Nama Michelle Yeoh diabadi di Hollywood Walk of Fame
Bintang filem Hollywood asal Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 63 tahun, sekali lagi mengukir sejarah di pentas antarabangsa apabila namanya bakal diabadikan di Hollywood Walk of Fame.
Pengiktirafan itu akan diterima pemenang Anugerah Akademi 2024 tersebut pada 18 Februari ini – tarikh yang membawa makna berganda kerana bertepatan dengan hari kedua sambutan Tahun Baru Cina 2026.
Menurut laporan Variety, majlis berprestij anjuran Dewan Perniagaan Hollywood itu dijadual berlangsung pada 11.30 pagi (waktu Pasifik).
Penghormatan berkenaan menandakan satu lagi kemuncak dalam lonjakan kerjaya pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu, susulan kemenangan bersejarahnya sebagai Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi, pada acara Anugerah Golden Globe 2023, menerusi filem, Everything Everywhere All at Once (2022).
Dewan Perniagaan Hollywood sebelum ini menyenarai pendek nama Yeoh untuk penghormatan tersebut pada Jun 2023, sebaris dengan tokoh industri lain termasuk Presiden Marvel Studios, Kevin Feige; dan pelakon sekali gus pengarah asal Amerika Syarikat, mendiang Carl Weathers.
Selepas mencuri perhatian menerusi filem pecah panggung 2025, Wicked: For Good, Yeoh bakal memegang watak penting dalam francais epik arahan James Cameron, Avatar 4 dan Avatar 5.
Barisan projek terbarunya turut memperlihatkan kepelbagaian apabila beliau membintangi siri terbitan Prime Video, Blade Runner 2099, selain menjalin kerjasama yang dinanti-nantikan bersama pengarah, Sean Baker.
Dalam filem pendek berjudul, Sandiwara, yang dirakam sepenuhnya menggunakan kamera telefon bijak, iPhone di sebuah pasar malam di Malaysia, Yeoh mempamerkan kehebatan lakonannya dengan membawakan lima watak berbeza.
Filem terbabit dijadual mengadakan tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 13 Februari.

