Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mas kahwin tertunggak Abby Abadi, Norman Hakim selesai selepas dua dekad

Jan 6, 2026 | 12:11 PM
Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi, akhirnya menerima bayaran mas kahwin yang tertangguh selama 22 tahun daripada bekas suami yang juga pelakon, Norman Hakim.
Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi, akhirnya menerima bayaran mas kahwin yang tertangguh selama 22 tahun daripada bekas suami yang juga pelakon, Norman Hakim. - Foto INSTAGRAM ABBY ABADI

KUALA LUMPUR: Selepas penantian penuh kesabaran selama lebih dua dekad, pelakon dan penyanyi, Abby Abadi, akhirnya menerima bayaran mas kahwin yang tertangguh selama 22 tahun daripada bekas suami yang juga pelakon, Norman Hakim.

Menerusi hantaran di TikTok, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 49 tahun, meluahkan rasa syukur serta menghargai sikap suaminya, Faizal Zakaria dan isteri bekas suaminya, Memey Suhaiza, yang tidak pernah mencampuri urusan berkenaan sebelum ini.

Abby berkata beliau percaya setiap rezeki telah ditetapkan oleh Allah swt dan akan tiba pada waktu yang tepat, sama ada cepat atau lambat, lapor Berita Harian Malaysia.

“Dengan tenangnya, saya kongsikan serba sedikit supaya semua tahu perkara ini sudah selesai selepas 22 tahun.

Terima kasih suami dan Memey kerana tidak pernah campur urusan yang tertangguh ini.

“Bukan niat nak berkongsi sangat pun sebenarnya, cuma mahu maklumkan bahawa berkat kesabaran selama 22 tahun ini, rezeki saya akhirnya tiba. Alhamdulillah,” katanya.

Bagaimanapun, Abby tidak mendedahkan jumlah bayaran mas kahwin yang diterima.

Dalam hantaran yang sama, Abby turut merakamkan penghargaan kepada Norman kerana menyelesaikan tanggungjawab berkenaan setelah berada dalam keadaan berkemampuan.

“Terima kasih @normanhakim_786 kerana sudi membayar apa yang tertunggak setelah berkemampuan.

“Awak kata tak perlu kongsi, tetapi tak mengapa. Saya kongsikan bukan sebab mahu mengungkit, tetapi kerana perkara ini memang tidak pernah selesai sebelum ini.

“Saya menunggu dengan penuh kesabaran. Semoga berkat kesabaran selama 22 tahun ini, saya dikurniakan mahligai bukan sahaja di dunia, tetapi juga di syurga,” katanya.

Bagaimanapun, Abby memaklumkan masih terdapat tuntutan lain yang belum diselesaikan, termasuk nafkah sepanjang tempoh perkahwinan mereka dahulu.

“Yang saya tuntut nafkah makan minum dan tempat tinggal selama 18 tahun itu, ceritanya masih panjang. Yang ini hanyalah berkaitan mas kahwin,” katanya.

Untuk rekod, Abby dan Norman mendirikan rumah tangga pada 2002 sebelum bercerai pada 2009.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 23 tahun; Marissa Dania Hakim, 21 tahun; dan Danisha Hakim, 18 tahun.

Selepas perceraian, Abby mendirikan rumah tangga dengan Faizal Zakaria, manakala Norman berkahwin dengan Memey Suhaiza pada 2011.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg