perjalanan seninya, Mak Mah mengakui upah pertama diterima dulu hanya RM7 ($2.14) bagi watak tanpa dialog.
Namun, rezekinya semakin luas seiring waktu beliau bergiat dalam dunia lakonan.
“Dulu masa mula berlakon, dapat RM7 saja. Lama-lama naik ke RM400, RM700 satu projek.
“Alhamdulillah, walaupun bukan setiap bulan ada kerja, tapi duit dari lakonan sebelum itu cukup menampung keperluan.
“Saya tak pernah rasa bimbang terputus rezeki,” kata Mak Mah.
Pelakon filem, Jangan Pandang Belakang itu turut meluahkan rasa syukur kerana sepanjang bergiat dalam dunia seni, beliau tidak pernah dipermainkan oleh mana-mana pihak penerbitan.
Di samping itu, beliau turut tidak berdepan sebarang masalah bayaran rendah seperti yang sering berlaku dalam kalangan artis seangkatan atau sebayanya.
Menurut Mak Mah, rata-rata penerbitan memahami pengalaman beliau yang mendalam dalam arena lakonan sekali gus menghormati dirinya sebagai seniman berbakat besar.
“Bagus, harga yang saya terima semakin bagus.
“Sejauh ini, tidak pernah lagi ada tawaran yang mengarut,” tambahnya.
Pada masa sama, Mak Mah juga tidak meletakkan syarat atau rundingan berlebihan setiap kali menerima tawaran berlakon.
Baginya, beliau bukanlah orang yang bersifat cerewet dan bersedia menerima apa sahaja peranan atau watak selagi ia bersesuaian dengan usia kini.
“Kalau ada tawaran, adalah. Apa sahaja watak diberi, saya okey sahaja asalkan sesuai pada umur sekarang.
“Saya pun tidak ada rundingan lebih tentang bayaran, kerana saya rasa bayaran diterima sejauh ini berbaloi,” ujar Mak Mah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg