KUALA LUMPUR: Tampil buat kali pertama menerusi drama Sunsilk Impian pada usia 18 tahun, aktres, Nad Zainal yang hampir dua dekad bergelar anak wayang, tidak berhasrat meletakkan noktah pada karier seninya, biarpun sudah bergelar ibu kepada tiga cahaya mata.
Isteri kepada aktor Ungku Ismail Aziz, 39 tahun, ini mengakui lakonan sudah sebati dengan jiwa, begitu juga dengan suami.
Justeru, Nad atau nama sebenar, Farah Nadia Zainal Abidin berkata beliau dan Ungku Ismail masih mahu terus berlakon.
Nad berkongsi beliau dan suami bagaimanapun mempunyai perancangan untuk mengembangkan bakat seni dengan mengusahakan syarikat produksi.
“Sebenarnya, saya dan Ungku Ismail pernah miliki syarikat produksi.
Namun, syarikat itu tutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sekarang kami merancang membuka semula syarikat produksi itu.
“Tetapi, semuanya perlu dilakukan satu demi satu. Itu cita-cita kami.
“Kalau bercakap pasal berlakon, saya mahu terus lakukannya.
“Tetapi, karakter yang saya bawa mestilah sesuai.
“Mungkin ketika usia saya semakin menginjak ini, saya tidak berlakon ‘back to back’ macam dahulu.
Sebaliknya, saya mahukan watak yang memberi impak kepada penonton,” katanya kepada BH Online.
Namun, Nad berkata kadang-kadang beliau terima apa sahaja watak yang diberi.
Nad mengaku masih seronok setiap kali beraksi di hadapan kamera.
Bagi bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini, keseronokan dalam lakonan sukar dicari galang ganti.
“Saya seronok, tapi pada masa sama memang penat.
“Tetapi kalau tiada ‘job’, saya sedih,” katanya.
Nad tidak menolak tanggungjawab sebagai ibu menjadi antara faktor beliau menapis tawaran lakonan sekarang.
“Namun, kadang-kadang tidak tertapis.
“Apabila perlu ‘outstation’ (kerja di luar kawasan), saya bawa seorang anak.
“Kalau cuti sekolah, semua kena bawa.
“Jika tidak, saya utamakan yang kecil sebab dia masih menyusu badan.
“Selain itu, saya kena pulang sebelum 12 tengah malam.
“Tetapi sekarang, banyak syarikat produksi yang melepaskan pelakon sebelum jam 12 tengah malam.
“Syarikat produksi sekarang sudah peka dengan perkara ini, jadi, tiada masalah,” katanya.
Selepas dua tahun berkahwin, Nad yang popular dengan watak Juweta dalam Takdir Yang Tertulis memberitahu, beliau akan menjayakan projek lakonan pertama bersama Ungku Ismail.
“Bulan ini (April), kami akan mulakan projek telefilem kami jadi adik-beradik.
“Pada mulanya, syarikat produksi agak ragu-ragu dan risau jika kami tidak boleh buang imej suami isteri.
“Namun, watak adik-beradik ini memudahkan sebab kami tiada batasan dalam berpegangan dan sebagainya.
“Lagi satu, orang suka cakap muka kami sama, iaitu persis adik-beradik, jadi mengapa tidak jayakan tawaran ini,” ujar Nad.
Nad berkata kali terakhir beliau menjayakan drama cinta adalah menerusi Cina Buta yang menggandingkan beliau bersama suaminya.
Cina Buta hasil ialah karya Shahrulezad Mohameddin ditayangkan pada 2022.
Berkongsi sambutan Hari Raya, Nad mengakui Lebaran kali ini lebih meriah dan berseri dengan kehadiran cahaya mata ketiga, Ungku Indra Puteh Al Majid.
Sebagai anak tunggal, Nad tidak menafikan sambutan Lebaran sejak kecil agak sederhana.
Bagaimanapun, selepas kehadiran tiga cahaya matanya, setiap perayaan disambut penuh ceria.
“Hari Raya saya sekarang lebih meriah selepas ada anak.
“Kita kena sediakan macam-macam untuk anak.
“Sebenarnya, saya akui persediaan Hari Raya lebih kepada anak.
“Kita yang sudah berusia ini, pakai apa yang ada pun tidak mengapa.
“Saya akui, sebagai anak tunggal dari kecil, apa-apa pun saya buat dengan ibu bapa.
“Kami tiada kampung, beraya di Kuala Lumpur. Ada kalanya, ibu bapa bawa saya jalan-jalan, misalnya ke Port Dickson, Negeri Sembilan dan bermain bunga api.
“Jadi, pengalaman Hari Raya ketika kecil dan sekarang berbeza.
“Suami pun dua beradik sahaja.
“Jadi, dalam keadaan sekarang, kami sesuaikan diri dengan kekecohan Lebaran.
“Ketika saya mempunyai dua anak, saya mencari rentak.
Tetapi, apabila sudah ada tiga anak, saya mula faham,” katanya.
Nad pernah mendirikan rumah tangga dengan Faliq Amiruddin pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad dan Budi.
Mereka bagaimanapun berpisah pada September 2022.
Nad berkahwin dengan Ungku Ismail pada 23 Januari 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg