Topik diikuti
Pergi ke BHkuMierul Aiman pisahkan antara watak peribadi dengan bakat lakonan
Mierul Aiman pisahkan antara watak peribadi dengan bakat lakonan
Pelakon Malaysia, Mierul Aiman berpandangan, setiap pelakon mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyesuaikan diri di set penggambaran.
Bintang drama Projek: High Council itu berkata, sama ada seseorang pelakon itu bersifat ekstrovert, introvert, suka bercampur atau memilih untuk tidak bergaul rapat, ia langsung tidak mencerminkan tahap profesionalisme atau bakat yang dimiliki.
“Saya percaya setiap pelakon mempunyai cara mereka yang tersendiri.
“Pergaulan, bersifat ekstrovert, introvert, bercampur atau tidak, itu bukanlah satu ukuran sama ada seseorang itu pelakon yang baik atau sebaliknya.
“Cara seseorang mengendalikan kehidupan peribadinya berbeza dengan cara dia menghidupkan watak yang diamanahkan.
“Jadi, segala-galanya adalah berkaitan dengan kerja.
“Namun, jika secara peribadi seseorang itu memilih pendekatan sedemikian (membawa diri), kita perlu menghormatinya,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas mengenai pendekatannya sendiri ketika mempunyai waktu lapang atau rehat di set, Mierul atau nama sebenarnya, Muhammad Amirul Aiman Norazman, 28 tahun, mengakui beliau lebih mengutamakan kestabilan emosi dan ketenangan jiwa sebelum berinteraksi dengan orang lain.
“Saya rasa selesa untuk berada dalam keadaan tenang.
“Ada ketikanya, apabila kita mengalami tekanan disebabkan oleh kerja, keluarga, atau perkara lain di luar bidang pekerjaan, sudah tentu kita memerlukan masa untuk menenangkan fikiran dan bersendirian.
“Namun, sebaik sahaja kita mencapai ketenangan itu, sudah tentu kita akan rasa lebih mudah untuk bergaul dengan orang lain,” katanya yang pernah membintangi drama Seadanya Kita dan Imam Instant Ustazah Scammer.
Menurut Meirul, beliau tidak mengamalkan prinsip yang tetap dalam hal pergaulan, sebaliknya lebih selesa beradaptasi mengikut situasi semasa.
“Oleh itu, saya tidak memilih mana-mana pendekatan secara tetap. Saya bertindak mengikut apa yang saya rasakan sesuai dan beradaptasi dengan keadaan pada waktu itu,” jelasnya yang merupakan juara pertandingan realiti, Hero Remaja 2021.
