Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nadi Singapura papar semangat Nusantara

Bakal buat persembahan sempena Festival Seni Antarabangsa S’pura
May 14, 2025 | 5:30 AM
kakoki, nadi singapura, Sifa
Sempena Festival Seni Antarabangsa Singapura (Sifa), persembahan ‘KAKOKI’ oleh Nadi Singapura, yang dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Mei, di Bedok Town Square, membawa penonton menyelami kisah tentang jati diri, perjuangan dan warisan budaya dalam masyarakat Melayu. - Foto NADI SINGAPURA

Seperti peribahasa, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah warisan seni Melayu terus dipelihara dan diperkasakan oleh kumpulan genderang tempatan, Nadi Singapura.

Sempena Festival Seni Antarabangsa Singapura (Sifa) 2025 bertemakan ‘More Than Ever’, persembahan KAKOKI oleh Nadi Singapura, dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Mei bermula 8.30 malam, di Bedok Town Square, membawa penonton menyelami kisah tentang jati diri, perjuangan dan warisan budaya masyarakat Melayu.

KAKOKI ialah singkatan daripada ‘Kata Kota Kita’, yang melambangkan semangat, perjuangan serta keunikan perjalanan hidup masyarakat Melayu yang lahir dari latar belakang dan kumpulan etnik yang berbeza seperti Jawa, Boyan, Bugis dan sebagainya.

Lantas, persembahan yang melibatkan seramai 13 anggota Nadi Singapura ini, bukan sahaja mengangkat kesenian Melayu, malah mencerminkan keindahan perpaduan dalam kepelbagaian budaya rumpun Melayu.

Pengarah Bersama dan Artistik Nadi Singapura, Riduan Zalani, 40 tahun, mengakui undangan Sifa memainkan peranan besar dalam merealisasikan karya persembahan KAKOKI

Sifa, ialah festival seni yang mengiktiraf kesenian sejagat, sekali gus membuka ruang bagi karya tempatan mendapat perhatian di pentas antarabangsa.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di studio Nadi Singapura yang digelar, ‘Gua Budak Sakti’, di Pusat Seni Aliwal pada 30 April, Riduan selaku Pengarah Persembahan KAKOKI, berkata:

“Apabila ditemui oleh Pengarah Festival, Cik Natalie Hennedige, ini merupakan undangan kali kedua yang kami terima dalam tempoh empat tahun beliau bertugas bersama Sifa.

“Kami juga ada tertanya, bagaimana kami dapat terlibat dalam Sifa sekali lagi. 

“Mungkin ada perkara baik yang kami lakukan sehingga dikesan olehnya sekali gus menyimpan harapan untuk kumpulan Nadi Singapura,” kata Riduan, yang baru sahaja selesai mementaskan persembahan Kenapa Ke Sana bagi Pesta Raya 2025, baru-baru ini.

Pada 2022, persembahan Ceremonial Enactments atau pelaksanaan upacara, yang menghimpunkan tiga lakonan semula adat dan upacara budaya oleh seniman Max.Tan, Nadi Singapura dan Akademi Seni Bhaskar, menandakan persembahan pertama Nadi Singapura di Sifa.

Mengimbau pengalaman itu, Riduan berkongsi tentang karya mereka berjudul, 293NW, yang melambangkan pandangan Singapura ke arah Kaabah.

“Karya ini diinspirasikan daripada kata hikmat dalam Al-Quran yang menyatakan manusia ditakdirkan hidup berpasangan. 

“Jadi, kami mengetengahkan proses majlis walimah, di mana di sebalik perayaan itu, terjadi pencantuman antara dua jiwa dan keluarga berbeza,” ujar penerima Anugerah Seniman Muda Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada 2015 itu.

Bagi edisi Sifa 2025 pula, Nadi Singapura ditugaskan menyelami persoalan jati diri dan bagaimana masyarakat melihat serta mendefinisikan jati diri mereka.

Sebagai kumpulan genderang yang masih dianggap muda (ditubuhkan pada 2011), Nadi Singapura terus mencari ruang untuk memperkasa dan mengembangkan seni genderang Melayu.

“Menerusi gaya penceritaan dalam KAKOKI, kami ingin menyampaikan bahawa pada dasar semua yang diperkatakan mengenai masyarakat Melayu, harapannya adalah untuk menemui ketenangan dalam jiwa,” kata Riduan.

Menjelaskan bagaimana konsep itu direalisasikan dalam persembahan selama 30 minit itu, Riduan bersama penggiat seni yang telah berkecimpung dalam bidang muzik dan tarian Melayu hampir 25 tahun, Nizarfauzi Norlie, menggabungkan elemen lisan dan visual memikat.

Persembahan itu turut disusun dalam lima babak yang sarat dengan pesanan penuh emosi dan makna termasuk Ayo, Rame-Rame, Kabare, Rindu Damai dan Di Jiwa: Pesta Party Mudo Mudi.

Selaku Pengarah Muzik dan Pergerakan KAKOKI, Nizar, 39 tahun, turut mengakui bahawa persembahan ini mencabar dirinya keluar dari zon selesa, menggalas tanggungjawab besar sebagai ‘frontman’ (yang mengetuai) pementasan tersebut.

“Biasanya, saya yang memainkan alat muzik di belakang tabir. Namun, khusus untuk KAKOKI, saya yang bertanggungjawab bermain alat muzik dan bernyanyi di hadapan hadirin.

“Saya mengambil peluang ini sebagai cabaran untuk mempertingkatkan diri supaya dapat mendorong yang lain juga berbuat serupa, terutama apabila ‘abang-abang’ sudah ‘turun padang’,” kata Nizar.

Lebih menarik lagi, melalui KAKOKI, Nadi Singapura bakal memperkenalkan kelainan dengan menyampaikan lagu dalam bahasa Inggeris yang diiringi irama Melayu, di awal persembahan.

Langkah ini lahir daripada kesedaran terhadap kepelbagaian audiens mereka, yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa.

Dengan penerbitan lapan album sebelum ini, Nadi Singapura melihat peluang ini sebagai ruang untuk mendekati penonton bukan Melayu, sekali gus memperluaskan daya tarik seni tradisional mereka.

Dalam perkembangan lain, Pengarah dan Pengasas Bersama Nadi Singapura, Yaziz Hassan, menerima Anugerah Peneraju Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) 2024, pada 2 April, di Auditorium Ngee Ann Kongsi, Galeri Nasional Singapura, di atas ketekunannya memperjuangkan seni paluan gendang selama hampir 30 tahun.

Apabila ditanya BH mengenai pencapaian ini, Riduan melahirkan rasa syukur dan bangga melihat usaha rakan dan anggota seperjuangan, Yaziz, 50 tahun, diiktiraf di peringkat nasional oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).

Anugerah yang disampaikan NHB itu, mengiktiraf sumbangan cemerlang beliau dalam usaha melestarikan warisan muzik Melayu di Singapura dan seni membuat dan membaiki alat genderang Melayu.

Pencapaian ini menjadi pembakar semangat Nadi Singapura untuk terus melestarikan dan memartabatkan seni paluan genderang Melayu.

“Beliau seorang yang istimewa kerana memiliki sifat tekun dalam melaksanakan tugasnya, termasuk membuat dan membaiki alat genderang Melayu, selain sentiasa bersikap positif.

“Kami di Nadi Singapura sangat bangga dengan pencapaian beliau, yang sudah kami anggap sebagai abang.

“Ia amat bermakna memandangkan kami merupakan kumpulan yang tidak mengaut untung dan bergerak secara berdikari.

“Walaupun kami tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah, pengiktirafan seperti ini penting untuk mengesahkan kewujudan kumpulan ini yang komited menggerakkan seni paluan genderang Melayu di Singapura, khususnya di peringkat nasional,” ujar Riduan.

Tiket bagi persembahan KAKOKI pada 17 dan 18 Mei bermula 8.30 malam di Bedok Town Square, adalah percuma.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg