Topik diikuti
Pergi ke BHkuNabila Razali muat naik gambar bersama anak, ingatkan orang ramai statusnya
Anggap ada segelintir pihak lupa dirinya sudah bernikah
Nabila Razali muat naik gambar bersama anak, ingatkan orang ramai statusnya
Baru-baru ini, penyanyi dan pelakon Malaysia, Nabila Razali, telah mendedahkan wajah anaknya dalam satu hantaran di media sosial.
Namun, tindakannya itu bukan dilakukan secara sembarangan, sebaliknya atas pilihan sendiri sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 34 tahun, perkongsian itu juga dibuat sebagai peringatan kepada orang ramai mengenai status dirinya yang kini sudah bergelar seorang isteri dan ibu.
“Bila saya ‘post’ (buat hantaran) itu, maksudnya memang saya nak ‘post’. Bukannya saya saja-saja dedahkan muka anak saya sebab ketika itu adalah cuti umum dan kita baru sahaja sambut Hari Kemerdekaan.
“Jadi, saya anggap dalam media sosial saya itu, ada masa kita tunjuk kita bekerja, ada masa kita tunjuk yang saya ini dah berkahwin dan ada anak.
“Saya pun tak nak orang melupakan status saya,” katanya dalam laman web, Harian Metro.
Nabila telah mendirikan rumah tangga dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nirza Group, Nik Iruwan Nik Izani di Bukit Tinggi, Pahang pada November 2023 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Nik Muhammad, yang kini berusia setahun lapan bulan.
Mengulas tentang perihal tersebut, Nabila mendapati terdapat segelintir warga yang seakan-akan terlupa beliau sudah berumah tangga.
“Sebab kadang-kadang ada juga saya nampak komen, orang kata cakap, ‘Eh aku dah lupa dah yang dia ini dah kahwin’.
“Kadang-kadang kita harus ingatkan juga orang yang saya sudah berkahwin.
“Sekiranya saya ‘post’, itu memang pilihan saya dan ia merupakan hari biasa apabila saya meluangkan masa bersama keluarga saya,” tambah Nabila yang bakatnya dicungkil daripada pertandingan realiti, Akademi Fantasia, pada 2013.
Selain itu, Nabila turut memerhati ada kalanya bahasa badan atau cara pergaulan orang ramai bersama beliau seolah-olah lupa dirinya yang kini sudah bergelar seorang ibu dan isteri.
“Saya tengok bahasa badan, cara orang bercakap dengan saya, kadang-kadang mereka lupa saya sudah kahwin. Cara berborak sama dengan waktu sebelum berkahwin.
“Jadi, mungkin dengan hantaran itu dapat memperingatkan orang di sekeliling saya atau orang yang baru nak mengenali saya, yang tidak mengikut perkembangan saya tahu bahawa saya sudah berkahwin.
“Saya rasa macam mana pun, saya hargai keluarga saya, saya hormati suami saya dan tahu saya ada anak.
“Jadi, sekali-sekala, kita kena tunjuk juga yang kita ini berkeluarga,” katanya yang dikenali melalui lagu, Peluang Kedua dan Permata Hati.
