Penyanyi Malaysia, Misha Omar mendedahkan pernah terfikir untuk meninggalkan kerjaya nyanyian yang diceburinya lebih dua dekad lalu.
Keputusan dibuat Misha atau nama sebenarnya, Samihah@Aisah Omar, 43 tahun, kerana mahu mengikut suaminya yang juga juruterbang untuk berhijrah kerana mendapat tawaran kerja di luar negara, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Sebenarnya hasrat bersara ada. Jujurnya, beberapa tahun lalu saya macam sudah hampir nak bersara kerana suami mahu berhijrah selepas mendapat tawaran kerja baru di luar negara.
“Terfikir juga kalau suami berhijrah, ini bermakna saya juga kena melepaskan kerjaya nyanyian.
“Takkanlah saya nak biarkan suami seorang diri. Saya sayangkan suami,” katanya ditemui pada Majlis Hari Raya Bersama Sony Music Malaysia di Kuala Lumpur, pada 24 April.
“Selepas memikirkan mengenai persekolahan anak-anak dan secara kebetulan, anak sulung saya, Muhammad Adam Emir bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), suami akhirnya menolak tawaran.
“Kalau tanya saya hidup ini ada pembukaan dan penutupnya. Tidak mungkin saya boleh menyanyi selamanya. Itu satu lumrah yang saya rasa adil,” jelas beliau yang dikenali dengan lagu Bunga-Bunga Cinta dan Sampai Bila.
Sementara itu, Misha berkata, andai ditakdirkan mahu bersara, dia mengharapkan biarlah perkara berlaku dalam keadaan tenang dan semula jadi.
“Saya selalu berserah pada Yang Maha Esa. Kalau nak bersara pun dalam keadaan aman sahaja, tahu sahaja saya sudah tidak lagi menyanyi.
“Tak adalah sampai tahap nak nak buat pengumuman rasmi. Saya selalu mohon ia berlaku secara semula jadi. Sebelum buat sesuatu keputusan, saya akan fikir sehabis-habisnya.
“Saya juga akan terus bertanya kepada rakan untuk dapatkan kepastian mengenai keputusan dibuat,” ujar Misha yang pernah menjadi juri tetap bagi program realiti Vokal Mania.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg