Pelakon, Melia Aimiellia, baru-baru ini mendedahkan beliau hampir terpedaya dengan kata-kata manis penyanyi yang baru dikenalinya menerusi wadah YouTube.
Namun, Melia atau nama sebenarnya, Noor Melia Aimiellia Zaidi, berkata beliau bersyukur kejadian yang menimpa dirinya – apabila lelaki tersebut menghantar gambar dan video lucah kepadanya – telah ‘membuka matanya’ dan membuat beliau lebih sedar mengenai bahaya di alam maya.
Beliau menganggap kejadian itu sebagai isyarat supaya beliau menjauhkan diri daripada lelaki sedemikian yang dikatakannya berasal dari Indonesia.
Melia yang berlakon dalam filem, Karipap-Karipap Cinta, itu bersyukur tidak terjerat lebih jauh dengan helah dan menabur duit.
“Kami kenal pada April lalu apabila penyanyi itu meninggalkan komen dalam video nyanyian saya di YouTube.
“Lama-kelamaan kami semakin rapat sehingga saling bertukar nombor dan mula menghantar WhatsApp.
“Penyanyi ini boleh dikirakan seorang yang terkenal dalam TikTok, jadi saya bersama komposer berhasrat mengajaknya berkolaborasi memandangkan saya juga mahu cuba menembusi pasaran Indonesia,” dakwanya kepada BH Online.
Baru berkawan secara maya tidak sampai dua bulan, hati Melia terpaut dengan sikap penyanyi itu yang kononnya mengambil berat mengenainya yang sedang menjaga ibu yang menghidap barah rahim.
“Saya pernah kongsi status mengenai ibu kurang sihat dalam WhatsApp, tak sangka dia ternampak dan menunjukkan sikap terlalu mengambil berat.
“Hubungan jadi makin rapat, dia duda anak seorang. Disebabkan bernaung di bawah label, jadi kami tak boleh kongsi mengenai hubungan secara terbuka dan saya akur,” luah Melia.
Bagaimanapun, Melia mendakwa penyanyi itu mula menunjukkan tindakan mencurigakan apabila mengadu mengenai masalah kewangan yang dihadapi.
“Kononnya kereta dan telefon bimbit rosak dan perlu membiayai yuran sekolah anak saudaranya. Dia turut memberitahu tidak mempunyai wang untuk makan hingga hati saya hampir cair.
“Jadi, saya katakan tunggu saya ke Indonesia barulah saya bantu. Bagaimanapun, dia gagal dihubungi selama dua hari.
“Apabila komposer melihat dalam Instagram (IG), dia meletakkan gambar wanita lain, tetapi ‘hide’ (sembunyikan) saya,” dakwanya.
Bagaimanapun, lelaki itu dikatakan ada menghubunginya semula, tetapi Melia terkejut beliau membuat panggilan video dalam tandas dan menunjukkan kemaluannya.
“Dia kemudian mematikan panggilan dan mula menghantar mesej bukan-bukan. Beberapa hari kemudian dia memohon maaf kononnya tak sengaja, tetapi saya tak layan,” dakwanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg