Demi memajukan muzik untuk pasaran Nusantara dan melindungi hak ciptanya, Moro Music Publishing (MMP), cabang penerbitan muzik label Moro Records, telah menjalin kerjasama penting bersama syarikat rakaman terkemuka di Malaysia, Luncai Emas.
Luncai Emas merupakan syarikat yang ditubuhkan pada 1990 dan diasaskan oleh maestro muzik terkenal kelahiran Singapura, Datuk Dr M. Nasir, atau nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed Sam, 67 tahun.
MMP yang berpangkalan di Kuala Lumpur pula telah menempa nama dalam dunia muzik serantau sejak lebih sedekad lalu menerusi pelbagai urus niaga pelesenan dan penyelarasan muzik untuk iklan, drama, rancangan televisyen serta filem.
Ia juga dikenali menerusi kerjasamanya dengan penyanyi dan pencipta serta penulis lirik lagu dendang rakyat kelahiran Singapura, Art Fazil, atau nama sebenarnya, Fazil Sultan, 58 tahun.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Pengurus Besar MMP, Nik Jassmin Hew, menjelaskan bidang penerbitan muzik dalam era digital bukan sesuatu yang mudah.
Namun, beliau berbesar hati dapat bekerjasama dengan karyawan muzik Singapura seperti Art dan Jamiel Said, bagi menjana muzik runut bunyi rasmi (OST) untuk filem dan drama.
Antara karya yang pernah diterbitkan di bawah Moro Records termasuk Alif Mim Lam Sin, ciptaan Art Fazil bersama kumpulan Rausyanfikir untuk filem Buskers; lagu Rilek Brader yang digunakan dalam pelbagai iklan dan program televisyen, serta Nafas Ku, nyanyian Jamiel, yang menjadi OST filem popular, Manisnya Cinta di Cappadocia.
Namun, Jassmin memberitahu BH ketika ini, MMP sedang berhadapan isu pelanggaran hak cipta apabila lirik lagu Yakin tulisan Art Fazil, dilaporkan telah digunakan hampir sepenuhnya sebagai dialog dalam filem Suatu Ketika, yang diterbitkan pada 2019, tanpa sebarang kebenaran atau pelesenan rasmi.
“Bagi memperkukuh keupayaan syarikat dalam menguruskan isu-isu sebegini dan memperluas jaringan serantau, MMP telah menandatangani perjanjian sub-penerbitan bersama Luncai Emas.
“Melalui perjanjian ini, katalog lagu MMP yang mengandungi hampir 150 lagu kini akan ditadbir Luncai Emas, sebuah syarikat rakaman yang dikenali di Malaysia dan Singapura, serta berpengalaman luas dalam bidang pengurusan hak muzik.
“Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang baru untuk MMP belajar daripada pakar industri, malah memberikan peluang keemasan buat Art Fazil bekerjasama lebih rapat dengan idolanya, Datuk Dr M. Nasir, tokoh yang telah lama menjadi sumber inspirasi beliau,” jelas Cik Jassmin, penuh harapan.
Pengarah Luncai Emas, Jennifah Johari, menyatakan bahawa jalinan kerjasama antara kedua-dua syarikat itu dijangka memberi kesan positif terhadap perkembangan industri muzik tempatan.
“Sebagai sub-penerbit, Luncai Emas kini menguruskan hak cipta bagi pihak Moro Music Publishing di Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, Luncai Emas bertindak sebagai ejen untuk mengurus kutipan royalti, promosi karya, serta mendapatkan pelesenan tempatan.
“Pengalaman, jaringan dan pendedahan Luncai Emas turut membantu Moro mengembangkan jangkauan mereka ke pasaran yang lebih luas, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” ujar Jennifah.
Luncai Emas optimis kerjasama strategik itu akan membuka peluang kejayaan bersama, sambil mengalu-alukan penyertaan penulis lagu dan artis yang ingin mengembangkan karya mereka di seberang Tambak.
Dalam pada itu, Art rasa amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Luncai Emas.
“Saya yakin pihak Luncai Emas boleh merancakkan pemasaran lagu-lagu ciptaan saya, terutama sekali di pasaran Malaysia.
“Dengan gandingan ini, saya boleh berkolaborasi dengan para penulis lagu serta artis di bawah naungan mereka.
“Sekarang, bila saya minum kopi dengan M. Nasir, ia bukan sekadar sembang kosong,” jelasnya.
Mengenai pelanggaran hak cipta lagu Yakin, Art menganggapnya sebagai satu perkara serius dan tidak memandang remeh terhadapnya.
“Namun begitu, pihak kami cuba sedaya upaya untuk meleraikan isu ini secara setiakawan, memandangkan kita berada di dalam industri yang sama,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg