Nabila Razali fokus perbaiki diri, tak endahkan kritikan netizen
Nabila Razali fokus perbaiki diri, tak endahkan kritikan netizen
Tampil dengan lagu terbaru berjudul, ‘Balas Baik’, ajak netizen berhemah dalam media sosial
Penyanyi dan pelakon Malaysia, Nabila Razali, 34 tahun, mengakui sudah lali apabila segelintir netizen kembali membangkitkan video lama yang memaparkan kelemahan vokalnya suatu ketika dahulu.
Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang baru kerana sering kali diperkatakan oleh netizen.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan kerana tiada isu lain untuk dijadikan bahan kritikan menyebabkan kelemahan berkenaan masih diungkit hingga kini.
“Saya tidak boleh nak komen sebab video lama itu memang ada saja.
“Tiada apa yang baru, perkara itu sudah bertahun lamanya tetapi mereka (netizen) masih kongsi semula.
“Setidaknya, ia mengingatkan kembali tentang masa lalu yang pernah berlaku, kalau tidak saya pun lupa.
“Tak boleh nak buat apalah. Mungkin mereka pun sudah tak ada ‘point’ (motif), sebab itu keluarkan balik semua video lama,” kata Nabila dalam laman web Harian Metro.
Nabila ditemui pada sidang media pelancaran drama siri Viu Original berjudul, Sesaat Lebih, yang berlangsung di Malaysia, pada 28 Januari.
Dalam drama itu, Nabila membawakan watak Adelia, seorang wanita berkerjaya yang mana kehidupannya berubah selepas kematian suaminya, Haoyu (lakonan Alvin Chong), yang berlaku secara tiba-tiba.
Mengulas lanjut, Nabila berkata beliau tidak mahu ambil serius sekiranya netizen masih mahu mengkritik kelemahan vokalnya.
“Nak cakap fasal saya menyanyi tak okey atau apa saja teruskan sebab saya menerimanya dengan hati terbuka sejak dulu lagi.
“Disebabkan itu juga saya mengambil kelas vokal dan kelas menari untuk perbaiki diri.
“Apa lagi yang boleh saya buat? Saya hanya mampu baca komen netizen dan lihat saja,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kenyataannya yang kurang bersetuju dengan sikap segelintir netizen apabila gemar menghakimi artis berdasarkan kehidupan peribadi pula, Nabila akur ia tidak ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus.
“Saya tidak menyebelahi sesiapa, kenyataan itu cuma pendapat peribadi.
“Saya berasa sangat tidak adil untuk sesiapa pun diadili dengan sebegitu rupa.
“Saya tak tahu nak cakap macam mana tetapi kurang bersetuju dengan tindakan menghakimi itu.
“Kalau boleh, saya nak nasihat orang yang suka buat andaian sendiri, kurang-kurangkanlah,” ujarnya.
Terdahulu, Nabila memuat naik satu hantaran di laman Threads yang mengundang pelbagai spekulasi dan dikaitkan dengan individu tertentu di media sosial.
Menerusi hantaran berkenaan, beliau meluahkan rasa geli hati apabila melihat orang ramai menilai kemampuan vokal seseorang bukan berdasarkan suara, sebaliknya melalui kehidupan peribadinya.
Dalam perkembangan lain, bingkisan single terbaru Nabila berjudul Balas Baik, yang juga merupakan genre pop moden bukan sahaja transformasinya sebagai penyanyi, malah menunjukkan kematangan sebagai anak seni.
Lagu itu mengetengahkan tema penyembuhan, keikhlasan dan kekuatan dalaman yang mencerminkan kematangan dirinya.
Secara peribadi, Nabila akur sudah lama menantikan peluang untuk melancarkan lagu bergenre pop moden, dan sudah sampai masa untuk mengubat kerinduan peminatnya.
“Alhamdulillah, saya tampil dengan lagu Balas Baik kerana ramai yang boleh ‘relate’ dengan apa yang saya lalui sekarang dan juga pada masa lalu.
“Saya selalu terima komen yang sangat negatif dan belum pernah ‘melatah’ dalam media sosial.
“Saya lancarkan lagu ini kerana mahu semua orang, termasuk netizen dan pengikut saya, memulakan dengan membalas kebaikan jika orang berbuat baik kepada kita, dan tetap membalas dengan baik walaupun orang berbuat sebaliknya.
“Dengan cara ini, InsyaAllah, industri hiburan akan menjadi lebih aman,” ulas Nabila.
Berkongsi kerjasama dengan komposer lagu itu iaitu Audi Mok dan Shazee Ishak pula, kata Nabila, semuanya berlangsung dengan mudah dan cepat.
“Lagu ini adalah ciptaan Audi dan Shazee dan ia ambil masa tiga bulan untuk mereka buat persediaan untuk lagu ini, tapi proses rakaman sehari sahaja.
“Saya juga sudah agak lama tidak muncul dengan lagu bergenre pop moden.
“Bekerja dengan Audi dan Shazee sangat mudah dan cepat.
“Malah, mereka dapat siapkan lagu ini dengan baik. Waktu rakaman Audi tiada, dan hanya saya bersama Shazee di studio,” jelas Nabila.
Mengenai statusnya sebagai isteri, ibu satu anak berusia setahun, serta imej berhijab, Nabila menegaskan semua itu bukan penghalang untuknya menampilkan sesuatu yang segar dalam lagu Balas Baik.
“Saya menyanyi dan menari dalam video muzik lagu Balas Baik walaupun saya berhijab, sudah berkahwin dan bergelar ibu, kerana itu bukan halangan buat diri ini.
“Apa yang penting adalah mesej dan visual dari lagu ini, yang mana saya memang sudah lama impikan membawakan genre lagu rancak sebegitu.
“Cabarannya ialah untuk menyanyi sambil menari dan saya perlu berlatih bersungguh-sungguh dan berharap peminat menyukainya,” kata Nabila.

