KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan turut terkena tempias apabila namanya dikaitkan sebagai individu selebriti yang melakukan kes amang seksual ke atas remaja perempuan berusia 17 tahun.
Afieq atau Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 27 tahun, berkata beliau menerima banyak panggilan telefon serta kiriman mesej daripada pihak media serta kenalan yang ingin tahu mengenai perkara itu.
“Ada orang kata saya adalah individu itu dengan memaklumkan drama yang saya pernah berlakon.
“Selain, saya juga dikaitkan kini berusia 27 tahun dan tarikh lahir pun hampir sama (dengan individu terbabit) kerana kami memang sebaya.
“Tapi, sejujurnya memang saya tak tahu apa-apa dan itu bukan saya pun.
“Bukanlah saya nak elak diri daripada beri sebarang kenyataan, tapi saya sangat sibuk dengan kerja.
“Saya baru balik dari Sabah, Kuching Sarawak dan jadual hujung minggu saya memang padat.
“Termasuk, saya juga sibuk dengan aktiviti bersama emak saya untuk masak-masak, beli barang dapur sebab dah nak raya haji lagi.
“Cuma, saya memang boleh agaklah nama akan dipetik juga,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Afieq, beliau bagaimana pun tenang saja serta enggan komen apa-apa sebelum ini sebab bimbang akan menggores mana-mana pihak dan menjaga hati rakan artis lain.
Ditanya sejauh mana beliau terkejut dengan nama selebriti dikaitkan kes berkenaan, Afieq berkata beliau sangat terkejut tetapi enggan terlalu memikirkannya kerana tidak mahu jatuh fitnah.
“Saya tak nak benda ini (dakwaan amang seksual) jadi fitnah,” katanya.
Ujar penyanyi lagu Lelaki Di Telefon dan pelakon drama Rampas Cintaku ini, beliau mahu mengingatkan kepada semua selebriti bahawa sebagai ‘public figure’ (orang yang dikenali), perlu pandai-pandai jaga diri sebaik mungkin.
“Saya kalau boleh untuk rakan-rakan artis yang lain, kita cubalah menjaga diri sebaik mungkin untuk perjalanan karier kita, pada masa sama untuk menjaga nama kita sebagai ikon remaja.
“Ramai orang yang meminati hasil karya kita, lagu-lagu kita, drama kita dan demi menjaga nama baik itu kalau boleh jaga diri sebaik mungkin.
Tak nak lah perkara sebegini (amang seksual) berlaku sebab takut jadi lebih buruk,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang pelakon dan penyanyi lelaki terkenal ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja dan selepas beberapa kali pertemuan suspek kemudian membawa mangsa bertemu di sebuah hotel.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan turut mengesahkan perkara itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg